GEORGE TOWN - Ketua
Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang
menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya pada
Isnin lepas untuk bersemuka.
Abdul Rahim
berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu
tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di
negeri ini sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.
"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.
"Tak payahlah
ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja... telefon mana mahu jumpa, saya
akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya...saya
akan pergi,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam
sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini
malam ini.
Beliau menerima
lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pukul 9 malam semalam.
Antara kandungan
SMS berkenaan ialah “Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil
saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best”.
Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk “mengambil” Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya “mengambil” Abdul Rahim.
Kesemua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula pukul 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment