KUANTAN:
Polis yakin pelancong warga Taiwan yang diculik di Pulau Pom Pom,
Semporna, Sabah masih hidup dan dia berada di lokasi yang tidak ketahui
ketika ini.
Chang An Wei, 58, diculik daripada resort tempatnya bercuti pada
pukul 1 pagi Jumaat selepas satu kumpulan bersenjata menyerbu vila atas
air dan menembak mati suami mangsa, Hsu Lin Min, 57.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis
sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengesan
dan menyelamatkan Chang.
“Keselamatan mangsa merupakan keutamaan pihak kami ketika ini. Kami
tidak mahu mengulas lanjut kerana ia merupakan kes penculikan.
“Lebih banyak kita bercakap, kita meletakkan nyawa mangsa dalam
bahawa kerana maklumat ini akan sampai kepada pihak penculik,” katanya
selepas merasmikan majlis penutupan kejohanan bola tampar Piala Ketua
Polis Negara di sini.
Kumpulan bersenjata itu dipercayai melarikan diri ke Pulau Mataking, yang terletak berhampiran dengan selatan Filipina.
Khalid berkata beliau telah mengeluarkan arahan supaya semua pegawai
menutup mulut dalam siasatan yang dijalankan agar tiada butiran lanjut
didedahkan kerana ia boleh mengancam nyawa dan proses menyelamatkan
mangsa.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib juga
mengesahkan lelaki dan wanita berkenaan bukan pasangan suami isteri
seperti yang dilapor oleh media.
Usaha menjejaki kumpulan penjenayah terbabit sedang giat dijalankan
oleh pasukan keselamatan, katanya dalam sidang media selepas merasmikan
Hari Kesedaran Jenayah dan Kembara Bermotosikal 2013 Peringkat Ibu
Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, di sini, Ahad.
Mengulas lanjut, Hamza berkata bedah siasat mayat mangsa akan dijalankan oleh Jabatan Forensik polis pada 20 November ini.
Beliau juga mengulangi bahawa insiden itu adalah kejadian terpencil dan keadaan keselamatan di seluruh Sabah terkawal.
No comments:
Post a Comment