22 November 2013

Elaun Komputer Utk Guru ???

Gambar hiasan
WALAUPUN Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berjanji akan menyediakan RM1,000 kepada guru setiap lima tahun untuk membeli komputer, tetapi perkara itu rupa-rupanya belum diluluskan.

China Press melaporkan, JPA telah bersetuju untuk memberi elaun tersebut tiga tahun lalu, tetapi sehingga kini tidak diluluskan secara hitam putih.

Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Tey Meng Seng berkata, keadaan itu menyebabkan guru terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membeli komputer bagi melaksanakan tugas di bawah Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Beliau berkata, penggunaan komputer peribadi perlu kerana ramai guru terpaksa memasukkan data ke dalam SPPBS pada waktu tengah malam untuk mengelakkan `kesesakan trafik' dalam sistem.

``Walaupun pihak sekolah ada menyediakan komputer, tetapi jumlahnya tidak banyak dan perisiannya juga mungkin tidak dapat menyokong SPPBS sekali gus menyebabkan kerja memasuk data bertambah perlahan,'' katanya seperti dipetik China Press.

Katanya, pemberian elaun komputer sebanyak RM1,000 untuk setiap lima tahun wajar memandangkan komputer sudah bukan barangan mewah tetapi barang yang diperlukan untuk melaksana kerja.

Dalam perkembangan lain, Meng Seng berkata, pentaksiran pusat yang akan mula dilaksanakan di kalangan pelajar tingkatan tiga pada 2014 telah menimbulkan kebimbangan ibu bapa kerana Kementerian Pendidikan belum menyediakan garis panduan lengkap mengenai perkara itu.

``Nisbah markah antara pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat belum diketahui lagi.

``Mula-mulanya kita dengar pentaksiran pusat ialah sebanyak 60 peratus, selepas itu kita dengar ialah 40 peratus. Kita sebenarnya tidak tahu,'' katanya.

Meng Seng menjelaskan, di bawah sistem baharu, pelajar tingkatan tiga yang tamat pelajaran pada masa depan akan memperolehi `keputusan akhir' yang merangkumi hasil pentaksiran pusat dan pentaksiran sekolah.

Beliau berkata, mengikut maklumat yang diperolehi, soalan peperiksaan di bawah pentaksiran pusat akan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan tetapi perjalanan ujian akan dikendali oleh guru di sekolah.

``Dalam keadaan biasa, murid hanya akan menduduki ujian pentaksiran pusat pada akhir tahun. Ramai cikgu pada ketika ini telah diminta untuk menghadiri kursus mengenai pentaksiran pusat,'' katanya.

No comments: