Pengenalan
Risalah
ini bertujuan mengemukakan hadis-hadis sahih dari Rasulullah saw
mengenai amalan beliau sebelum tidur dan apakah yang dilakukan oleh
beliau sewaktu bangun dari tidurnya. Tidur dan bangun sebenarnya adalah
perkara yang sangat penting, kerana ia adalah pemula kepada kehidupan
seharian (perlu dibincang dalam risalah yang lain).
Ini
adalah sunnah Rasulullah saw, jika tidak dapat melaksanakan kesemuanya
janganlah pula kita meninggalkan kesemuanya. Hadis-hadis ini hanya
pilihan dan pemilihannya diantaranya terdapat yang paling mudah untuk
diamalkan.
Selain
itu semoga risalah ini dapat mengganti risalah hadis mengenai empat
perkara sebelum tidur yang tidak diketahui asal usul hadis tersebut
tetapi kian tersebar di setiap laman web. Semoga Allah melindungi kita
dari ilmu yang tidak bermanfaat dan menambahkan ilmu yang bermanfaat
kepada kita semua.
Hadis-Hadis Dari Rasulullah saw
Sahih Bukhari
1. Dari Abu Salim r.a : Nabi saw bersabda, “Kalau kamu tidur, jangan dibiarkan api menyala dalam rumahmu.” [1730]
Dalam
riwayat lain disebutkan juga agar mengunci pintu, tutup tempat simpanan
air dan menyimpan makanan dan minuman (tidak terdedah). Terdapat juga
anjuran agar mengibas-ngibaskan tempat tidur tiga kali sambil menyebut
nama Allah.
2. Dari Huzaifah r.a, katanya :
Nabi saw ketika membaringkan diri di tempat tidur di malam hari, beliau
letakkan tangannya di bawah pipinya (mengereng ke kanan) kemudian
beliau berdoa, “Allahumma bismika amuutu wa ahyaa” (Ya Allah, dengan
nama-Mu aku mati dan hidup).
Setelah
bangun beliau berdoa, (Terjemahan : Segala puji bagi Allah yang telah
menghidupkan kami kembali setelah dimatikan-Nya dan kepada-Nya kami akan
bangkit kembali.” [1734]
3. Dari Abu Hurairah r.a :
Rasulullah saw bersabda, “Kalau seorang wanita (isteri) tidur dengan
menjauhkan diri dari suaminya, maka malaikat melaknati wanita itu sampai
ia kembali kepada suaminya.” [1606]
4.
Sesiapa yang membacanya (Ayat Al-Qursi atau Surah Al-Baqarah : 255)
ketika hendak tidur, dia akan dipelihara Allah dan syaitan tidak akan
menghampirinya sehingga waktu pagi. [Al-Bukhari dalam Fathul Bari]
Sahih Muslim
1. Dari Al Bara’ bin Azib r.a :
Rasulullah saw bersabda, “Apabila engkau hendak tidur, maka
berwudhuklah terlebih dahulu seperti wudhukmu untuk solat. Kemudian
berbaringlah atas rusukmu yang kanan, kemudian berdoa :
(Terjemahan
: Ya Allah, Aku tundukkan wajahku di hadapan-Mu. Ku serahkan segala
urusanku kepada-Mu. Ku serahkan diriku kepada-Mu dengan penuh harap
(akan pahala-Mu) dan takut akan siksa-Mu. Tidak ada tempat berlindung
dan tempat melepaskan diri melainkan kepada-Mu jua. Aku iman dengan
kitab-Mu yang Engkau turunkan dan dengan Nabi-Mu yang diutus).
Dan jangan berkata-kata lagi sesudah itu. Jika engkau mati malam itu, maka engkau mati dalam keadaan fitrah (suci). [2332]
Terdapat
banyak lagi doa-doa yang dianjurkan tetapi satu sudah memadai dan ini
lafaz yang terdapat berwudhuk terlebih dahulu sebelum tidur.
Sahih Abu Daud
1. Dari Naufal r.a :
Nabi saw berkata kepadanya, “Bacalah (Surah Al-Kafiruun) kemudian
tidurlah ketika sampai pada akhirnya (baca sehingga habis). Sesungguhnya
itu ada pembebas dari perbuatan syirik.” [5055]
2. Dari Aisyah r.a katanya :
Nabi saw apabila hendak beranjak ke tempat tidurnya setiap malam,
beliau menyatukan kedua tapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan
membacakan keduanya Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.
Kemudian
beliau mengusap dengan keduanya bahagian mana sahaja semampunya. Beliau
memulainya dari atas kepala dan wajahnya dan bahagian belakang dari
badannya. Beliau melakukan perkara itu tiga kali.” [5056]
3. Dari Ubadah bin Somit r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa terbangun di sebahagian malam dan ia mengucapkan ketika ia terbangun;
Laa ilaha illallaah (Tiada tuhan selain Allah),
Wahdahu laa syariikalah (Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya),
Lahulmuluku
wa lahulhamdu wa huwa ‘alaa kulli syai-ingg qadiir (Miliknya semua
kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Kuasa atas segala
sesuatu),
Subhanallah, walhamdulillah, walaa ilaha illallaah, wallahuakbar,
Walaa ‘haula walaa quwwata illa billah (Tiada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan Allah).
Kemudian ia berdoa, ‘Rabbighfirlii’ (Ya Rabb, ampunilah aku).
Al-Walid
berkata, ‘Atau ia berkata, “Ia berdoa maka akan dikabulkan doanya.
Apabila ia bangun dari tidurnya kemudian berwudhuk untuk solat, maka
solatnya diterima.” [5060]
4. Dari Ali r.a :
....(Diringkaskan dimana Nabi saw berbicara kepada Aisyah r.a) “Mahukah
kalian aku khabarkan sesuatu yang lebih baik dari yang kalian minta
apabila kalian hendak beranjak tidur?
Bertasbihlah
(Subhanallah) 33 kali dan ucapkanlah Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan
ucapkanlah takbir (Allahuakbar) 34 kali, itu semua lebih baik dari
seorang pembantu.” [5062]
Sahih Ibnu Majah
1. Dari Aisyah r.a :
Nabi saw jika hendak pergi ke tempat tidurnya, maka beliau akan
meniupkan pada kedua telapak tangannya dan membaca surah
al-Mu’awwidzatain (Surah Al-Falaq dan An-Nas), kemudian beliau usapkan
badannya dengan kedua tangannya tersebut. [3138]
2. Dari Muadz bin Jabal r.a :
Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari
dalam keadaan suci, kemudian terbangun di tengah malam lalu ia memohon
sesuatu kepada Allah dari perkara dunia mahupun perkara akhirat, nescaya
akan diberikan kepadanya (dikabulkan permintaannya) itu.” [3145]
Sahih Nasa’i
1. Dari Abu Hurairah r.a :
Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian bangun dari
tidurnya lalu berwudhuk, maka hendaklah ia menghirup air ke dalam
hidung lalu mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali kerana syaitan
tinggal (bermalam) di dalam batang hidungnya.” [0090]
2. Dari Abdullah bin Abu Qais r.a, dia berkata : Aku
bertanya kepada Aisyah, ‘Bagaimana Rasulullah saw tidur (adakah) dalam
keadaan junub? Apakah beliau mandi sebelum tidur? Atau tidur sebelum
mandi?
Aisyah
menjawab, ‘Semua dilakukan oleh Rasulullah saw. Kadangkala beliau mandi
dulu sebelum tidur dan kadangkala (hanya) berwudhuk lalu tidur.” [0402]
Tambahan :
Jika Rasulullah saw dalam keadaan junub, jika beliau tidak mandi wajib
beliau akan berwudhuk terlebih dahulu kemudian baru tidur.
3. Dari Abdullah bin Zaid bin Ashim,
dia pernah melihat Rasulullah saw (tidur) terlentang di masjid dengan
meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain. [0720]
Tambahan :
Tiada masalah untuk tidur di dalam masjid, tetapi sangat menghairankan
terdapat papantanda di beberapa masjid yang tertulis ‘Dilarang Tidur
Dalam Masjid’. Mungkin ada sebab-sebab tertentu larangan itu tetapi
ubahlah perkataannya agar tidak menyalahi sunnah Rasulullah saw. Contoh,
‘Hormatilah Masjid’ atau “Allah Melihat Apa Yang Kamu Kerjakan’ atau
lain-lain yang tidak menyalahi sunnah.
4. Dari Abu Hurairah r.a :
Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka
syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat
dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.
(a). Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwudhuk, maka lepaslah ikatan yang lainnya dan
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).
Sehingga
pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan
bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun
malam lalu berzikir, berwudhuk dan solat) maka pada pagi harinya,
jiwanya akan buruk dan malas.” [1606]
Dalam
riwayat lain terdapat juga agar membangunkan juga isterinya,
anak-anaknya, menantunya atau ahli keluarganya yang lain untuk solat
malam.
Penutup
Ini
hanya sedikit sahaja doa-doa dan amalan dari Rasulullah saw dan banyak
lagi yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang lain. Sekiranya kita
tidak mampu buat semua perkara di atas, janganlah pula kita meninggalkan
semuanya. Berusahalah buat sekadar yang termampu.
Mengenai
fadhilatnya, ada yang Rasulullah saw menjelaskannya dan ada pula tiada
penjelasan mengenainya. Namun apa yang patut kita sedari adalah,
fadhilat terbesarnya adalah pahala mengikut Rasulullah saw dan menjadi
umat Nabi Muhammad saw yang mencintainya dan melaksanakan sunnahnya.
Cukup firman Allah Subhana wa Ta’ala sebagai pedoman;
Terjemahan : Surah Al-Anfaal [8] : 24
24.
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul
apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada
kamu, ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan
hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.
Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 69
69.
Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan
bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah,
iaitu : Nabi-nabi, para siddiiqiin (orang-orang yang jujur atau amanah),
orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah
teman yang sebaik-baiknya.
Perlu
diingat, dalam beberapa riwayat terdapat hadis mengatakan, jika kita
hendak tidur dan cuba untuk mengamalkan sunnah Rasulullah saw di atas,
syaitan akan datang dan melekakan kita sehingga kita tertidur tanpa
melaksanakan sunnah tersebut.
Wallahu’alam.
Sumber:koleksihadisnabi
No comments:
Post a Comment