Roda utama kanan pesawat terbabit yang terlajak ke kawasan lembut di hujung Landasan 11.
MIRI: Sebuah pesawat Twin-Otter MASwings terbabas selepas mendarat di lapangan terbang kecil Bario pagi Rabu.
Kesemua 13
penumpang dan dua juruterbang penerbangan MH3434 itu dilapor selamat,
manakala operasi penerbangan kembali seperti biasa selepas kejadian pada
kira-kira 9.20 pagi itu.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada 8.30 pagi.
Eksekutif
komunikasi korporat MASwings Rozanah Robert memberitahu Bernama: “Ketika
bergerak di landasan menuju ke terminal, roda utama kanan pesawat
terbabit terlajak ke kawasan lembut di hujung Landasan 11, sebelum
pasukan kejuruteraan kami dihantar membuat pemeriksaan terhadap pesawat
itu.
“Pesawat berkenaan tidak mengalami kerosakan serius.”
Kejadian pada Rabu adalah yang kedua melibatkan pesawat serupa.
Pada 10 Oktober,
pesawat penerbangan MH3002 MASwings dari Kota Kinabalu ke Kudat
terhempas di atas sebuah rumah di Kampung Sinsan, Kudat pada 2.50
petang, menyebabkan seorang penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu
juruterbang Marc Joel Bansh, 23, terbunuh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment