Kajian segera prosedur tangkap penjenayah elak bahaya ke atas anggota polis
SHAH
ALAM: Satu kajian terperinci mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP)
polis akan dijalankan dengan segera bagi mengelak anggota pasukan itu
tercedera atau terbunuh ketika menangkap penjenayah.
Timbalan
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata kajian itu
perlu berikutan tugasan anggota dan pegawai polis sentiasa berisiko
tinggi sehingga boleh mengancam nyawa mereka.
"Kita akan
melakukan satu kajian semula SOP kita kerana tanggungjawab polis
sentiasa berisiko berhadapan dengan bahaya," katanya selepas mewakili
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar merasmikan Seminar Polis
Wanita 2013 di sini hari ini.
Mengulas mengenai seorang anggota
polis maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops
Lejang di Taman Teknologi Cheng, Melaka semalam, Mohd Bakri berkata
polis akan meneliti prosedur itu terutamanya membabitkan kes berisiko
tinggi.
Dalam pergelutan itu, Koperal Zal-Azri Abdul Somad, 31,
daripada Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan
mati di tempat kejadian.
Sebelum itu dalam ucapannya, Khalid
berkata, polis akan menambah keanggotaan polis wanita mengikut keperluan
dan kekosongan jawatan selain memantapkan lagi kekuatan polis wanita di
negara ini setelah pengambilannya dihentikan tiga tahun lepas.
Teks ucapannya dibacakan Mohd Bakri.
"Pada ketika ini kekuatan polis wanita adalah seramai 11,523 orang atau
10.4 peratus daripada keseluruhan kekuatan beruniform Polis Diraja
Malaysia," katanya.
Khalid berkata sasaran 30 peratus anggota
wanita yang menyandang jawatan pembuat keputusan iaitu dari pangkat
Supritendan dan ke atas juga akan dicapai dari semasa ke semasa dan
ketika ini hanya 7.4 peratus sahaja wanita memegang jawatan berkenaan.
Seminar tiga hari yang akan berakhir esok disertai 150 Inspektor ke atas dari seluruh negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment