MIRI: Seorang wanita bersama seorang lelaki yang
dikatakan teman lelakinya dilaporkan telah menanam seorang bayi
hidup-hidup dalam lubang tepi pagar ladang sawit dekat Suai, Niah,
petang kelmarin.
Menurut laporan Berita Harian, tangisan dan
rontaan bayi malang yang masih bertali pusat dalam plastik sampah itu
tidak dihiraukan oleh wanita terbabit yang disyaki ibu mangsa.
Perbuatan kejam itu dilakukan pasangan berusia 20-an terbabit sekitar
jam 4 petang dan disedari pengawal ladang yang terserempak dengan mereka
dalam keadaan mencurigakan serta terdengar tangisan bayi dalam plastik
hitam yang mereka bawa.
Pengawal yang curiga dengan kelakuan
pasangan terbabit kemudian mengintai dari jauh dan mendapat pasangan itu
menggali tanah berhampiran pondok pengawal keselamatan di situ sebelum
menanam objek yang dikeluarkan dari beg plastik dibawa mereka.
Mereka kemudian meninggalkan kawasan tersebut apabila tangisan bayi tidak lagi kedengaran.
Sebaik sahaja pengawal keselamatan berkenaan bergegas melakukan
pemeriksaan, dengan mengorek kesan tanah baru digali, sehingga ternampak
kaki kanan bayi terbabit.
Dia kemudian segera memaklumkan kejadian itu kepada pengurus ladang yang kemudian menghubungi polis.
Sepasukan anggota Balai Polis Pusat Miri kemudiannya bergegas ke lokasi.
Setelah tanah dikorek sepenuhnya, polis menemui mayat bayi lelaki cukup
sifat dan masih bertali pusat, dibungkus dengan kain lampin serta
selimut mempunyai tanda untuk kegunaan hospital, yang dipercayai baru
dilahirkan.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut
termasuk mendapatkan maklumat dari Klinik Kesihatan Batu Niah dan
Hospital Miri untuk mengenal pasti latar belakang individu yang
melahirkan bayi sejak beberapa hari lalu.
Sumber:astroawani
No comments:
Post a Comment