Fatimah al-Zahra (ucapan Alaiha Salam sila rujuk
misalnya dalam Sahih Bukhari, Juzuk 5, hadith 368, dan 546) adalah
puteri kepada Rasulullah SAW. Ibunya Khadijah iaitu isteri Rasulullah
SAW yang pertama dan amat dikasihinya. Tentang bondanya Khadijah,
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Empat wanita yang
terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam
binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepda Firaun." [Muhibuddin
al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba, hl.42; Al-Hakim
alam al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm.157].
Fatimah mempunyai nama-nama
timangan seperti Ummal Hasan, Ummal Husayn, Ummal Muhsin, Ummal A'immah
dan Umma Abiha [Bihar al-Anwar' Juzuk 43, hlm.16]
Rasulullah SAW
menggelarkannya Fatimah sebagai "Ummu Abiha" bermaksud ibu kepada
ayahnya. Ini kerana Fatimah sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya
yang dikasihi itu. Selain daripada itu gelaran-gelaran lain ialah
Zahra, Batul, Siddiqah Kubra Mubarakah, Adhra, Tahirah, dan Sayyidah
al-Nisa [Bihar al-Anwar, Juzuk 43, hlmn.16]
Fatimah dilahirkan
pada 20 Jamadil Akhir di Mekah iaitu pada Hari Juma'at, tahun kelima
selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW [Manaqib Ibn Shahrashub, (Najaf),
Juzuk 3, hlm.132; al-Kulaini, al-Kafi; Misbah al-Kaf'ami; Syeikh
al-Mufid, Iqbal al-Amal]. Tempat beliau dilahirkan ialah di rumah
ayahanda dan ibundanya iaitu Rasulullah SAW dan Khadijah al-Kubra.
Beliau wafat pada tahun ke-11 hijrah iaitu selepas enam bulan kewafatan
ayahandanya Rasulullah SAW [al-Bukhari, Sahih, Juzuk 5, Hadith 546]
Kelahiran
Fatimah amat menggembirakan Rasulullah SAW. Beliau SAW bersabda tentang
Fatimah: " Dia adalah daripadaku dan aku mencium bau syurga dari
kehadirannya." [Kasyf al-Qummah, Juzuk 2, hlm.24].
Mengapa
diberikan nama Fatimah? Menurut Imam Ali al-Ridha AS nama "Fatimah"
diberikan oleh Rasulullah SAW kerana Fatimah dan para pengikutnya
terpelihara dari api neraka. Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata: "
Rasulullah SAW bersabda kepada Ali AS: Tahukah kamu nama mengapa nama
Fatimah diberikan kepadanya? Ali menjawab: Mengapa dia diberikan nama
itu? Dia (Rasulullah SAW) bersabda: Kerana dia dan shiahnya akan
dipelihara dari api neraka."
Ketika masih berumur dua tahun
Fatimah turut bersama-sama ayahanda dan bondanya di perkampungan Shi'bi
Abi Talib kerana diboikot oleh masyarakat Mekah. Kemudian pada tahun ke
sepuluh kerasulan, bondanya Khadijah pula meninggal dunia. Peristiwa ini
menjadikan Fatimah banyak bergantung hidup kepada ayahandanya,
Rasulullah SAW.
Dalam peristiwa hijrah ke Madinah, Fatimah
bersama-sama dengan rombongannya iaitu Fatimah binti Asad bin Hashim
iaitu ibu kepada Imam Ali AS, Fatimah binti al-Zubair bin Abdul
Muttalib, Fatimah binti Hamzah, dan juga Ayman dan Abu Waqid al-Laithi
berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAW telah sampai dahulu di Quba,
Madinah. Sebelum meninggalkan Mekah Rasulullah SAW telah mengarahkan Ali
bin Abi Talib supaya menyusul bersama keluarganya kemudian. Justeru,
rombongan hijrah tersebut diketuai oleh Ali bin Abi Talib AS.
Keperibadian Fatimah al-Zahra
Fatimah
termasuk dalam Ahlul Bayt Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan
dalam ayat al-Tathir dalam surah al-Ahzab: 33 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan kalian daripada
kekotoran (rijsa) ,wahai Ahlul Bayt dan menyucikan kamu
sebersih-bersihnya."
Dalam ayat di atas, Fatimah adalah salah
seorang daripada Ahlul Bayt Rasulullah SAW dan Allah SWT telah
menyucikan Fatimah dari sebarang dosa-dosa, bermakna Fatimah adalah
seorang yang maksum. [Sila baca Riwayat hadith al-Kisa]
Fatimah
az-Zahra mempunyai sifat-sifat kemuliaan yang dinyatakan dalam
al-Qur'an. Ulama ahli sunnah dan syi'ah bersetuju bahawa ayat al-Qur'an
surah Al-Insaan (76);8-9 ditujukan kepada keluarga Fatimah iaitu yang
bermaksud: " Dan mereka memberikan makanan yang disukai kepada orang
miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberikan
makanan kepada kamu hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidaklah
kami mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga (ucapan) terima
kasih."
Ayat di atas mengisahkan Hasan dan Husain AS sedang dalam
keadaan sakit. Rasulullah SAW dengan beberapa orang sahabat menziarahi
mereka. Rasulullah SAW mencadangkan kepada Ali AS bernazar kepada Allah
SWT bahawa dia dan keluarganya akan berpuasa selama tiga hari apabila
anak mereka sembuh dari penyakit tersebut. Ali, Fatimah, dan pembantu
mereka, Fizzah bernazar kepada Allah SWT. Apabila Hasan dan Husain AS
sembuh, mereka pun berpuasa. Pada waktu berbuka datang seorang pengemis
meminta makanan kepada mereka. Pada hari itu mereka hanya berbuka dengan
sahaja. Keesokan hari ini datang seorang anak yatim meminta makanan
daripada mereka pada waktu berbuka dan sekali lagi mereka hanya berbuka
dengan air sahaja. Pada hari ketiga, datang pula seorang tawanan perang
meminta makanan. Selepas memberikan makanan, Ali membawa anak-anaknya ke
rumah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berasa sedih melihat keadaan
cucunya itu. Ali AS membawa Rasulullah SAW ke rumah mereka. Sampai di
sana Rasulullah SAW melihat Fatimah sedang berdoa dengan keadaan yang
amat lemah. Rasulullah SAW berasa amat sedih. Turun malaikat Jibril
berkata kepada beliau SAW," Wahai Muhammad ambillah dia (Fatimah). Allah
memberikan tahniah pada Ahl Bayt kamu." Lalu Jibril membacakan ayat
tersebut. [Al-Hakim al-Haskani, Shawahid al-Tanzil, jld.II, hlm.298;
al-Alusi, Ruh al-Ma'ani, jld.XXIX, hlm.157; Fakhur al-Razi, Jild.XIII,
hlm.395]
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Fatimah adalah
sebahagian daripadaku. Barang siapa yang membuat dia marah, akan membuat
aku marah." [a-Bukhari, Jilid II, hlm.185]
Imam Ali al-Redha AS
berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Hasan AS dan Husain
AS adalah makhluk yang terbaik di dunia selepasku dan selepas bapa
mereka (Ali AS) dan ibu mereka (Fatimah) adalah wanita yang terbaik di
kalangan semua wanita."[Bihar, Jilid 43, hlm. 19 dan 20]
Dari
Imam Ali AS dari Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah bermaksud: "
Sesungguhnnya Allah marah kerana kemarahanmu dan redha kerana
keredhaanmu." [Mustadrak al-sohihain, juzuk 3, hlm152]
Dari
Aisyah berkata bahawa: " Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih
benar dalam berhujah daripadanya melainkan ayahnya (Rasulullah SAW)."
[Mustadrak al-Sohihain, Juzuk 3, hlm.160]
Al-Bukhari meriwayatkan
sebuah hadith dari Aisyah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
".....Tidakkah engkau redha (wahai Fatimah) bahawa engkau adalah
saidati-nisa fil-Jannah(pemimpin wanita di syurga) atau pemimpin wanita
seluruh alam..." [Sahih Bukhari, Jld. IV, hadith 819]
Dalam
hadith yang lain al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah sebuah hadith yang
panjang dan di sini dinyatakan sebahagiannya: "....Wahai Fatimah!
Tidakkah engkau redha bahawa engkau adalah saidati-nisa il-mu'minin
(pemimpin wanita mu'minin) atau saidanti-nisa-i hadzhihi il-ummah
(pemimpin wanita umat ini)?"[Al-Bukhari, Jilid 8, hadith 301]
Al-Bukhari
meriwayatkan hadith dari Imam Ali AS bahawa pada suatu ketika Fatimah
mengadu tentang kesusahannya mengisar tepung. Apabila beliau mendengar
berita ada beberapa orang hamba dari rampasan perang telah dibawa kepada
Rasulullah SAW, beliau lalu pergi (ke rumah Rasulullah SAW) untuk
menemui baginda SAW bagi mendapatkan pembantu tersebut, tetapi pada
ketika itu (Rasulullah SAW tidak ada di rumah) Aisyah tidak dapat
mencari baginda SAW. Lalu Fatimah menceritakan hasratnya kepada Aisyah.
Apabila Rasulullah SAW pulang, Aisyah menyatakan kepadanya perkara
tersebut. Rasulullah SAW kemudian pergi ke rumah kami....Mahukan kamu
aku nyatakan suatu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta?
(Iaitu) apabila kamu hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah
Allahu Akbar 34 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Subhan Allah 33 kali.
Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohonkan."[ Al-Bukhari, Jld.
VI, hadith 344]
Amru bin Dinar meriwayatkan dari Aisyah berkata: "
Tidak pernah aku melihat seseorang pun yang lebih benar daripada
Fatimah salamullah 'alaiha selain daripada ayahnya."[Hilyatul-awliya,
Juzuk 2, hlm. 41]
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: "Pada malam aku diangkat ke langit (mi'raj),
aku melihat di pintu syurga tertulis bahawa Tidak ada Tuhan melainkan
Allah, Muhammad Rasulullah, Allah mengasihiku, dan Hasan, dan Husain
sofwatullah (sari yang terbaik dari Allah) , Fatimah Khiratullah
(sesuatu yang terbaik dari pilihan Allah), laknatullah ke atas mereka
yang membenci mereka."[Tarikh al-Baghdadi, Juzuk 1, hlm. 259]
Fatimah
al-Zahra mempunyai sifat-sifat berikut seperti ayahnya dan suaminya
serta anggota keluarganya :(1) menemukan jalan yang benar (ihtida') (2)
mentaati prinsip-prinsip Islam (iqtida'), dan (3) berpegang teguh serta
menyakini kewajipan-kewajipannya (tamassuk)." [ Nasa'i dalam Khashais
Alawiyyah]
Kezuhudan Fatimah az-Zahra
Imam
Hasan AS meriwayatkan: "Aku belum pernah melihat seorang wanita yang
lebih alim daripada ibuku. Ia selalu melakukan solat dengan begitu lama
sehingga kakinya menjadi bengkak." Imam Hasan AS juga meriwayatkan: "
Aku melihat ibuku, Fatimah berdiri solat pada malam Jumaat. Beliau
meneruskan solatnya dengan rukuk dan sujud sehingga subuh. Aku mendengar
beliau berdoa untuk kaum mu'minin dan mu'minah dengan menyebut
nama-nama mereka. Beliau berdoa untuk mereka semua tetapi beliau tidak
berdoa untuk dirinya sendiri. "Ibu," Aku bertanya kepada beliau.
"Mengapa ibu tidak berdoa untuk diri sendiri sebagaimana ibu berdoa
untuk orang lain?" Beliau menjawab," Anakku, (berdoalah) untuk
jiran-jiranmu diutamakan dan kemudian barulah dirimu sendiri." [Bihar
al-Anwar, Jilid 43, hlm.81-82; Abu Muhammad Ordooni, Fatimah The
Gracious, hlm.168-169;Sayyid Abdul Razak Kammoonah Husseini, Al-Nafahat
al-Qudsiyyah fi al-Anwar al-Fatimiyyah, Juzuk 13, hlm.45]
Asma'
binti Umays meriwayatkan: "Pada suatu ketika aku sedang duduk-duduk
bersama Fatimah apabila Nabi SAW datang. Beliau SAW melihat Fatimah
memakai rantai di lehernya yang telah diberikan oleh Ali bin Abi Talib
AS dari bahagiannya yang diambil daripada harta rampasan perang."
Anakku", beliau SAW berkata, " Janganlah tertipu dengan apa yang orang
katakan. Anda adalah Fatimah puteri Muhammad, anda memakai barang
perhiasan (yang menjadi kesukaan) orang-orang yang bongkak." Beliau
serta-merta melucutkan rantainya pada ketika itu juga dan menjualnya.
Dengan wang dari jualan tersebut, beliau membeli dan kemudian
membebaskan seorang hamba lelaki. Apabila Rasulullah SAW mendengar apa
yang beliau lakukan, beliau SAW berasa gembira dan mendoakan rahmat
kepada Imam Ali AS. [Al-Hakim, Al-Mustadrak, Juzuk 3, hlm. 152; Bihar
al-Anwar, Jilid 43, hlm.81]
Karamah Fatimah az-Zahra
Abu
Sai'd al-Khudri berkata: "Pada suatu hari Ali AS berkata bahawa beliau
AS berasa amat lapar. Beliau AS kemudian meminta Fatimah menyediakan
makanan. Fatimah bersumpah bahawa tidak ada makanan yang tinggal untuk
menghilangkan kelaparan Ali AS. Imam Ali AS bertanya mengapa Fatimah
tidak memberitahukan kepadanya bahawa di rumah mereka sudah tidak ada
makanan lagi. Fatimah menyatakan bahawa dia berasa malu untuk menyatakan
perkara itu, dan dia juga tidak mahu menuntut apa-apa dari Imam Ali AS.
Imam Ali AS keluar dari rumah dengan rasa tawakal kepada Allah SWT.
Beliau AS meminjam wang sebanyak satu dinar dengan hasrat untuk membeli
makanan untuk ahli rumahnya. Dalam perjalanan pulang, beliau bertemu
Miqdad ibn Aswad sedang terbaring di atas jalan pasir yang panas terik
oleh bahang matahari yang membakar. Miqdad kelihatan sedih dan tidak
bermaya. Lalu Imam Ali AS bertanya kepadanya apa yang terjadi tetapi dia
enggan menyatakan perkara yang berlaku kepada Imam Ali AS. Tetapi
akhirnya dia menyatakan juga rahsia itu dan berkata: "Wahai Abul Hasan!
Aku bersumpah bahawa ketika aku keluar rumah tadi, ahli rumahku berada
di dalam kelaparan yang teruk. Anak-anakku kebuluran dan aku tidak
sanggup menonton keadaaan mereka menangis itu. Lalu aku meningggalkan
mereka, dan berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut."
Air
mata Ali AS jatuh berguguran dan mengenai janggutnya apabila mendengar
kisah tersebut. Ali AS berkata kepadanya: "Aku bersumpah bahawa aku juga
mengalami keadaan yang sama seperti engkau."
Ali AS lalu
menyerahkan wang yang dibawanya kepada Miqdad. Ali AS kemudian pergi ke
masjid di mana pada ketika itu Nabi SAW sedang solat. Ali AS bersolat di
tempat suci itu, dan selepas selesai menunaikan kewajipannya, beliau AS
menemui Nabi SAW di pintu masjid. Rasulullah SAW bertanya Ali AS
tentang makanan yang dia ada untuk makan malam, sama ada Nabi SAW
dijemput oleh menantunya untuk makan malam.
Ali AS tunduk dan
tidak berkata apa-apa. Beliau AS tidak tahu apa yang harus dikatakan.
Kelihatannya Rasulullah SAW tahu tentang kisah wang satu dinar itu.
Telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa hendaklah beliau SAW
bersama Ali AS pada petang itu." Mengapa anda tidak berkata sesuatu?,"
tanya Nabi Muhammad SAW. Ali AS dengan menjawab:" Diriku di tanganmu."
Nabi
Muhammad SAW memegang tangan Ali AS dan dua orang yang agung ini
berjalan bersama-sama ke rumah Fatimah. Apabila sampai di sana, Fatimah
baru selesai menunaikan kewajipannya (solat), dan di atas tungku ada
satu periuk masakan sedang di masak dan ketika ia sedang mendidih.
Fatimah kemudian keluar apabila mendengar bunyi tapak kaki ayahnya
datang dan menyambut kedatangan mereka. Nabi SAW mengucapkan salam
dengan lembut." Semoga Allah SWT memberi rahmat ke atas kamu berdua, dan
semoga kamu dapat menyediakan kami hidangan makan malam!" sambung
Rasulullah SAW.
Fatimah mengambil periuk tersebut dan meletakkan
di hadapan ayahnya SAW dan suaminya, Ali AS, yang terkejut dan bertanya
isterinya bau makanan yang lazat di dalam periuk itu. Fatimah berkata:
"Adakah anda marah dengan memandangku dengan pandangan yang demikian!
Adakah aku telah melakukan sesuatu yang salah menyebabkan aku layak
menerima kemarahanmu!?"
Ali AS berkata: "Mengapa tidak? Semalam
engkau bersumpah bahawa engkau tidak mempunyai sedikit makanan pun untuk
kita hidup selama beberapa hari! Apa ertinya ini semua?"
Dengan
memandang ke langit Fatimah menyambung: "Tuhanku yang berkuasa ke atas
langit dan bumi akan menjadi saksi bahawa apa yang akan aku katakan ini
adalah benar."
Ali AS menambah: "Wahai Fatimah! Sudikan anda
menyatakan kepada kami kisah sebenarnya. Sudikan anda dengan jujur
menyatakan kepada kami siapakah yang menghantar hidangan yang lazat ini
yang menjadi makanan kita!"
Rasulullah SAW dengan lembut
meletakkan tangannya ke atas bahu Ali AS dan berkata: "Wahai Ali! Semua
ini adalah sebenarnya anugerah dari Allah SWT kerana kemurahan yang kamu
tunjukkan ketika memberikan wang dinar tersebut.
"...Sesungguhnya Allah memberikan (rezeki) apa yang dikehendakiNya tanpa hisab."(Ali-Imran:37)
"Dan
apabila Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrabnya, dia mendapati
jmakanan di sisinya." (Ali-Imran:37)[Bihar al-Amwar, Jilid 43,
hlm.59-61; Amali Tusi, Jilid 2, hlm.228-230]
Sikap Rasulullah SAW Terhadap FatimahRasulullah
mengaitkan Fatimah dengan dirinya SAW. Justeru Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: "Fatimah adalah daripadaku dan barang siapa yang membuat
dia marah, akan membuat aku marah." [Al-Bukhari, Jilid V, hadith 111]
Ketika
berpergian, Fatimah adalah orang yang paling akhir beliau SAW
mengucapkan selamat tinggal, dan ketika pulang dia (Fatimah) adalah
orang yang pertama yang ditemui oleh ayahnya SAW. [Bihar, Jilid 43,
hlm.39-40; Ahmad bin Hanbal, Musnad, Juzuk 5, hlm.275; Al-Baihaqi,
Sunan, Juzuk 1, hlm.26].
Imam Ali AS suatu ketika bertanya kepada
Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan keluargamu yang
paling dekat denganmu? Fatimah binti Muhammad," jawab baginda SAW.
[Al-Tabari, Dhakair al-Uqba; Al-Tirmidzi, Sunan. hlm.549; Al-Mustadrak,
Jilid 3, hlm.21 dan 154]
Imam Ali AS Dan Fatimah
Imam
Ali AS berkata: "Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah membuat Fatimah
berasa bimbang dan takut di sepanjang kehidupan keluarga kami. Beliau
tidak pernah marah semasa beliau hidup atau aku memaksa beliau melakukan
sesuatu dengan paksaan. Beliau sentiasa taat kepadaku secara rela dan
tidak pernah membuatkan aku marah. Memandang wajahnya membuatku sentiasa
tertarik (bahagia) sehingga setiap perasaan marah akan hilang dalam
diriku." [Bihar, Juzuk, 43, hlm.134]
Imam al-Baqir AS berkata:
"Fatimah telah berjanji akan melakukan semua kerja rumah termasuklah
membuat roti dan menyapu rumah mereka. Ali AS pula bersetuju untuk
melakukan kerja-kerja membeli-belah (keperluan harian), dan kerja-kerja
luar yang lain seperti mencari kayu api, dan sebagainya. Pada suatu hari
Ali AS bertanya Fatimah sama ada masih ada makanan yang berbaki di
rumah mereka. Fatimah menjawab: "Aku bersumpah dengan namaNya yang
membuat kemurahan dan anugerah kepadamu bahawa sejak tiga hari
kebelakangan ini kita menghadapi kekurangan makanan." Mengapakah engkau
tidak menyatakan kepadaku hal ini?" tanya Ali AS. Beliau menyambung:
"Rasulullah SAW telah melarangku daripada meminta-minta sesuatu
daripadamu. Beliau SAW telah memerintahkan kepadaku agar jangan meminta
daripadamu sebarang keperluan. Jika engkau membeli sesuatu aku hendaklah
menerimanya, dan jika tidak hendaklah aku berdiam diri." [Bihar, Jilid
43, hlm.31]
Kehidupan Politik Fatimah
Kehidupan
Fatimah bukan hanya melakukan tugas sebagai suri rumah tangga dan
beribadat sahaja tetapi juga meliputi soal-soal politik sejak dari zaman
ayahandanya Rasulullah SAW di Mekah hingga selepas wafat ayahandanya
SAW. Beliau dengan gigih menyokong keras perjuangan ayahandanya
Rasulullah SAW dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang
telah dididik oleh ayahandanya Rasulullah SAW.
Pada
tahun kesepuluh kerasulan, Khadijah ibu Fatimah meninggal dunia.
Fatimah kehilangan ibundanya yang tercinta. Pada tahun yang sama, beliau
kehilangan datuk saudaranya Abu Talib yang kuat melindungi Rasulullah
SAW. Dengan kewafatan dua orang insan mulia ini, para musyirikin Quraisy
mulai berani menentang dan menyakiti Rasulullah SAW secara terbuka.
Sehinggakan pada suatu peringkat mereka sanggup memutuskan untuk
membunuh Rasulullah SAW. Justeru, Rasulullah SAW membuat keputusan
berhijrah ke Madinah. Malam itu Ali AS tidur di tempat tidur Rasulullah
SAW demi untuk mengelirukan musuh-musuh Allah itu. Pada malam itu juga
Fatimah menginap di rumah ayahandanya dan mengetahui semua kejadian
tersebut. Fatimah bertahan pada malam itu dengan penuh perjuangan,
kesabaran, dan keberanian segala kemungkinan yang akan berlaku kepada
mereka.
Fatimah kemudian berhijrah ke Madinah dengan rombongan
hijrah di ketuai oleh Ali AS. Dalam perjalanan ke Madinah, beberapa
orang kafir mencuba untuk menghalang mereka tetapi dengan keberanian dan
tekad Ali AS, maka mereka berasa takut dan membiarkan rombongan hijrah
itu meninggalkan Mekah. Akhirnya setelah menempuh segala kesulitan,
mereka pun sampai ke Madinah.
Fatimah turut menjadi saksi Perang
Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, dahi, dan gigi Nabi SAW luka
parah. Dan yang lebih menyedihkan ialah apabila tersebarnya berita palsu
bahawa Rasulullah SAW turut terkorban. Fatimah berangkat ke Uhud untuk
menyaksikan medan pertempuran, dan juga melihat ayahandanya yang
dikasihi, Rasulullah SAW. Setelah perang berakhir, Fatimah menemui
ayahandanya Rasulullah SAW, dan membersihkan wajah baginda dari
luka-luka. Dalam peperangan ini juga, Fatimah menyaksikan datuk
saudaranya Hamzah syahid di medan perang.
Selepas Rasulullah SAW
wafat, Fatimah turut memperjuangkan hak Imam Ali AS sebagai khalifah
yang sah dilantik oleh Rasulullah SAW dan juga tentang haknya terhadap
Tanah Fadak. Fatimah tidak mengiktiraf Abu Bakar sebagai khalifah yang
sah. Pada suatu ketika Abu Bakar dan Umar al-Khattab bersama
rombongannya mengepung rumah Fatimah dengan tujuan mendesak ahli rumah
rumah memberikan bai'ah kepada Abu Bakar. Malahan Rombongan tersebut
mengugut akan membakar rumah tersebut. Seseorang bertanya Umar: "Wahai
ayah Hafsah (Umar al-Khattab), sesungguhnya Fatimah ada di dalam," dan
Umar menjawab,: "Wa in (sekalipun)"[Ibn Qutaibah, Al-Imamah Wal-Siyasah,
Jilid I, hlm.12-13].
Fatimah kemudian keluar dari pintu dari
berkata lantang: "Hai, Abu Bakar, Alangkah cepatnya anda menyerang
keluaga Rasul. Demi Allah, saya tidak akan bercakap dengan Umar sampai
saya menemui Allah...Kamu semua telah membiarkan jenazah Rasulullah SAW
bersama kami, dan kamu semua telah mengambil keputusan antara kamu
sendiri tanpa bermesyuarat dengan kami dan tanpa menghormati hak-hak
kami. Demi Allah, aku katakan, keluarlah kamu semua dari sini dengan
segera! Jika tidak dengan rambutku yang kusut ini, aku akan meminta
keputusan dari Allah!" [Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul Balaghah, Jilid VI,
hlm.48-49]
Fatimah menganggap Tanah Fadak sebagai miliknya yang
sah kerana ia telah diberikan oleh Rasulullah SAW ketika baginda SAW
masih hidup. Tanah Fadak terletak dekat dengan Khaibar dan di situ
terdapat kebun kurma. Ia kemudian diserahkan oleh Bani Nadir kepada
Rasulullah SAW iaitu selepas peristiwa Perang Khaibar pada tahun 7
Hijrah. Kemudian Rasulullah SAW menghadiahkan tanah tersebut kepada
Fatimah [riwayat dari Abu Sai'd al-Khudri - sila lihat Fada'il Khamsah
fi al-Sihah al-Sittah, Jilid 3, hlm.36] iaitu apabila turunnya ayat
Qur'an yang bermaksud," Apa sahaja harta rampasan (fa'i) yang diberikan
Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah
untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang
miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu tidak
hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang
diberikan Rasul kepadamu terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu
maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah
sangat keras hukumanNya." (59:7) .
Fatimah menuntut Tanah Fadak
dari Abu Bakar tetapi Abu Bakar menolaknya. Fatimah lalu menemui Abu
Bakar dan terjadilah perdebatan di antara mereka berdua: Al-Jauhari
meriwayatkan bahawa ketika sampai berita kepada Fatimah bahawa Abu Bakar
menolak haknya ke atas Tanah Fadak, maka Fatimah dengan disertai para
pembantu wanitanya dan para wanita Bani Hasyim pergi menemui Abu Bakar.
Fatimah berjalan dengan langkah seperti langkah Rasul. Ia lalu memasuki
majlis yang dihadiri Abu Bakar, dan penuh dengan kaum Muhajirin dan
Ansar. Fatimah membentangkan kain tirai antara dia dan kaum wanita yang
menemaninya di satu sisi,dan majlis yang terdiri dari kaum lelaki di
sisi yang lain. Ia masuk sambil menangis tersedu, dan seluruh hadirin
turut menangis. Maka gemparlah pertemuan itu. Setelah suasana kembali
tenang, Fatimah pun berbicara: "Saya memulai dengan memuji Allah Yang
Patut Dipuji. Segala Puji bagi Allah atas segala nikmatNya, dan terhadap
apa yang diberikanNya..." dan setelah mengucapkan khutbahnya yang
sungguh indah, ia lalu berkata: "Apabila anda mati, wahai Abu Bakar,
siapakah yang akan menerima warisan anda?"
Abu Bakar: "Anakku dan keluargaku."
Fatimah: "Mengapa maka anda mengambil warisan Rasul yang menjadi hak anak dan keluarga beliau?"
Abu Bakar: "Saya tidak berbuat begitu, wahai putri Rasul."
Fatimah:"
Tetapi anda mengambil Fadak, hak Rasulullah yang telah beliau berikan
kepada saya semasa beliau masih hidup....Apakah anda dengan sengaja
meninggalkan Kitabullah dan membelakanginya serta mengabaikan firman
Allah yang mengatakan, "Sulaiman mewarisi dari Daud" (Al-Naml: 16), dan
ketika Allah mengisahkan tentang Zakaria serta firman Allah, Dan
keluarga sedarah lebih berhak waris mewarisi menurut
Kitabullah?(Al-Ahzab:6) Dan Allah berwasiat, "Bahawa anak lelakimu
mendapat warisan seperti dua anak perempuan" (Al-Nisa:11) dan firman
Allah," Diwajibkan atas kamu apabila salah seorang daripada kamu akan
meninggal dunia, jika ia meninggalkan harta, bahawa ia membuat wasiat
bagi kedua orang tua dan keluarganya dengan cara yang baik, itu adalah
kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa" (Al-Baqarah: 80). Apakah Allah
mengkhususkan ayat-ayat tersebut kepada anda dan mengecualikan ayahku
daripadanya? Apakah anda lebih mengetahui ayat-ayat yang khusus dan
umum, lebih daripada ayahku dan anak bapa saudaraku (Ali AS) Apakah anda
menganggap bahawa ayahku berlainan agama dariku, dan lantaran itu maka
aku tidak berhak menerima warisan?" [Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjul
Balaghah, Jilid XVI, hlm.249]
Ibn Qutaibah
meriwayatkan pertemuan yang mungkin terakhir di antara Fatimah dan Abu
Bakar seperti berikut: "Umar bin Khattab berkata kepada Abu Bakar:"
Marilah kita pergi kepada Fatimah, sesungguhnya kita telah menyakiti
hatinya." Maka keduanya pun pergi ke rumah Fatimah, dan Fatimah tidak
mengizinkan mereka masuk ke dalam rumah. Mereka lalu memohon kepada Ali
bin Abi Talib, lalu Ali AS memperkenankan mereka masuk ke dalam.
"Tatkala
keduanya duduk dekat Fatimah, Fatimah memalingkan wajahnya ke arah
dinding rumah. Salam Abu Bakar dan Umar tidak dijawabnya.
Fatimah
kemudian berkata:" Apakah anda boleh mendengar apabila saya katakan
kepada anda suatu perkataan yang berasal dari Rasulullah SAW yang anda
kenal dan anda telah bertemu beliau SAW?"
Keduanya menjawab: " Ya."
Kemudian
Fatimah berkata:" Apakah anda tidak mendengar Rasulullah SAW bersabda,
"Keredhaan Fatimah adalah keredhaan saya, dan kemurkaan Fatimah adalah
kemurkaan saya. Barang siapa mencintai Fatimah, anakku, bererti ia
mencintaiku, dan barang siapa membuat Fatimah murka, bererti ia membuat
aku murka."
Mereka berdua menjawab:" Ya, kami telah mendengarnya dari Rasulullah SAW.
Fatimah
berkata: "Aku bersaksi kepada Allah dan malaikat-malaikatNya,
sesungguhnya kamu berdua telah membuat aku marah, dan kamu berdua tidak
membuat aku redha. Seandainya aku bertemu Nabi SAW, aku akan mengadu
kepada beliau SAW tentang kamu berdua.
Abu Bakar berkata:
"Sesungguhnya saya berlindung kepada Allah dari kemurkaanNya dan dari
kemurkaan anda, wahai Fatimah." Kemudian Abu Bakar menangis,
hampir-hampir jiwanya menjadi goncang.
Fatimah lalu berkata:" Demi
Allah, selalu saya akan mendoakan keburukan terhadap anda dalam setiap
solat saya." Kemudian Abu Bakar keluar sambil menangis....[Ibn Qutaibah,
Al-Imamah Wal-Siasah, Bab Bagaimana Bai'at Ali bin Abi Talib; O.Hashem,
Saqifah Awal Perselisihan Ummat, hlm.100-101]
Kewafatan Fatimah
Selepas
peristiwa itu, Fatimah akhirnya tidak bercakap lagi dengan keduanya
sehingga beliau wafat iaitu kira-kira enam bulan selepas kewafatan
Rasulullah SAW [sila lihat Sahih Bukhari Jilid VI, hlm. 196].
Di
sepanjang tempoh tersebut, Fatimah sering menziarahi makam Rasulullah
SAW dengan air mata bercucuran mengenangkan sikap para sahabat Nabi SAW
terhadapnya selepas Rasulullah SAW tiada lagi di sisi mereka. Beliau
sering juga menziarahi kuburan para syuhada di luar kota Madinah. Ada di
kalangan orang yang tidak suka Fatimah menangis sedemikian rupa. Ada
yang rasa terganggu dengan tangisan Fatimah. Imam Ali AS kemudian
membina sebuah rumah kecil di kawasan Perkuburan Baqi' untuk kemudahan
Fatimah. Fatimah sering membawa anak-anaknya Hasan dan Husain ke rumah
tersebut bagi meluahkan rasa kesedihan sehinggalah menjelang senja.
Rumah kecil itu dipanggil Bayt al-Ahzan (Rumah Kesedihan). Imam Ali AS
sering pergi ke rumah itu bagi mengiringi Fatimah pulang ke rumah.
[Bihar, Juzuk 43, hlm.177-178]
Pada hakikatnya, khabar tentang
kewafatan Fatimah telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika baginda
SAW sakit. Riwayat al-Bukhari dari Aisyah: " Nabi SAW memanggil Fatimah
ketika baginda SAW sedang sakit kuat, dan menyatakan suatu rahsia yang
membuatkan Fatimah menangis. Kemudian baginda SAW menyatakan sesuatu
kepada Fatimah yang menyebabkan beliau tertawa. Apabila aku (Aisyah)
bertanya kepadanya, beliau berkata bahawa Nabi SAW menyatakan kepadanya
suatu rahsia tentang sakit yang dialami akan membawa kepada kewafatan
baginda SAW, lantaran itu aku (Fatimah) menangis. Beliau SAW kemudian
menyatakan kepadanya bahawa beliau adalah seorang dari keluarganya yang
mula-mula menemuinya selepas beliau SAW wafat (Fatimah akan menyusuli
(wafat) selepas Rasulullah SAW wafat), lalu, aku tertawa [Al-Bukhari,
Jilid V, hadith 62]
Ketika ajalnya hampir tiba, Fatimah memanggil
Ali AS dan berkata: "Wahai putera pamanku, aku berasa ajalku semakin
hampir. Tidak lama lagi aku akan menyusul ayahku. Dengarkanlah wasiat
terakhirku yang sudah lamaku simpan dalam hati.
Mendengar
kata-kata isterinya itu dalam nada tersekat-sekat, Imam Ali AS meminta
semua orang yang tidak berkepentingan keluar. Kemudian ia menjawab:
"Katakanlah segala wasiatmu wahai puteri Rasulullah..."
Fatimah
berkata: "Wahai puteri pamanku, sejak engkau bergaul denganku, apakah
engkau pernah melihat aku berdusta, atau tidak mengikut kemahuanmu?
Sudah tentu pertanyaan aneh ini cukup membingungkan Ali AS dalam suasana
sedih sebegitu. Tetapi Ali segera dapat menguasai dirinya, kemudian
menyahut:" Na'udzu billah, engkau lebih mengerti, engkau lebih bersih,
lebih bertaqwa, lebih mulia, dan lebih takut kepada Allah. Seandainya
engkau pernah tidak menuruti kehendakku, sama sekali aku tidak menyesali
dirimu. Aku berasa sangat berat berpisah dan kehilangan dirimu, tetapi
itu suatu hal yang tidak mungkin. Demi Allah, musibah baru akan menimpa
diriku lagi sesudah Rasulullah SAW wafat. Sungguh berat rasanya aku akan
kau tinggalkan....Inna lillahi wa-ina ilaihi raji'un...! Demi Allah,
tidak ada musibah yang lebih berat dari ini, dan tidak ada cubaan yang
lebih keras dari ini..."
Di antara wasiat Fatimah kepada Imam Ali
AS ialah meminta Imam Ali AS menguburkan jenazahnya pada malam hari dan
tidak mengizinkan orang-orang yang menzaliminya menyaksikan majlis
pemakamannya, dan juga tidak mengizinkan mereka mengadakan solat jenazah
ke atasnya. Pada malam ketiga Jamadil Akhir tahun ke-11 Hijrah, Imam
Ali AS dan sebilangan kecil dari keluarga dan syiahnya yang setia
menyempurnakan jenazah Fatimah. Di antara mereka adalah Ali, Hasan,
Husain, Zainab, Umi Kalthum, Aqil, Abu Dzar, Ammar, Miqdad dan Salman
al-Farisi.
Ketika Imam Ali AS mengadu kepada Rasulullah SAW di
permakaman baginda SAW tentang kewafatan Fatimah, beliau berkata: "Wahai
Nabi Allah, salam ke atasmu dariku dan dari puterimu yang kembali
kepadamu dan tersangat cepatnya ia kembali kepadamu. Wahai Nabi Allah,
kesabaranku tentang buah hatimu (puterimu Fatimah) telah semakin lelah,
dan kekuatanku menghadapinya semakin lemah, kecuali aku telah mengalami
kesedihan ketika berpisah denganmu dulu. Aku letakkan dirimu ke dalam
kuburmu selepas nafasmu yang terakhir di antara leher dan dadaku. Firman
Allah SWT, yang bermaksud: "...Sesungguhnya kita dari Allah, dan
sesungguhnya kepadaNya kita kembali."(Qur'an 2:156)
Kini, apa
yang telah engkau amanahkan kepadaku (Fatimah) dan apa yang telah
diberikan telah diambil kembali. Kesedihanku sudah tidak bertepi lagi,
dan malam-malamku semakin suram tanpa tidur sehingga Allah memilihkanku
sebuah rumah yang ketika ini engkau diami.
Sesungguhnya, puterimu
pasti akan mengadu kepadamu tentang ummatmu yang menzaliminya. Engkau
tanyalah kepadanya dan pasti akan mendapat tahu tentang perkara
tersebut. Semua ini berlaku ketika masa belum berlaku panjang dan
ingatanmu belum lagi hilang. Salamku ke atas kamu berdua...."[Nahjul
Balaghah, Khutbah nombor 201]
SEMOGA ALLAH MENGAMPUNI DOSA AHLUL-BAYT DAN PARA SAHABAT RASULULLAH SAW..