Islam
adalah cara hidup yang merangkumi semua
aspek kehidupan yang mencerminkan akhlak yang terpuji. Salah satu aspek yang
ditekankan termasuklah adab makan dan minum. Firman Allah SWT: “Wahai sekalian
manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah
kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh
yang terang nyata bagi kamu.” (QS Al-Baqarah: 168)
Terdapat
beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa
terjaga. Islam tidak menggalakkan penganutnya makan sesuka hati, makan terlalu
kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang terbaik untuk diteladani ialah
mengikut amalan Rasulullah SAW.
Amalan
pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan firman Allah SWT: “Wahai anak-anak
Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke
tempat beribadat dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan;
sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raf: 31)
Abdullah bin Umar RA meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang
mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (HR Al-Bukhari & Muslim)
Al-Bazzar
pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling banyak
kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan
pada hari kiamat.” (HR At-Tirmidzi)
Ada
beberapa panduan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, antaranya
adalah agar memulai dengan ‘Bismillah’ ketika hendak makan dan diakhiri dengan ‘Alhamdulillah’.
Hikmah membaca Basmalah dan Alhamdulillah bagi seorang Islam adalah peringatan
bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada
Allah SWT yang semestinya disyukuri.
Rasulullah
SAW hanya makan ketika lapar dan Baginda berhenti sebelum perut berasa kenyang.
Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi
lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada
perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada
tiga bahagian. 1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi
untuk air. Mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak sekaligus adalah amalan
yang buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi
lemah dan tidak mampu mencerna dengan baik.
Sabda
Baginda SAW: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk
menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat
mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya,
dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR At-Tirmidzi)
Di
samping itu, Baginda SAW juga tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, sebagaimana
hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah RA, bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Sesungguhnya aku tidak akan
makan dalam keadaan bersandar.”
Rasulullah
SAW makan dengan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan
dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum
juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan
juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (HR Muslim).
Baginda
SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW
menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan
enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur
dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. Rasulullah SAW
bersabda: “Apabila seorang daripada kamu
sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya.” (HR
Muslim)
Perbuatan
membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah
yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkumurlah kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandungi
lemak.” (HR Ibnu Majah)
Di
samping itu, Rasulullah SAW gemar berkongsi makan dalam dulang bersama-sama
dengan sahabat Baginda. Secara tidak langsung ianya mewujudkan kemesraan dan
meningkatkan kasih sayang terhadap sesama Muslim. Selain itu, amalan berkongsi makanan
dalam satu dulang juga dapat mengelakkan pembaziran. Sabda
Rasulullah SAW: “Berkumpullah kalian dalam
menyantap makanan, kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah
kepada kalian.” (HR Abu Dawud)
Imam
Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah menyatakan antara etika makan ialah
membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang soleh ketika
makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul Islam Ibn al-Qayyim rahimahullah, Rasulullah
SAW bercakap dan berbual ketika makan.
“Ada
kalanya Nabi SAW bertanya apakah makanan pada hari ini dan memuji makanan itu.”
(HR Muslim). “Dan ada kalanya Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada
kaum keluarganya. Ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau
supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (HR Al-Bukhari).
Ketika
makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap dengan makanan penuh dalam
mulut. Juga jangan bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau
loya. Hendaklah mengambil makanan yang paling dekat. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan daripada Umar
bin Abi Salamah RA, beliau berkata: “Semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam
bilik bersama Rasulullah SAW. Tanganku melintasi (menjangkaui) segala
piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW: “Wahai kanak-kanak, sebutlah
nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling
hampir denganmu.”
Umat Islam juga dilarang menggunakan
bekas makanan yang diperbuat dari emas dan perak. Bukan sekadar kurang adab,
malahan merupakan satu dosa apabila seseorang itu minum dan makan dengan
menggunakan bekas daripada emas dan perak. Tindakan menggunakan emas dan perak
ketika makan dan minum, melambangkan kesombongan, sedangkan sifat sombong adalah
hak mutlak Allah SWT sahaja.
Dalam satu hadis, daripada
Huzaifah bin Al-Yaman RA, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Jangan
kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan
dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di
dunia dan untuk kamu di akhirat.” (HR Al-Bukhari & Muslim)
Berkata
Imam an-Nawawi: “Telah disepakati oleh sekelian ulama’ bahawa diharamkan
menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau
bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama
ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan.” (Syarah Sahih Muslim, Imam
an-Nawawi)
Kadang-kadang, ketika makan, ada makanan
yang tidak sesuai dengan selera kita, tidak sedap dan sebagainya. Situasi begini
tidak hanya berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada Rasulullah
SAW. Apakah tindakan Baginda apabila menghadapi situasi sedemikian?
Dalam hadis, daripada Abu Hurairah RA
berkata: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya Nabi menyukainya,
pasti Baginda akan memakannya. Dan jika Baginda tidak menyukainya, Baginda akan
meninggalkannya (yakni tidak memakannya).”
Rasulullah
SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum
berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang
besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan
nafas.
Peringatan
Allah SWT melalui firmanNya: “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang
yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir
menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana
binatang-binatang ternak makan minum, sedang neraka menjadi tempat tinggal
mereka.” (QS Muhammad: 12)
Mudah-mudahan
bermanfaat sebagai peringatan bagi kita untuk mencapai kesejahteraan di dunia
dan akhirat.
“Mereka
itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu
akan petunjuk mereka. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai
petunjuk itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk sekelian
alam.” (QS Al-An’am: 90)
kredit:tigasotigo
No comments:
Post a Comment