26 September 2013

65 WARAN TANGKAP DIKELUARKAN KEPADA PEMANDU BAS

  Gambar Hiasan

Kuala Lumpur, 25 Sept - Polis mengeluarkan 65 waran tangkap terhadap pemandu bas ekspres kerana pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Operasi Khas Warta Bas, di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata waran tangkap itu juga dikeluarkan kepada pemandu bas yang mempunyai rekod saman tertunggak.

"Mereka perlu hadir di mahkamah dan menjelaskan bayaran saman mereka di mana-mana cawangan balai polis trafik terdekat dalam tempoh seminggu.

"Jika tidak hadir di mahkamah, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang dan dalam operasi akan datang polis tidak akan beri muka kerana mereka akan ditahan dan dibawa terus ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas memeriksa 99 pemandu bas di TBS.

Beliau berkata 65 pemandu bas yang dikeluarkan waran tangkap hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

"Saya menasihatkan kepada pengusaha-pengusaha bas agar memastikan pemandu bas mereka 'bersih' daripada melakukan kesalahan jalan raya, saman dan waran tangkap," kata Abdul Aziz.

Pemandu bas pula harus menitikberatkan keselamatan dan keselesaan penumpang serta tidak memandang remeh saman yang dikenakan.

"Jangan semata-mata mengejar destinasi dan membawa melulu dengan menggadai keselamatan penumpang. Jika dilihat sejak kebelakangan ini kerap berlaku kemalangan bas, yang kini meningkat sebanyak 14 peratus," katanya.

Sehingga kini polis mengeluarkan sebanyak 2,900 waran tangkap untuk pemandu bas.

Dalam operasi hari ini sebanyak 55 anggota dan pegawai terlibat dan ditempatkan di tiga lokasi iaitu di Hentian Putra, Pudu Sentral dan TBS dari pukul 8 pagi sehingga 11 pagi. - BERNAMA


No comments: