PETALING
JAYA - Isteri pengawal keselamatan warganegara Indonesia yang didakwa
membunuh pegawai Ambank Subang Jaya, hari ini dijatuhi hukuman penjara
enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana tinggal lebih masa di
negara ini.
Majistret K.B.
Elina Hong Tze Lan memerintahkan Helpia, 35, juga warganegara Indonesia,
menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Oktober lepas,
selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Helpia
didakwa tinggal lebih dari tempoh yang dibenarkan iaitu selama empat
tahun enam bulan dan lapan hari sejak 16 April 2009.
Dia
didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa
hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan memohon
hukuman ringan, Helpia yang tidak bekerja memberitahu dia mempunyai tiga
orang anak termasuk dua anak yang ditinggalkan di kampungnya di
Indonesia.
La Ode Ardi Rasila, 36, dihadapkan ke Mahkamah
Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh dan melepaskan
tembakan kepada seorang pegawai Ambank Subang Jaya, bulan lepas.
Sementara itu, enam lagi rakan senegara La Ode masing-masing mengaku
bersalah terhadap beberapa pertuduhan termasuk menggunakan kad
pengenalan palsu, memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah dan tinggal
lebih masa.
Tiga daripada mereka iaitu La Saudi, 32, La Samuri,
35, dan La Epo (tiada umur) masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam
bulan kerana esalahan tinggal lebih masa.
Dua lagi iaitu
Sofiah (tiada umur) dan Maimunah, 35, masing-masing dijatuhi hukuman
penjara setahun kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan
tinggal lebih masa manakala Lauto Lauli, 33, dijatuhi hukuman penjara
setahun dan satu sebatan kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan
memasuki negara ini tanpa dokumen.
Seorang lagi rakan La ode,
iaitu La Polo, 28, yang juga pengawal keselamatan dijatuhi hukuman
penjara dua tahun oleh mahkamah sama kerana memasuki negara ini tanpa
dokumen yang sah dan satu lagi pertuduhan iaitu menyebabkan hilangnya
keterangan mengenai sesuatu kesalahan bagi mengelakkan pesalah (La Ode)
daripada seksaan.
Elina memerintahkan La Polo menjalani hukuman
itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap pada 24 Oktober selepas
dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu dikenakan dua sebatan bagi kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta
Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau
denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pondok Pengawal Cosway
Malaysia (M) Sdn Bhd, Wisma Kok, Lot 766, Jalan Subang 4, Off Persiaran
Subang, Subang Jaya di sini pada 4.30 petang 24 Oktober lepas.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, La Polo mengaku tidak bersalah
terhadap pertuduhan dengan curang memiliki harta rompakan iaitu wang
tunai RM21,800 milik Ambank pada tempat dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit
kesalahan.
Hakim Yasmin Abdul Razak tidak membenarkan La Polo diikat jamin dan menetapkan 19 Disember untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya
Tan Gin Han manakala di Mahkamah Sesyen, pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin. Kesemua tertuduh
tidak diwakili peguam. - Bernama
No comments:
Post a Comment