LAHAD DATU - Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
(Esscom), Datuk Mohammad Mentek mengarahkan pegawai Esscom untuk segera
mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu yang cuba
menakut-nakutkan rakyat Sabah, khususnya mengenai ancaman terkini di
kawasan Lahad Datu.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu.
Mohammad menegaskan keadaan di Lahad Datu adalah seperti biasa dan
terkawal, dan tidak berlaku sebarang cubaan pihak tertentu (pengganas)
untuk memasuki perairan negeri ini. "Itu cuma khabar angin dan
propaganda. Perairan kita sentiasa diawasi dan dikawal ketat oleh
pasukan keselamatan dan pertahanan kita," katanya kepada Bernama, hari
ini.
Mohammad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu yang meminta orang ramai
khususnya masyarakat di Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin yang
disebar sejak Selasa mengenai ancaman terkini di Lahad Datu.
Khalid juga dipetik sebagai berkata, bahawa desas-desus polis telah
mengeluarkan arahan perintah berkurung di Lahad Datu adalah tidak benar
sama sekali.
Sehubungan itu, Mohammad menasihati orang ramai agar tidak mempercayai
khabar angin itu dan mahu mereka sentiasa mendapatkan pengesahan
daripada Esscom atau balai polis berhampiran berhubung perkara itu.
"Pihak Esscom juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya," katanya.
Mohammad, sebelum ini mengumumkan pembukaan Bilik Gerakan keselamatan
Esscom sebagai sebahagian daripada usaha untuk memantapkan lagi
pertahanan dan keselamatan rakyat negeri Sabah.
Bilik Gerakan yang berpusat di Lahad Datu itu beroperasi 24 jam setiap
hari dan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat, membuat aduan atau
pertanyaan boleh menghubungi talian 089-863181 atau faks 089-863182. -
Bernama
No comments:
Post a Comment