11 April 2013

Lapan Berhadapan Hukuman Mati



KUALA LUMPUR: 15 orang warga Filipina dan seorang anggota Polis berpangkat Lans Koperal akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau Jumaat ini. Mereka sebelum ini telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Tawau. Mahkamah kemudiannya bersetuju agar kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Lapan daripada mereka akan berhadapan hukuman mati atas pertuduhan “melancarkan Perang ke atas DYMM Yang Di Pertuan Agong.
Ini adalah kali kedua pertuduhan seperti ini digunakan. Kali pertama ialah semasa kumpulan pemberontak Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.
Selebihnya, 7 orang lagi akan dihadapkan atas tuduhan “keganasan, menyemarakan kegiatan pengganas dan merekrut orang lain menyertai kumpulan pengganas.
Manakala anggota polis terbabit akan dihadapkan atas tuduhan membocorkan rahsia bagi tujuan membantu aktiviti pengganas.

Lagi Berita Berkaitan


15 warga Filipina dan seorang Koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau Jumaat ini. 

Lapan daripada mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong. 

Ia adalah kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000. 

Selain itu tujuh lagi tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas. 

Seorang anggota polis warga tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas. 

Kesemua mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. 

Pada prosiding Jumaat ini, pengakuan tertuduh akan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P Ravinthran. 

Pada 21 Mac lalu, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong tidak diwakili peguam hingga Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh. 

Selain itu pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. 

Bagi pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda. 

Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda manakala Seksyen 130K diperuntukkan bagi kesalahan melindungi pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda. 

Sementara itu, bagi kesalahan mengikut Seksyen 130M iaitu sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Kesemua tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang tidak membenarkan mereka diikat jamin. 

Pada prosiding lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan berkata, pada Jumaat ini beliau akan memberitahu mahkamah mengenai perkembangan perbincangan dengan Persatuan Undang-undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat peguam untuk kesemua tertuduh. 

Dalam pada itu, keadaan di kawasan krisis sudah kembali normal. Semua sekolah sudah dibuka dan sebahagian besar penduduk telah kembali ke rumah masing-masing. 

Kedai-kedai dan pusat pelancongan di Samporna dan Lahad Datu telah dibuka dan penduduk di sana melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Namun, pihak keselamatan masih berkawal di beberapa buah kampung yang terlibat dengan pertempuran sebelum ini.

Kerajaan telah berjanji akan menyegerakan pembinaan rumah penduduk yang rosak akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pengganas

No comments: