26 September 2013
Bila Polis Tidak Melepaskan Tembakan
Baru berusia 4 tahun, Mohamad Habibullah, dan adiknya Mohamad Atiqullah, 5 bulan, tiba-tiba menjadi yatim.
Masih terlalu kecil dan amat memerlukan kasih sayang, mereka sudah tidak berbapa. Dan ibu muda Atiqah Mohd Rosli @ Mohd Rodi, 29, kini bergelar balu. Bapa dan suami tersayang, Sarjan Zal-Azri Abdul Somad, 31, menemui ajal minggu lalu.
Semuanya gara-gara penjenayah yang tidak berhati perut. Anggota polis dari Unit D4 @ Bahagian Risikan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka itu maut dihentak kepala dan muka dengan batu ketika bergelut dengan penjenayah di Taman Teknologi Cheng di Ayer Keroh, Melaka.
Seperti dilaporkan media, Allahyarham dalam keadaan luka parah dipercayai sempat merangkak kira-kira 25 meter sebelum rebah. Alangkah sakitnya! Sebelum kejadian Zal-Azri bersama tiga anggota dan seorang pegawai dari unit berkenaan menyerbu premis yang terdapat di kawasan perindustrian dalam Ops Lejang susulan kes kecurian lori.
Semuanya berawal apabila polis mendapat maklumat tiga suspek berusia 17, 22 dan 23 tahun menggunakan lori yang dicuri untuk mencuri besi buruk. Dalam serbuan tersebut, dua lelaki dapat ditahan sementara seorang lagi yang berusia 17 tahun, cuba melarikan diri ke luar pagar. Sarjan mengejar suspek yang lari, bergelut, dan... Al-Fatihah.
Sebenarnya Zal-Azrai boleh menggunakan pistol, melepaskan tembakan amaran kepada suspek yang melarikan diri, atau jika amaran tidak dihiraukan, tembakan boleh dihalakan di bahagian kaki. Malah sekiranya ada ancaman terhadap nyawa, tembakan boleh dihalakan di bahagian-bahagian lain tubuh suspek. Tetapi dia memilih untuk bergelut.
Sebenarnya dalam keadaan kecemasan pun polis selalu memilih untuk tidak menggunakan senjata api. Sudah kerap terjadi tindakan menembak suspek berakhir dengan pihak polis pula yang dipersalah. Polis dituduh menembak membabi-buta, ikut suka hati, tidak berperi kemanusiaan dan lain-lain tohmahan.
Pihak keluarga suspek yang ditembak bermati-matian akan menegaskan suspek tidak terlibat dengan jenayah, suspek orang baik, suspek tidak tinggal sembahyang dan sebagainya.
Akhirnya laporan polis dibuat, dan polis yang menjalankan tugas mengikut peraturan akan dihadapkan ke mahkamah.
Dalam kes di mana lima penjenayah ditembak di Pulau Pinang bulan lalu, tindakan polis telah dicemuh dan dipertikai oleh sesetengah pihak. Walaupun polis mempunyai bukti dan dokumen mengesahkan yang dibunuh itu adalah penjenayah, ada pihak menganggap polis telah berlaku zalim.
Malah, ada pihak yang sengaja memperlekeh dan mencabar pihak polis dengan berarak mengiringi mayat penjenayah. Mereka cuba menggambarkan bahawa yang ditembak itu bukan penjenayah, sebaliknya hero. Bagaimana orang yang mempunyai sekian banyak rekod jenayah, termasuk membunuh, dianggap hero?
Biasa juga terjadi apabila ada penjenayah ditembak polis, beberapa NGO hak asasi akan tampil dan menghujah tindakan tersebut. Mereka yang mendakwa memperjuangkan hak kemanusiaan, menganggap apa yang dilakukan oleh polis adalah melampau batas kewajaran.
Seorang penjenayah mungkin telah menyusahkan orang ramai dengan mencuri, meragut, merompak, peras ugut, pecah rumah, merogol, malah membunuh. Kehidupan orang ramai tidak tenteram, terancam dan sentiasa dalam ketakutan. Apabila si penyangak ditembak, kumpulan yang memperjuangkan hak asasi telah mempersalah polis, berarak di jalanan, dan mengheret polis ke mahkamah.
Mereka mempertikai tindakan polis atas alasan mempertahankan hak asasi seorang penjenayah. Tidakkah mereka tahu hak beribu-ribu orang lain – untuk hidup aman – telah diganggu-gugat oleh seorang penjenayah? Siapa sebenarnya yang diperjuangkan oleh NGO ini – penjenayah atau orang awam?
Suspek berusia 17 tahun yang membunuh seorang anggota Unit D4 di Melaka itu kini ditahan, dan siasatan awal mendapati suspek di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah tersebut.
Seorang anggota polis yang penuh bertanggungjawab telah mempertaruhkan nyawa untuk menangkap penjenayah. Dia maut dalam keadaan yang ngeri dan menderita kesakitan.
Setakat ini tidak ada satu pun NGO hak asasi manusia tampil untuk membela Zal-Azri. Apakah pada hemat mereka hak suspek penjenayah itu lebih perlu diperjuangkan daripada hak seorang penguat kuasa undang-undang?
Sesetengah kita memang tersilap menilai. Sebab itu pengganas komunis yang telah membunuh beribu-ribu nyawa tidak berdosa, kini dianggap sebagai wira.
Kredit:VAT69-PerjuanganSemalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment