Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha
Penyayang. Sabda Rasulullah SAW: "Adalah Jibril apabila datang kepadaku,
yang pertama diberikannya kepadaku ialah Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim." (Darulquthni dan Ibnu Umar RA)
.
Sabda
Rasulullah SAW: "Itulah isim dari asma Allah. Tidak lain antara ia
dengan nama Allah, 'Akbar' seperti putih mata dengan hitamnya. Begitulah
dekatnya." Demikianlah jawapan Rasulullah SAW ketika ditanya oleh
Uthman Ibnu Affan RA berkenaan Bismillah. Sabda Baginda SAW lagi:
"Ismullahil-A'zham ialah Allah. Apakah engkau tidak lihat bahawasanya
pada semua pembacaan Al-Qur'an dimulai dengan Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim sebelum menyebut nama-nama Allah yang lain." (Riwayat Imam
Bukhari dari Jabir RA).
.
Bersabda
Nabi SAW: "Ketika turunnya Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, bergembiralah
ahli langit dari bangsa Malaikat, bergoncanglah 'Arasy kerana turunnya.
Turut serta bersamanya 1000 Malaikat. Dan, bertambahlah iman para
Malaikat. Dan, tunduklah segala jin dan bergetar segala planet. Gementar
segala sendi-sendi kerana turunnya." Dari Abu Na'im dan Ibn Sunni dari
Siti Aisyah r.anhuma: "Ketika turun Bismillaahir Rahmaanir Rahiim,
mengucap tasbihlah gunung-ganang hingga dapat didengar para penduduk
Mekah dan sekitarnya. Lalu mereka berkata: "Rupanya Muhammad yang
menyihir gunung-gunung itu." Kemudian Allah bangkitkan awan hingga
meneduhkan penduduk Mekah."
.
Sabda
Rasulullah SAW: "Barangsiapa membaca Bismillaahir Rahmaanir Rahiim
dengan penuh yakin, akan bertasbihlah gunung-ganang. Cuma sahaja ia
tidak dapat mendengarnya." Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa
mengucapkan Bismillaahir Rahmaanir Rahiim dan Laa Haula Wala Quwwata
Illaa Billaahil 'Aliyyil Adzhiim, Allah lepaskan dia dari 70 pintu bala
dan kesukaran, dukacita dan kesakitan.".
.
Dari
al-Waqii dan Ats-Tsa'labi dari Ibnu Mas'ud RA: "Barangsiapa ingin
dipelihara oleh Allah dari seksaan Neraka Zabaniah yang sembilan belas,
maka hendaklah dia mengucapkan Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Kerana
Allah menjadikan tiap-tiap huruf Bismillah itu sebagai perisai." Dari
Ad-Dailami dari Ibnu Mas'ud RA, bersabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa
membaca Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, dituliskan baginya tiap-tiap
huruf 4000 kebajikan, dihapuskan darinya 4000 keburukan dan diangkat dia
4000 darjat."
.
Bersabda
Nabi SAW: "Jin itu suka memakai barang-barang kepunyaan manusia dan
pakaian mereka. Oleh itu, barangsiapa mengambil atau menaruh pakaian,
ucapkanlah Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Kerana sesungguhnya nama Allah
yang dibacakan di situ merupakan cop mohor Allah." Pengertian dari
hadith di atas ialah hendaklah kita mengucapkan Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim setiap kali kita menyimpan atau mengambil barang-barang kepunyaan
kita agar terpelihara daripada jin dan syaitan. Bukan sahaja kita
mendapat pahala dari mengucapkannya tetapi juga mendapat keberkatan dan
keselamatan sama ada atas harta-benda mahupun diri dan segala usaha
kita.
.
Dari
Anas bin Malik bersabda Nabi SAW: "Andaikata pepohon dijadikan pena dan
lautan dijadikan tinta, lalu dikumpulkan semua jin, manusia dan
malaikat untuk membuat buku dan menulis erti Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim selama sejuta tahun, mereka tidak akan sanggup mengertikannya
walau hanya satu persepuluh darinya." Bersabda Rasulullah SAW: "Ada
suatu kaum yang datang pada Hari Qiamat nanti dengan mengucapkan
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Lebih berat kebajikan mereka dari
keburukan mereka. Lalu berkata umat-umat yang lain: "Alangkah beratnya
timbangan amal kebajikan mereka." Sesungguhnya, adapun yang menjadi
sedemikian kerana mereka sentiasa memulai segala perbicaraan mereka
dengan Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Kerana ia adalah Isim Allah Yang
Maha Agung. Jika sekiranya diletakkan langit dan bumi serta segala
isinya ke atas neraca timbangan, nescaya beratlah lagi kalimah
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim."
.
Dari
Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Apabila engkau berwuduk,
ucapkanlah Bismillaahir Rahmaanir Rahiim kerana malaikat penjagamu tidak
akan berhenti menuliskan kebajikan bagimu sehingga engkau selesai. Dan,
apabila engkau ingin bersatu dengan isterimu, ucapkanlah Bismillaahir
Rahmaanir Rahiim kerana sesungguhnya malaikat penjagamu akan menuliskan
kebajikan bagimu hingga selesai engkau mandi janabah. Jika dari
persetubuhan itu lahir seorang anak, akan dituliskan bagimu kebajikan
menurut bilangan nafasnya dan bilangan anak-cucunya hingga tidak
dikecualikan walau seorang."
.
Diriwayatkan
oleh Ibnu Abbas RA telah bersabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa di
antara kamu apabila ia akan bersetubuh dengan isterinya, lalu dia
mengucapkan Bismillaahir Rahmaanir Rahiim dan "Ya Allah, jauhkanlah
syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan itu daripada apa yang
Engkau kurniakan untuk kami", maka jika sesungguhnya Allah takdirkan
dari persetubuhan itu lahir seorang anak, tidak akan dapat syaitan
memudaratkannya untuk selama-lamanya."
.
Dikisahkan
di dalam Kitab Khozinatul-Asror bahawasanya Allah Ta'ala itu mempunyai
3000 nama yang mana 1000 nama hanya diketahui oleh para Nabi-Nabi Allah,
300 nama disebutkan di dalam Kitab Taurat, 300 nama disebutkan di dalam
kitab Injil, 300 nama disebutkan di dalam Kitab Zabur, 99 nama
disebutkan di dalam al-Qur'anul Kariim manakala 1 berada di sisi Allah.
Dan, adapun makna daripada keseluruhan 3000 nama ini terhimpun di dalam 3
nama-nama Allah iaitu Allah, Ar-Rahmaan dan Ar-Rahiim yang termaktub
pula di dalam kalimah Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Maka, barangsiapa
mengajarkan dan mengucapkan Bismillaahir Rahmaanir Rahiim umpama ia
menyebutkan keseluruhan 3000 nama-nama Allah.
.
Adapun
sesungguhnya kalimah Bismillaahir Rahmaanir Rahiim itu ada sembilan
belas huruf dan Malaikat-Malaikat penjaga Neraka itu juga ada sembilan
belas. Maka, barangsiapa membaca Bismillaahir Rahmaanir Rahiim dengan
penuh ikhlas dan yakin kepada Allah, nescaya terhindarlah dia daripada
siksaan Malaikat Zabaniah. Dan, barangsiapa mengucapkan Bismillaahir
Rahmaanir Rahiim banyak-banyak dengan harapan mendapat rezeki, nescaya
akan diberikan Allah rezeki dengan mudah dan tidak terduga olehnya.
Serta, diberi kurnia kehebatan di hati manusia dan di sisi alam yang
tinggi (yakni Malaikat) dan alam yang rendah (yakni manusia dan
lain-lain makhluk Allah di mukabumi ).
No comments:
Post a Comment