Panjat bumbung cekup pencuri 
  •  Beberapa remaja menunjukkan tempat suspek menyembunyikan diri di sebelah tangki air sebelum berjaya ditangkap

LUKUT - Seorang lelaki berkelakuan mencurigakan kerana berada di atas bumbung rumah penduduk di Taman Selasih berjaya dicekup sembilan remaja berusia 12 hingga 16 tahun, kira-kira jam 5 pagi, Ahad lalu.

Abdullah Yusof Mazman, 16, berkata, ketika kejadian, dia bersama lapan rakannya sedang bersembang di beranda rumahnya sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu terlihat kelibat seseorang di atas bumbung rumah jirannya.

"Kami segera ke rumah jiran untuk memeriksa keadaan. Terkejut dengan kehadiran kami, lelaki berkenaan terus melarikan diri dengan melompat dari bumbung ke bumbung rumah yang lain sebelum menyembunyikan diri di tepi tangki air yang terletak di atas bumbung salah sebuah rumah di taman perumahan ini.

"Seorang rakan saya bertindak memanjat bumbung rumah berkenaan dan menangkap lelaki itu sebelum menyerahkan kepada pihak polis," katanya.

Menurut Abdullah, keesokan harinya, mereka dimaklumkan besi tingkap rumah jirannya bengkok kemungkinan disebabkan cubaan lelaki berkenaan untuk melakukan jenayah.

Sementara itu, bapa Abdullah, Mazman Mansor, 50, berkata, sekitar jam 4 pagi, dia melihat ada tiga lelaki sedang menunggang motosikal berlegar-legar di kawasan perumahan tersebut selepas pulang dari rumah rakannya.

"Saya memberitahu anak saya agar memerhatikan keadaan sekeliling kerana melihat kelakuan tiga lelaki itu mencurigakan sebelum masuk tidur.

"Tidak lama kemudian, Abdullah mengejutkan saya dan memberitahu ternampak seseorang di atas bumbung jiran dan saya mengarahkan mereka mengepung lelaki berkenaan serta dalam masa sama saya menghubungi polis," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun, mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan rakan suspek yang berjaya melarikan diri.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai untuk segera menghubungi polis jika melihat sebarang tindakan mencurigakan dari mana-mana individu.


Sumber:SH