Anggota
Pasukan Pertama Rejimen Infantri Fiji bersama lima mayat komunis yang
ditembak mati di Batu Pahat, Johor, pada 18 September 1953.
DALAM
memoirnya, ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng mendakwa yang
perjuangannya untuk memerdekakan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia
adalah atas nama ideologi. Dan dalam usahanya itu, pertumpahan darah
tidak dapat dielakkan.
Dia cuba untuk
menulis dan mentafsir semula sejarah dalam autobiografi itu namun
pemilik nama asal Ong Boon Hua ini tidak mungkin dapat mengelabui mata
semua khususnya rakyat Malaysia kerana banyak buku lain seperti The
Communist Struggle in Malaya oleh Gene Z. Hanrahan, Hearts and Minds in
Guerilla Warfare: The Malayan Emergency 1948-1960 oleh Richard Stubbs,
Operation Ginger oleh Yuen Yuet Leng dan Darurat 1948-1960 oleh Ho Hui
Ling serta berpuluh lagi buku dan laporan, yang kesemuanya mendedahkan
keganasan serta kekejaman komunis bukan hanya kepada penjajah British
tetapi rakyat tempatan.
Kekejaman yang
menyaksikan nyawa rakyat khususnya pasukan keselamatan begitu murah di
tangan komunis dan ketakutan menjadi makanan harian ketika itu, tidak
mungkin dilupakan oleh mereka yang memahami sejarah.
Dalam kerakusan
untuk menjadikan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, sebagai negara
komunis, Chin Peng memilih peluru dan senjata sebagai alat untuk
meyakinkan rakyat agar menyokong gelombang merah.
Tempoh Darurat
selama 12 tahun sejak 1948 mencatatkan banyak insiden berdarah yang
menyayat hati angkara anggota komunis dan tali barut mereka. Serang
hendap dilakukan tanpa henti dari Kelantan ke Perlis malah hingga ke
Sarawak.
Sejumlah besar
harta-benda awam pula menjadi abu apabila komunis membakar
kampung-kampung yang tidak memberi kerjasama kepada mereka. Melayu,
Cina, India, bahkan etnik lain, semuanya menjadi mangsa.
Sesuatu yang
pasti, komunis tidak meninggalkan sekelumit pun catatan manis kepada
rakyat negara ini, sebaliknya hanyalah penderitaan dan sengsara, yang
traumanya masih terkesan sehingga kini
Seramai 2,083
anggota keselamatan dan tidak kurang 2,000 orang awam dibunuh manakala
lebih 2,500 perajurit lagi cedera malah ada yang cacat gara-gara komunis
durjana. Kekejaman komunis tidak cukup dengan membunuh malah
diceritakan bersikap lebih teruk daripada binatang apabila sanggup
menyeksa termasuk mengorek mata mangsa.
Dosa Chin Peng dan komunis hakikatnya memang terlalu besar dan tidak terampun!
Walaupun
selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Ogos 1960, Chin Peng dan PKM
terus-terusan melakukan keganasan. Mengalih operasi ke sempadan
Thailand, serang hendap dan siri pembunuhan terus dirancang yang
menyaksikan ramai anggota polis, tentera, renjer dan orang awam menjadi
korban termasuk Timbalan Penguasa Polis, Wong Lim Hoon yang dibunuh pada
18 Januari 1973; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim
ditembak mati di dalam keretanya pada 4 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak,
Tan Sri Khoo Chong Kong turut maut pada 13 November 1975.
Amat memalukan
apabila ada kalangan rakyat negara ini kini yang cuba mengangkat Chin
Peng sebagai hero negara. Mereka buta apabila membaca sejarah separuh
jalan.
Benar, komunis
bekerjasama dengan British sebagai anggota Malayan People’s
Anti-Japanese Army (MPAJA) menghalau penjajah Jepun keluar dari negara
ini. Namun pihak-pihak ini lupa membaca bab yang selepas Jepun tewas,
PKM terus mengganas dan bermaharajalela dengan merampas harta-benda
penduduk, menculik dan menyeksa orang kampung yang enggan membantu
membekalkan makanan untuk mereka dan membunuh sesiapa sahaja khususnya
anggota keselamatan yang dianggap menghalang matlamat perjuangan mereka.
Chin Peng cuba
memusnahkan asas demokrasi yang baru terbentuk di Tanah Melayu selepas
mencapai kemerdekaan daripada British dan kemudiannya pembentukan
Malaysia dengan menakut-nakutkan rakyat yang cintakan keamanan. Semuanya
kerana cita-cita mahu menguasai Tanah Melayu.
Mungkin sebab
itu apabila Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada 1989 antara
kerajaan Malaysia dengan PKM, Chin Peng tidak menyertai lebih 300 bekas
anggota komunis yang meletak senjata kembali ke tanah air selepas
mendapat pengampunan.
Sehingga ke
akhir hayatnya Chin Peng tidak pernah memohon maaf kepada rakyat
Malaysia. Dan kini sudah terlambat untuk dia mengucapkannya. - MARHAINI
KAMARUDDIN
kredit:DangSelili