Hampir empat
bulan diburu pihak berkuasa, ketua kumpulan 'Geng 08 Vinod' yang
terkenal dengan jenayah samun bersenjata di sekitar Rawang dan Gombak,
Selangor, akhirnya tumpas selepas diberkas polis di Jalan Kuantan, Tasik
Titiwangsa, pagi semalam
Suspek dikenali
sebagai Vinod Mohan, 21, diberkas di sebuah rumah kosong pukul 9.30
pagi, selepas melarikan diri lebih 30 kilometer dengan memandu kereta
sejurus terserempak sepasukan polis di kawasan Genting Sempah, Pahang.
Turut bersama
suspek yang menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish itu ialah
seorang gadis berusia 23 tahun. Semasa melarikan diri, suspek dikatakan
turut melepaskan tembakan.
Dalam insiden
mengejar itu, kenderaan dipandu suspek telah melanggar seorang orang
awam dan terbabas di satu lokasi di Tasik Titiwangsa sebelum lelaki
tersebut melarikan diri manakala rakannya ditahan.
Bertindak atas
maklumat, polis kemudian memberkasnya di sebuah rumah kosong di kawasan
berdekatan dalam keadaan cedera, termasuk di bahagian bahu dan pinggang
akibat terkena tembakan.
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah
berkata, pada Oktober lalu seramai tujuh ahli kumpulan geng ini ditahan
dan dikenakan Perintah Pengawasan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan
Jenayah 1959 di Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Perak.
"Kesemua mereka
telah melanggar syarat dan kembali ke Gombak untuk meneruskan aktiviti
jenayah dan pada 17 November lalu, kami berjaya menahan lima daripada
mereka di Batu Batu Caves.
"Bertindak atas
perkara itu juga, kami telah menahan suspek bernama Vinod setelah
mengejarnya dari Genting Sempah," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, ekoran penahanan tersebut, sekurang-kurangnya 30 kes samun di sekitar Lembah Klang berjaya diselesaikan pihak polis.
Ogos lalu, akhbar
melaporkan seorang anggota Geng 08 Vinod yang melarikan diri daripada
sekatan jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) diburu polis dan
dipercayai bersembunyi di kawasan hutan Ulu Yam.
kredit;BB
No comments:
Post a Comment