21 November 2013

Mati - Mandi Jenazah

Sebelum Mandi
  1. Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu - kalau ada benda-benda kotor yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
          
    Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri.
     
    Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang keluar.
     
    Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya (menggunakan sarung tangan).
     
  2. Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian diwudhu'kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru dimandikan - dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki - meliputi seluruh tubuhnya.
Cara Mandi
  1. Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali.
     
  2. Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke hujung kaki kanan 3 kali.
     
  3. Basuh sebelah kiri (lambung kiri) meliputi bahu, ketiak, tangan kiri, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kiri hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.
     
  4. Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali.
     
  5. Kemudian diiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kirinya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kiri dan terus ke hujung kaki kirinya 3 kali.
     
  6. Cara mandi ini pertama dibuat dengan menggunakan air sabun.
     
    Kemudian dimandikan dengan air bersih, dilakukan seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun tadi. 
         
    Setelah bersih, diwudhu'kan dengan niat,
    " Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah"
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul wudhu 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul wudhu' 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
     
    Kemudian mandi dengan air bercampur kapur barus. Caranya air bersih dicampur sedikit air kapur barus yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat diniatkan:
    " Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala" 
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul ghusl 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul ghusl 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
     
    Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras. 
    Semasa menjirus, sunat membaca:
          "Ghufranak rabbana rahman wailakal masir"                                        
     
    Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu :
    . Satu kali mandi dengan air sabun.
    . Satu kali mandi dengan air bersih.
    . Tiga kali mandi dengan air kapur barus.
     
    Perlu diingat perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan badannya.
     
    Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus.

    Sumber:Jakim

No comments: