08 November 2013
Laman Web Pejabat PM Singapura DiGodam
SINGAPURA - Laman web Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO) Lee Hsien Loong dan Istana digodam semalam dan hari ini oleh anggota kumpulan aktivis 'Anonymous'.
Penggodaman terbaru itu berlaku selepas Lee berikrar pihak berkuasa tidak akan menghentikan usaha mengheret dalang yang 'melancarkan perang siber' di negara itu ke muka pengadilan.
Peringatan itu dikeluarkan selepas satu video dimuat naik ke YouTube memberi amaran akan melancarkan perang siber ke atas pihak berkuasa Singapura.
Dalam kenyataan hari ini, Pihak Berkuasa Pembangunan Infocomm (IDA) berkata: Carian 'subpage' laman web PMO dan Istana terjejas masing-masing pada Khamis pukul 11.17 malam dan Jumaat pada 12.20 pagi.
Menurutnya subpage telah diceroboh apabila ia memaparkan halaman daripada sumber lain.
Menurut IDA, kelemahan pada sistem komputer ini dikenali sebagai 'cross-site scripting'.
Memberitahu perkara itu kini dalam siasatan, IDA menyatakan laman web PMO dan Istana masih beroperasi, dan "kami akan memulihkan semula halaman yang diceroboh secepat mungkin".
IDA berkata ia akan terus meningkatkan tahap keselamatan semua laman web kerajaan.
Ini termasuk melakukan pemeriksaan dan memulihkan serta mengatasi kelemahan pada sistem komputer dan perisian.
Ia kini dalam proses pelaksanaan dan pengunjung ke laman web kerajaan mungkin menghadapi masalah untuk akses, bagaimanapun masalah itu akan diselesaikan dengan segera, menurut IDA. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment