04 December 2013

Pahang - Banjir Semakin Buruk




Kuantan: Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam Selasa.



Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah. 
"Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut. 
"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan. "Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa. 
Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan. 
"Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu. 
Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan. 
Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir. 
Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Supt Azid Ismail berkata lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik. 
Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai. 
"Penduduk dinasihatkan supaya tidak turun ke Sungai Tembeling atau Sungai Pahang ketika air naik sebaliknya berpindah segera jika berlaku banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. 
Pengusaha bot penambang dan 50 pengusaha bot pelancong di Taman Negara juga dinasihatkan supaya menghentikan sementara perkhidmatan mereka. 
"Pengusaha bot perlu mengutamakan keselamatan penumpang," katanya. 
Di JOHOR BAHARU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan petang ini meningkat kepada 5,659 orang berbanding 4,765 orang pagi ini. 
Setakat 3 petang, Segamat mencatatkan mangsa banjir tertinggi yang dipindahkan iaitu 1,116 orang, mangsa banjir di Kluang juga meningkat iaitu 187 orang manakala di Kota Tinggi meningkat kepada 74 orang. 
Portal MKN menyatakan Muar menjadi daerah terbaharu yang memindahkan mangsa banjir iaitu 35 orang manakala jumlah mangsa di Mersing kekal 4,247 orang. 
Sebanyak 42 pusat perpindahan dibuka berbanding 27 pusat pada sebelah pagi iaitu 18 di Mersing (kekal), 18 di Segamat (meningkat 12), tiga di Kluang (meningkat satu), dua di Kota Tinggi (meningkat satu) dan sebuah pusat dibuka di Muar. 
Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sekejap-sekejap di satu dua tempat di Mersing dan Segamat manakala ribut petir di satu dua tempat di Kluang dan Kota Tinggi hari ini.
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 905 orang berbanding 452 orang pagi ini apabila Dungun dan Hulu Terengganu pula dilanda banjir petang ini. 
Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan setakat 4 petang ini Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu dilanda banjir dengan Kemaman mencatat peningkatan mangsa yang dipindahkan. 
Di Kemaman 761 orang daripada 195 keluarga dipindahkan ke 24 pusat pemindahan berbanding pada sebelah pagi hanya 13 pusat dibuka dengan 452 mangsa banjir. 
Di Hulu Terengganu, 94 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sejak 2 petang manakala di Dungun, 50 orang daripada 12 keluarga dipindahkan sejak 12 tengah hari. 
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan bacaan pada 4 petang menunjukkan paras air di Pasir Raja dan Kuala Jengai di Dungun melebihi paras bahaya masing-masing setinggi 37.84m dan 23.21m. 
Sungai Kuala Berang, di Kampung Menerong di Hulu Terengganu juga melebihi paras bahaya iaitu setinggi 25.13m (bahaya 24.5m) manakala Sungai Kemaman pula, Sungai Cerol di Banho dan Jambatan Air Putih berada dalam kedudukan bahaya iaitu masing-masing setinggi 19.78m dan 15.06m. 
FOTO BANJIR DI PAHANG http://networkedblogs.com/RGRqi
 
Sumber:SH

No comments: