10 January 2014

Jiwa - Kacau BiLau

Hidup ini penuh suka dan duka, penuh dengan watak yang mewarnai laluan perjalanannya.  Kita pasti selalu mengharap agar perjalanan yang kita lalui sentiasa ceria tanpa duka tanpa menyedari jika itu yang berlaku, kita sebenarnya bakal menjadi manusia yang tidak punya pengalaman dan penuh dengan kebosanan.  Kita sering berharap supaya kita bahagia namun kita lupa kekecewaan dan kebahagian itu bukan terletak di luar diri.  Ianya datang bersumber dari dalam diri kita sendiri.  Kitalah yang sebenarnya memilih keadaan diri samada duduk dalam erti kebahagian sebenar ataupun sebaliknya.  Hal ini jarang sekali kita peduli kerana bagi kita kebahagian itu sebenarnya datang dari keadaan luaran dan keadaan luaran adalah penentu utama kebahagian.

 
Jika kita seorang yang bahagia secara dalaman maka kita tidak akan peduli bagaimanakah keadaan luaran kita, biarpun buruk atau pun tidak.  Kita melihat segala sesuatu dengan persepsi yang positif.  Kita tidak merasakan sesuatu masalah itu sebagai bebanan tetapi melihatnya sebagai satu maklumbalas yang kita terima yang memerlukan pembetulan atau pencorakkan semula.  Mereka yang bahagia secara dalaman sentiasa mempunyai tidur yang lena, sentiasa segar dan mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup.  Mereka pasti akan hidup penuh dengan kasih sayang.  Kasih sayang ini bukan sahaja untuk sesama manusia tetapi ianya juga untuk makhluk keseluruhan.  Itulah faktor yang ada pada generasi datuk dan nenek kita.  Biarpun kelihatan kurang berharta tetapi mereka cukup bahagia.  Keadaan ini jelas kelihatan dari tuturkata mereka dalam perbualan dan perlakuan mereka sesama makhluk.  Justeru mereka gemar untuk memelihara binatang dan mereka hidup penuh dengan kesopanan, kelembutan dan kasih sayang. 

Hari ini ramai diantara kita yang tidak bahagia secara dalaman.  Mereka hidup penuh dengan kebencian dan paling memualkan adalah persepsi negatif yang mereka ada dalam melihat kehidupan.  Mereka sentiasa mempunyai sangka buruk dan memikirkan kejadian yang buruk lebih dari melihat kebaikan sesuatu peristiwa.  Mereka ini cukup meletihkan kerana mereka sentiasa mahu bahagia tetapi tidak pernah faham apa itu kebahagian.  Mereka berpendapat kebahagian itu perlu datang dari luar.  Orang bijak pernah berkata “ jika kamu tidak menjumpai kebahagaian dalam diri kamu … janganlah kamu mencarinya di luar kerana pasti tidak akan bertemu.”  Bagi orang sebegini saya mengkategorikannya sebagai mereka yang berada dalam jiwa yang kacau.  Jiwa kacau ini menyebabkan mereka suka benar membuat tanggapan tanpa diminta dan lebih buruk pula, tanggapan itu hampir semuanya negatif.  Mereka akan lebih melihat keburukan dan hampir tiada kebaikan.  Merekalah penyebab hilangnya kebahagian.  Kebahagian datang dari dalam diri sendiri dan jika diri mereka penuh dengan kebencian dan negativiti maka secara hukum alam mana mungkin mereka akan bahagia. 

Mereka sering berkata yang jika sesuatu keadaan berlaku barulah mereka akan bahagia atau jika mereka pergi ke satu-satu tempat barulah mereka akan bahagia.  Sebenarnya ke mana sahaja mereka pergi, biar apa keadaan sekalipun mereka tidak akan bahagia dan mereka akan melihat keadaan yang mereka katakan itu kelak sebagai keadaan negatif.  Ada satu perkara yang mungkin perlu untuk kita lihat dengan penuh perhatian iaitu sangka buruk mereka itu dapat membuatkan suasan harmoni menjadi negatif.  Mereka lupa bahawa sangka buruk mereka itu adalah satu doa yang mungkin boleh terjadi satu hari nanti.  Bukankah lebih baik jika mereka melihat sesuatu itu secara positif kerana sangka baik itu juga merupakan satu doa.  Jika buruk sangkaannya maka dia akan selalu memikirkan yang buruk dan akhirnya mereka melepaskan emosi mereka kepada mereka yang positif.  Mereka mungkin tidak tahu atau tidak perasan yang perbuatan mereka itu menyebabkan kebahagian yang dibina bakal luntur akibat energi negatif yang disalurkan.  Mereka menyebabkan tekanan luar biasa bukan sahaja kepada diri mereka tetapi kepada orang yang berada disekeliling mereka.  Akhirnya mereka akan kehilangan teman dan taulan dan itu lebih membuat mereka lebih negatif.  Mereka mula mendendami keadaan itu namun tidak pula mengakuinya melainkan meletakan kesalahan itu pada orang sekeliling. 

Jiwa kacau satu penyakit yang perlu diubati dan untuk mengubatinya secara efektif, mereka yang mengalaminya perlu secara sukarela untuk berubah.  Langkah pertama, mereka perlu membersihkan diri dari segala sangka buruk.  Mereka perlu tahu sangka buruk itu dilarang baginda saw.  Keduanya, mereka perlu membuang segala peristiwa negatif yang tersemat dalam memori mereka.  Seterusnya mereka perlu bergaul dengan mereka yang positif untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam bulan.  Mereka boleh menyertai persatuan atau membuat kebajikan secara berterusan.  Ingatlah jiwa yang kacau bukan sahaja membunuh jiwa mereka tetapi bakal menyebabkan mereka kehilangan orang yang kononnya mereka cintai dan sayangi.  Hiduplah dalam persepsi positif dan berkasih sayang dengan Allah swt menyebabkan kita lebih positif dan tenang kerana Allah swt tahu segalanya dan serahkan kehidupan kita kepada Allah swt dan bukan kepada serakah jiwa. Wallahu a’lam

09 January 2014

Jana Peribadi Tika Makan

Seorang pakar menyarankan agar ibu bapa menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak.

Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup.

                                  

Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

1. Tunggu orang yang paling tua

 
"Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah. Kalau tidak ada ayah, emak dulu.

Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita.

Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makan."


2. Baca bismalah dan guna tangan kanan

 
"Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya.

Yang biasa dia ambil masuk kemulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan.

Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat. Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah."


3. Ambil lauk terdekat dulu

 
"Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat. Kenapa? Melatih sabar.

Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik.

Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja."

Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak.

Memang anak akan rasa lain. Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak.

Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang lain.

Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita.

Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya."


4. Kawal suapan

 
"Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan.

Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut.

Untuk apa? Melatih jangan tamak dan bersifat qanaah @ mencukupi apa yang ada.

Atau lebih tepat, melatih syukur terhadap apa yang Allah kurniakan."

Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri.

Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh."


koleksibacaanilmiah

05 January 2014

BR1M - Mohon Segera

BR1M

PONTIAN: Kira-kira 2.4 juta yang layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi belum mengemukakan permohonan diminta segera berbuat demikian bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata mereka perlu mendaftar segera bukan saja untuk mendapatkan bantuan itu, tetapi menerima skim perlindungan insurans takaful menerusi i-BR1M.

Berikutan itu, ketua kampung di seluruh negara diminta membantu kerajaan mengenal pasti golongan sasar yang layak mendapat BR1M.

Semua 13,127 ketua kampung dari kira-kira 22,000 kampung diminta memainkan peranan membantu kerajaan mengesan mereka.

Bantuan daripada ketua kampung sangat penting kerana mereka adalah duta kecil di kawasan masing-masing, selain mengenali kumpulan yang layak dan memerlukan bantuan khas yang disediakan oleh kerajaan, katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ketua Kampung Pontian, Abdul Wahid Mohd Tamim.

Buka akaun bank

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, selain itu ketua kampung digesa membantu penduduk kampung terutama penerima BR1M untuk membuka akaun bank.

Katanya, mulai tahun ini, kerajaan menyalurkan wang BR1M terus dalam akaun bank penerima.

Inisiatif bagi memberi kemudahan kepada penerima terutama warga tua, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal mendapatkan BR1M tanpa perlu beratur panjang dan mengambil tempoh lama, untuk mendapatkan wang tunai.

Pembukaan akaun boleh dilakukan di mana-mana institusi perbankan, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), katanya. – BHarian.