02 December 2013
Ammar - Kematian Yang Menghidupkan
SHAH ALAM - Tutur katanya memperlihatkan beliau seorang ayah yang tabah. Begitu juga ketenangan di wajah seorang ibu tatkala menceritakan detik perginya anak lelaki tunggal dalam keluarga mereka.
Tiada ratapan sayu mahupun tubir mata yang bergenang saat menceritakan tentang putera kesayangan, Ahmad Ammar yang maut dilanggar sebuah ambulans di Istanbul, Turki, bulan lalu.
Kisah Ammar menjadi sebutan malah video mengenai kisah remaja berusia 20 tahun yang merantau jauh semata-mata mahu mendalami ilmu Islam itu disaksikan lebih sejuta pelayar YouTube.
Ramai antara kenalan Ammar menyifatkan pemergiannya sebagai syahid yang tertangguh.
Ammar digambarkan sebagai mujahid yang disayangi ramai bahkan jenazahnya disemadikan bersebelahan dengan makam sahabat Rasulullah SAW, Saidina Abu Ayub al-Ansari, di pemakaman Eyub di Turki.
Satu-satunya jenazah rakyat Malaysia yang dikebumikan di sana. Kisah sedih permergian Ammar menjadi bualan di seantero dunia.
Permata berharga dari bumi Malaysia itu terkenal dengan akhlak dan perjuangannya mahu mendalami sejarah Islam.
Ujar ayah Ammar, Ahmad Azam Abd Rahman, 53, pemergian anaknya itu telah "mencelikkan kembali hati-hati manusia", ketika menghadiri sesi dialog di bangunan Karangkraf hari ini.
Malah menurut Azam, selepas pemergian anaknya itu, kerja dakwahnya menjadi semakin mudah apabila semakin ramai masyarakat tampil menghulurkan bantuan untuk umat Islam sejagat, kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.
“Selepas masyarakat menonton video pemergian Ammar di Youtube, ramai yang terkesan, mereka (masyarakat) menangis, mereka kata hendak berubah.
“Mereka kata walaupun Ammar baru menjejak usia 20 tahun namun sudah banyak kerja dakwah yang beliau (Ammar) telah lakukan, tetapi mereka hanya setakat pergi surau sahaja,” katanya.
Dalam nada yang sama, tambah Azam lagi, hubungan diplomatik dengan negara Turki serta tempat Ammar belajar (Universiti Marmara) juga seolah-olah dipermudahkan oleh ALLAH.
“Sewaktu jenazah Ammar disembahyangkan, Rektor Univerisiti ada datang sekali, Alhamdulillah selepas peristiwa itu segala urusan pelajar Malaysia di Universiti berkenaan menjadi mudah.
“Sebelum ini banyak kerenah (prosedur) untuk urusan kemasukan, namun selepas Rektor berkenaan hadir sekali, hatinya terbuka untuk memudahkan urusan pelajar kita di sana, Alhamdulillah atas segala nikmat pemberian-NYA,” katanya penuh tanda kesyukuran.
Ibunya, Nur Azlina Abdul Aziz dipetik Kosmo! sebelum ini berkata, Ammar merupakan anak yang cukup mudah dijaga. Malah sukar untuk mengingati bila kali terakhir beliau memarahi anaknya itu.
"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.
"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal kepada akhbar itu.
Malah ujarnya, Ammar merupakan seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu sahaja sama ada bersama teman mahu pun ahli keluarganya.
Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, ayah Ammar turut berkongsi tips bagaimana beliau memberi didikan kepada anak-anaknya.
“Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips yang mungkin berguna dalam medidik anak-anak.
“Bagi saya antara tips yang penting ialah mengajar anak-anak dengan visi wawasan ummati, iaitu kita terapkan kepada anak-anak supaya satu hari nanti mereka menjadi salah seorang manusia yang dapat memberi kebahagian serta kemuliaan kepada Islam.
“Memberi nama yang baik supaya mereka mengikut contoh kepada individu tersebut, misalnya nama Muhammad, ajari mereka mengenai ketinggian adab kepada ALLAH, Rasul, ulama, guru, ajari mereka al-Quran.
"Wajibkan mereka solat, ajari mereka sejarah Islam supaya mereka bersemangat untuk memperjuangkan agama ALLAH ini serta yang terakhir ajari mereka supaya mempelajari bahasa asing (sebab itu saya hantar Ammar ke Turki supaya dia faham sejarah Islam Uthmaniah dan dapat memberi sumbangan pada Islam satu hari nanti, namun ALLAH lebih menyayangi beliau, saya reda dengan ketentuan-NYA ,” katanya.
sumber:sinarharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment