19 November 2013

Operasi Bersepadu Khas Dilancar Di Sabah Dalam Masa Terdekat




KOTA KINABALU: Operasi bersepadu khas melibatkan pelbagai agensi keselamatan akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi memastikan anasir keganasan dan penjenayah tidak berada di kawasan pantai timur Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata operasi khas itu yang dilancarkan bersama semua agensi penguatkuasaan di Sabah termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan kawasan tertentu dan dilaksanakan dengan lebih mantap.

“Kita harap kerjasama semua pihak khususnya masyarakat di Sabah untuk menyalurkan maklumat supaya kita dapat tangani kes-kes jenayah yang berlaku dan akan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Salleh berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan Pengarah Pertahanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Mej Jen Datuk Abdul Halim Jalal mengenai keselamatan di Sabah serta perkembangan insiden pembunuhan dan penculikan membabitkan dua rakyat Taiwan di Pulau Pom Pom Semporna Jumaat lepas.

Beliau berkata pihaknya juga berbincang dengan Hamza untuk mengambil tindakan drastik terhadap mana-mana pihak yang melindungi penjenayah kerana percaya ada jenayah berlaku melibatkan orang yang tinggal di sesuatu lokasi kejadian.

Mengenai kerjasama agensi keselamatan dengan pengusaha resort di pulau peranginan, Salleh mengakui ada segelintir daripadanya tidak memberi kerjasama seperti yang diharapkan.

Katanya perkara itu antara isu yang akan dibincangkan dengan kerajaan negeri Sabah khususnya dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun supaya semua pengusaha resort dapat dilibatkan dalam langkah keselamatan.

“(Ada di kalangan pengusaha resort) apabila mereka membina chalet, mereka membinanya tidak mengikut keperluan kita (pihak keselamatan) tetapi mengikut keperluan perniagaan mereka. Ini juga satu daripada perkara yang akan kita bincangkan,” katanya.

Salleh juga berkata pos-pos kawalan sama ada pos ATM atau Pasukan Gerakan Am sudah ditempatkan di semua pulau peranginan yang mempunyai resort di kawasan perairan Semporna. – BERNAMA

No comments: