03 December 2013

Penculikan Di Semporna - Pengganas tuntut RM11 juta


 
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang bertanggungjawab menculik wanita warga Taiwan di Pulau Pom-Pom, Semporna, Sabah, pada 15 November lalu telah menuntut wang tebusan berjumlah 150 juta Peso (RM11 juta) untuk membebaskan mangsa.

Menurut sumber, kumpulan pengganas itu setakat ini telah menghubungi keluarga mangsa di Taiwan sebanyak tiga kali baru-baru ini bagi menuntut wang berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa juga mengenal pasti mangsa kini di bawah jagaan ketua rangkaian kumpulan pengganas itu bernama Idang Susukan yang turut bertanggungjawab menculik ahli perniagaan cicak tokek, Mohd. Nazarudin Saidin, pada 2011.

"Idang merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina atas beberapa kes penculikan sebelum ini di negara tersebut," katanya di sini.

Sementara itu, di Sabah, pasukan polis mendapat petunjuk baharu kes tersebut apabila berjaya menangkap dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas berkenaan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek lelaki warga Filipina berusia 30 dan 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut pada pukul 3 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, penangkapan itu adalah hasil Op Cantas Khas di kawasan penempatan atau persembunyian individu disyaki dan dikehendaki pihak berkuasa.

Katanya, operasi tersebut turut memberi tumpuan dalam memburu ahli kumpulan yang terlibat kes jenayah, termasuk kumpulan penjenayah dari negara jiran.

"Kita percaya kedua-dua lelaki ini mempunyai kaitan dengan kes penculikan dan kejadian bunuh warga Taiwan di Pulau Pom-Pom sebelum ini.

"Selain itu, mereka juga mungkin terlibat dalam beberapa kes jenayah lain di Sabah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian 15 November lalu, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati manakala rakan wanitanya, juga warga Taiwan, An Wei Chang, 58, dilarikan kumpulan terbabit.

Semasa kejadian mereka berada di sebuah calet yang terletak di atas air di pulau tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki bersenjata.

Hamza seterusnya berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek yang ditahan pernah bekerja di beberapa kawasan di daerah ini termasuk di pulau-pulau di Semporna.

Beliau bagaimanapun tidak boleh menjelaskan secara lanjut tempoh kedua-dua suspek telah berada di negeri ini.

"Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk peranan mereka sekiranya terlibat dalam kes penculikan itu berdasarkan beberapa dokumen yang ada pada kita. Buat masa ini, mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," jelasnya.
- Uo

No comments: