CYBERJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Pengguna media sosial di negara ini harus
mempertingkat kawalan kendiri agar lebih bertanggungjawab dalam
mengakses dan menggunakan kandungan multimedia.
Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin berkata
kawalan kendiri penting untuk menangani penyalahgunaan media sosial
yang semakin serius di negara ini.
Beliau berkata pengguna harus dididik agar tidak menggunakan media
sosial untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni
fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam.
"Walaupun tiada kawalan kandungan atau tapisan undang-undang dalam media
sosial, pengguna media sosial seperti Facebook dan Twitter harus
mengamalkan kawalan kendiri terhadap kandungan dan maklumat yang
dikongsi serta tidak menghantar sesuatu kandungan negatif.
"Kini, orang ramai terdedah kepada kandungan multimedia yang lebih luas
maka semua harus memainkan peranan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam
memastikan masyarakat kita, khususnya generasi muda bebas daripada
kandungan negatif dan berbahaya," katanya kepada Bernama.
Zulkarnain berkata ibu bapa perlu memainkan peranan melatih anak-anak
untuk mengamalkan kawalan kendiri ketika mengakses internet.
"Zaman sekarang kanak-kanak didedahkan kepada liputan kandungan yang
lebih luas. Maka, kawalan kendiri harus bermula di rumah agar ibu bapa
boleh memantau aktiviti pelayaran internet dan membimbing anak-anak
untuk menggunakannya ke arah kebaikan," katanya.
Zulkarnain berkata pengguna media sosial juga perlu menguasai kemahiran
untuk melaporkan terus kepada pengendali mengenai kesalahan-kesalahan
dalam media sosial bagi melindungi diri dan penguna lain daripada
menjadi mangsa jenayah siber.
"Tahap kemahiran mengendalikan kandungan masih belum
memuaskan...sehubungan itu kerajaan telah melancarkan kempen 'Klik
dengan Bijak' untuk mendidik dan memberi kesedaran berterusan kepada
masyarakat agar bertanggungjawab, beretika dan mengutamakan keselamatan
ketika melayari internet," katanya.
Selain itu, Zulkarnain berkata pengguna harus berwaspada dan meneliti
sumber maklumat di media sosial bagi memastikan kesahihannya sebelum
berkongsi dan disebarkan.
"Berdasarkan satu kajian, 35 peratus responden percaya kandungan yang
disiarkan dalam Facebook adalah tepat dan benar. Ini merupakan satu
angka yang membimbangkan kerana ramai masih tidak boleh bezakan apa yang
benar dan betul," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment