27 September 2013

832 kematian akibat nahas kenderaan berat




KUANTAN - Sebanyak 832 kematian dicatatkan dalam 1,481 kes kemalangan membabitkan kenderaan berat bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini di seluruh negara.

Pada tahun lepas, sebanyak 2,491 kes kemalangan membabitkan kenderaan berat, dengan jumlah kematian pengguna jalan raya adalah 1,241 orang manakala pemandu kenderaan berat adalah 176.

Bagi menangani perkara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melakukan operasi bersepadu secara berterusan di seluruh negara, kata Ketua Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abd Aziz Yusof.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya kepada pemberita ketika menyertai operasi bersepadu itu di kawasan Perindustrian Gebeng di sini, hari ini.

Beliau berkata antara punca kemalangan ialah membawa muatan berlebihan yang menyebabkan kenderaan berat sukar dikawal dan gagal diberhentikan apabila berlaku kecemasan.

"Terdapat lori yang membawa muatan lebih 80 peratus, sekali gus boleh menjadi punca kepada kemalangan dan kerosakan jalan raya," katanya.

Mengenai operasi di kawasan perindustrian itu hari ini, beliau berkata sebanyak 38 lori dikesan membawa lebih muatan dan pemandu terbabit disaman.

Katanya saman turut dikeluarkan kepada pihak syarikat kenderaan terbabit.

Turut serta dalam operasi itu ialah Pemangku Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman dan Pengurus Penguatkuasa SPAD, Azahar Ahmad. - Bernama


Kredit:VAT69-PerjuanganSemalam

No comments: