14 September 2013
Zamboanga City Bandar Bergolak
Pembunuhan dan pertempuran dengan pasukan tentera atau polis mungkin jarang berlaku diMalaysia, tetapi diZamboanga City ia boleh dikatakan berlaku saban hari dan menjadi satu permainan senjata yang mencemaskan.
Tiap hari, ada sahaja berlaku pertempuran dan kejadian letupan bom yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa manusia sama ada yang berdosa atau yang tidak berdosa.
Walaupun media-media tempatan melaporkan peristiwa pertempuran ini dengan cara yang begitu menyedihkan tetapi rakyat berusaha mencari rezeki seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku disekeliling mereka.
Zamboanga yang dahulunya terkenal
dengan pusat pelancongan kerana kepulauannya yang
menarik, kini semua kegiatan tersebut tinggal senyap dan
sepi kerana pelancong asing bimbang dengan tahap keselamatan masing-masing.
Selain daripada sektor pelancongan turut terjejas ialah pelaburan secara langsungnya kerana pelabur-pelabur juga bimbang tentang keselamatan mereka yang sehingga kini belum dipulihkan lagi.
Zamboanga City, sebuah bandar yang terletak kira-kira 500 kilometer diselatan Manila 150 kilometer dari Pulau Jolo atau Pulau
Patikul, tempat persembunyian pejuang Abu Sayyaf tidak
ada suatu hari pun di dada-dada akhbar di sini tidak melaporkan tentang pembunuhan, pertempuran atau letupan bom.
Dalam satu-satu pertempuran sudah tentu ada pihak yang terbunuh, cedera, kemusnahan harta benda dan tidak kurang
juga tentera-tentera yang berkhidmat demi mempertahankan tanah air turut menjadi mangsa kepada keadaan.
Perjuangan puak militan di Zamboanga begitu kuat sehingga timbulnya beberapa kumpulan baru yang antara satu sama lain bersaing ingin menonjolkan kejayaan masing-masing.
Tindakan mereka juga bukan sahaja mencederakan orang ramai tetapi turut melakukan serang terhadap balai-balai polis sekitar kawasan tengah Mindanao.
Antara satu pertempuran dengan pertempuran yang lain ia mempunyai senarionya yang tersendiri kerana ia mungkin
terdapat pertelagahan antara satu pihak dengan pihak yang lain dan yang lebih bersemangat lagi ialah perjuangan menuntut pembebasan daripada kerajaan.
Zamboanga sebagai sebuah wilayah dalam pentadbiran Mindanao yang mempunyai pelbagai etnik yang memang terkenal dengan perjuangan Bangsa Moronya khususnya dalam membantu gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk mendapatkan hak autonomi masing-masing.
Memperlihatkan kepada peristiwa di atas, Zamboanga yang mempunyai penduduk menghampiri 600,000 orang bukan
suatu bangsa yang duduk diam dan membuat kerja masing-masing tetapi mereka sanggup berjuang dengan apa sahaja
termasuk secara militan demi survival hidup mereka.
Foto: Misuari bersama Let Haber Malik, yang dikatakan salah seorang perancang semasa pencerobohan Kg Tanduo Februari lalu.
kredit:VAT69-Perjuangan Semalam
Peranan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Anak Anak
Professor Madya Dr. Ammar Fadzil – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Islam menerusi al-Qur’an dan Sunnah merupakan agama yang bersifat universal dan komprehensif. Ia bukan sahaja meliputi aqidah, shariah dan akhlak tetapi juga meliputi pendidikan keluarga dan anak-anak. Ibubapa mempunyai kedudukan yang tinggi pada pandangan masyarakat dan agama. Fungsi ibubapa dalam membentuk anak-anak sukar dicari ganti. Melalui mereka anak-anak mengenal kasih sayang, nilai-nilai kehidupan dan erti kasih sayang. Islam sendiri menuntut supaya ibubapa diberikan kedudukan yang tinggi dalam institusi keluarga dan masyarakat. Arahan berterimakasih diletakkan pada tempat yang pertama selepas ibadah kepada Tuhan kerana perngorbanan insaniah yang tidak berbelah bagi begitu juga keutamaan memberikan bantuan didahulukan ibubapa di atas yang lain. Ibubapa merupakan salah satu elemen tanpanya tidak wujud apa yang dipanggil masyarakat atau komuniti manusia. Ia berterusan membekalkan generasi baru kepada masyarakat. Mereka memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia masa hadapan. Baik dan buruk tamadun yang dilahirkan adalah ditentukan oleh ibubapa selain dari faktor-faktor utama seperti suasana dan sistem pemerintahan. Perubahan dan permasalahan yang sentiasa berlaku dewasa ini menghasilkan cabaran yang getir kepada ibubapa dalam memastikan peranan mereka sebagai pembentuk tamadun manusia dapat ditunaikan dengan sempurna. Kertas ini tidak dapat mengupas dan menjawab segala persoalan yang terbuku namun diharapkan dapat memberikan input yang berguna kepada konvensyen yang diadakan pada hari ini.
Mengikut Islam peranan ibubapa amat besar. Merekalah yang bertanggungjawab ke atas masa hadapan anak-anak. Peranan mereka sebagai pembina utama dan pertama anak-anak sukar dicari penggalang ganti. Mereka bertanggungjawab memperkenalkan kepada anak-anak nilai kasih sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan dalam menunaikan tanggungjawab. Dalam sebuah hadis disebut “Setiap anak dilahirkan di atas fitrah, maka kedua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi” Fitrah di sni bermaksud Islam oleh itu setiap anak-anak dilahirkan sebagai seorang Muslim maka ibubapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak tersebut kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak tersebut tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan menjejaskan fitrah kejadiannya.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
“Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak” (Riwayat Muslim)
Ibubapa bukan sahaja berfungsi sebagai ejen penambah zuriat manusia dan memperbanyakkan umat Islam dalam konteks agama Islam, mereka bukan sahaja menginginkan zuriat yang mewarisi perjalanan hidup mereka dan melahirkan anak soleh malah lebih daripada itu mereka berfungsi sebagai center pusat yang melahirkan generasi atau jil yang meneruskan kecemerlangan umat Islam sebagai ummattan wasatan ummat terbaik ummat contoh kepada seluruh manusia surah al-Baqarah ayat 143 “dan demikianlah Kami jadikan kamu ummat pertengahan…”
Tujuan pertama dan kedua lebih bersifat kepentingan individu tetapi tujuan ketiga bersifat universal dan lebih berkemasyarakatan.
Kesemua ibubapa secara naturalnya menginginkan anak-anak yang soleh “..Jika sekiranya engkau memberi kami anak yang soleh tentulah kami akan selalu bersyukur” (al-A`raf ayat 189) dan di dalam hadis riwayat Muslim “apabila mati anak Adam terputus darinya melainkan tiga perkara anak soleh, ilmu bermanfaat dan sadaqah jariah”
Di dalam surah al-Furqan ayat 74 “Ya Tuhan kami anugerahkan keapda kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa” manakala surah Maryam ayat 6 “yang akan mewarisi aku…” Al-Qur’an seterusnya dengan tegas mengingatkan ibubapa akan tugas mereka yang amat penting seperti yang disebut dalam surah al-Tahrim ayat 6 “Wahai orang-orang yang beriman perliharalah diri-diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka” dan di dalam surah al-Anfal ayat 28 ibubapa juga diingatkan supaya berwaspada dengan keluarga dengan firmannya “Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah ujian” ujian yang menguji ibubapa adakah mereka menunaikan tanggungjawab dan memberikan kepada anak-anak hak mereka yang sepatutnya.
Oleh itu ibubapa mestilah menyedari dan memahami kepentingan tiga perkara ini; penyambung zuriat, anak soleh dan generasi ummatan wasatan dan menganggapnya sebagai satu tugas dan amanah yang dipikulkan ke atas mereka oleh agama mereka. Mereka mesti menganggap ianya sebagai satu amanah besar yang mesti dipikul dan ditunaikan serta tidak boleh dipertanggunggjawabkan kepada pihak lain. Jikalau kita hendak menjangkau kepada peranan yang lebih luas iaitulah memastikan bahawa anak-anak tersebut mampu menyambung kesinambungan tamadun ummat manusia. Tetapi apakah syarat-syarat kesinambungan tersebut?
Malik Bennabi seorang pemikir Islam terkenal berbangsa Algeria menyatakan dalam bukunya Mushkilat al-Hadarah Shurut al-Nahdah (Permasalahan Tamadun Asas-asas Kebangkitan)[1] bahawa tamadun mempunyai tiga unsur utama: manusia, tanah[2] yang diduduki dan masa yang dimiliki oleh manusia.[3] Manusia menurutnya berhadapan dengan berbagai masalah yang berbeza antara satu dengan lain. Ia berkait rapat dengan individu dan organisasi masyarakat. Individu mempunyai tiga peranan utama yang bakal mencipta tamadun dan sejarah masa hadapan: halatuju, budaya dan harta.[4] Halatuju mestilah jelas dan menampakkan kesatuan fikiran dan tujuan, budaya mestilah mampu menggabungkan elemen masa lampau dan masa hadapan meninggalkan yang negatif dan mengambil yang positif yang semestinya berpaksi dan bersumberkan wahyu. Budaya dalam erti yang luas ialah himpunan sifat-sifat akhlak dan nilai kemasyarakatan yang diterima oleh individu seawal kelahirannya di alam nyata.[5] Teori Malik Bennabi ini memperlihatkan kepada kita betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap individu masyarakat dan tidak terkecuali mereka yang dipanggil ibu bapa.
Kepentingan menitik beratkan pembangunan anak-anak merupakan amalan yang dipelopori oleh ulama-ulama Islam sejak zaman silam berasaskan ajaran Islam bersumberkan Qur’an dan Sunnah. `Uqbah bin Abi Sufyan ketika menghantar anaknya kepada seorang guru berpesan beliau kepada guru tersebut dengan kata-katanya : “Hendaklah perkara pertama ketika engkau memperbaiki anakku ialah memperbaiki dirimu, sebab matanya akan menurut matamu, yang baik pada mereka ialah apa yang engkau pandang baik, yang buruk di sisi mereka ialah apa yang engkau pandang buruk, ajarkan mereka jalan kehidupan orang bijak pandai, tunjukkan akhlaq orang-orang mulia, engkau boleh mengancam dia dengan diriku, pereloklah perilakunya tanpaku, jadilah seperti seorang doktor yang tidak memberikan ubat sebelum mengetahui penyakitnya, janganh engkau sampai cuai kerana kekurangan yang ada padaku sebab aku telah menyerahkan dia atas kesempurnaan yang ada padamu.” Pada zaman khalifah Abbasiah al-Mansur, beliau telah menghantar seorang utusan ke penjara bertanyakan banduan-banduan penjara apakah yang kamu rasa berat dari apa yang kamu rasakan sekarang. Jawapan yang diterima ialah : tiada apa pun yang kami rasakan amat pedih selain daripada kami terhalang untuk mendidik anak-anak kami.”
Cabaran Masa Kini
Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak. Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan kepada ibubapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibubapa bekerja telah mengurangkan masa bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti mengambil pembantu rumah, menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau ke sesi persekolahan tambahan untuk memastikan kepentingan pendidikan anak-anak terjaga. Kewujudan masalah sosial juga turut merunsingkan ibubapa. Gejala dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti maksiat merupakan fenomena yang mencemaskan ibubapa. Tambahan pula media menyiarkan sitcom yang boleh menyumbangkan kepada penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh mengikut kajian yang dilakukan oleh Hashim Bedu dan rakan-rakannya Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran jenayah syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun. Mereka mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut : perasaan ingin tahu dan mencuba, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan sikap keluarga, ibubapa mengamalkan sikap terlalu mengongkong dan mengabaikan pendidikan rohani dan agama. Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibubapa kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu bapa.
Sheikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam[6] menyenaraikan punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada kemiskinan, pergaduhan sesama ibu dan bapa, perceraian yang mengundang kesusahan kepada ibu yang menjaga anak-anak, masa lapang yang tidak terisi, pengaruh rakan-rakan, diplomasi buruk ibu bapa kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak. Kemiskinan akan mendorong kanak-kanak keluar dari rumah mencari wang untuk keperluan dirinya yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-sarang penjenayah natijahnya akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya di hadapan anak-anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak gembira. Perceraian ibu bapa kebiasaannya menyebabkan anak-anak kehilangan bapa dan memaksa ibu-ibu keluar mencari nafkah. Maka anak-anak yang sudah kehilangan bapa akn terasa kekurangan masa bersama ibu mereka lantas mereka akan mencari alternatif untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu juga jika anak-anak mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak memenuhi masa anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan mempengaruhi kanak-kanak mengisi masa mereka mengikut cara mereka sendiri. Islam memberi peringatan yang keras tentang kesan negatif yang bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan seperti dalam ayat 28-30 surah al-Furqan “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul”. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Qur’an ketika Al Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia.” Sabda Nabi: “Seseorang itu bergantung kepada agama saudaranya maka hendaklah dia melihat ssiapa yanag menjadi saudaranya”. Sikap ibu bapa dan cara diplomasi mereka yang tidak berhikmah menyebabkan anak-anak menjadi tertekan dan beremosi kerana anak-anak juga manusia yang diberikan akal yang mampu berfikir dan boleh menilai lantas mereka akan mempersoalkan sikap ibu bapa mereka yanag tidak rasional. Kanak-kanak berkemungkinan mengambil jalan pintas melawan ibu bapa, lari dari rumah dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah satu ketika Umar ibn al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya “Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka sedangkan kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk kepadanya sebelum dia berlaku buruk kepadamu”. Ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak menjadikan anak-anak mereka seolah-olah tidak beribu bapa ibarat anak-anak yatim. Benarlah kata penyair Arab “bukanlah yatim itu mereka yang ayahnya tidak menanggungnya dan meninggalkannya sesungguhnya yatim itu ialah ibunya yang sibuk dan ayahnya yang sibuk”. Ibu bapa perlu menjadi seperti seorang peladang yang sentiasa mengambil berat terhadap benih pokok yang disemainya Dia perlu menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan duri-durinya dan memotong ranting-ranting yang patah. Dia perlu memastikan benih tersebut dapat menghasilkan buah masak dan ranum. Jangan jadikan anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan angin ibarat debu beterbangan di udara.
Dr Muhammad Sayyid Yusuf dalam bukunya Manhaj al-Qur’an fi Islah al-Mujtama` menyenaraikan sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama: berpaling dari ajaran agama, tertipu dengan godaan syaitan dan perancangan jahat musuh yang ingin melihat kehancuran umat Islam. Musuh Islam terutamanya Yahudi mengganggap antara kekuatan umat Islam terletak kepada keutuhan institusi keluarga oleh itu mereka menjadikan matlamat mereka antaranya meruntuhkan kehidupan berkeluarga dan merosakkan sistem pendidikannyya. Oleh itu sebahagian besar program-program media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-unsur dan budaya-budaya negatif yang boleh mempengaruhi nilai akhlak anak-anak dan remaja.
Sebaliknya budaya mulia yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja sebagai jil dan generasi masa hadapan future generation ialah seperti yang ditegaskan oleh Malik Bennabi ialah budaya yang bersumberkan wahyu kerana ianya merupakan suatu yang quddus dan datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif Islam, budaya terdiri dari tiga unsur aqidah, ibadah dan akhlak oleh itu semesti ketiga-tiga perkara ini diberikan penekanan dalam pembentukan personaliti anak-anak.
Tuntutan materialisma masakini mempengaruhi ibubapa memberikan tekanan kepada anak-anak untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik lantas mengabaikan aspek spriritual atau keagamaaan maka lahirlah anak-anak yang cemerlang akademik tetapi kosong jiwanya, remaja cemerlang tetapi runtuh akhlak. Sepatutnya kecemerlangan akademik mestilah diimbangi dengan kecemerlangan spiritual spiritual excellence. Islam melalui al-Qur’an dan Hadith menuntut supaya keseimbangan atau balance dalam semua aspek kehidupan, bukan sahaja aspek material tetapi kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh itu peranan ibu bapa pada masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang dituntut dalam Islam. Hadith Nabi ada menyebut bermaksud barangsiapa bersabar dalam membesarkan anak-anak perempuan maka baginya balasan syurga.
Penyelesaian Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak
Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibubapa dalam mengatasi masalah dan menangani cabaran yang dihadapi. Anak-anak perlu diberikan kefahaman tentang peranan dan tujuan utama mereka berada di alam maya ini. Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi keseronokan yang bersifat sementara tetapi memahami dan menghayati kedatangan mereka seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam risalahnya Qimah al-Insan wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam adalah untuk beribadat, membangunkan bumi Tuhan dengan sebaiknya dan menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu ada tiga perkara utama yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa anak-anak iaitu pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak mulia. Selain daripada tiga perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil kira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya. Secara umumnya aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada aspek iman, akhlak, jasmani, minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi.
Ciri-ciri Pendidikan Dalam Islam
Sebelum kita berbicara mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa terlebih kita merenung apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan dan apakah ciri-ciri pendidikan Islam.
Definisi dan Aspek Pendidikan
Pendidikan dari segi bahasa ialah membina, memperbaiki dan menyempurnakan. Dari segi teknikal ia bermaksud membina fungsi badan, akal, akhlak sehingga sempurna melalui latihan dan pembudayaan. Di dalam Islam pendidikan bermaksud mempersiapkan individu Muslim yang beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan akhlak Islam dari segi hati, ruh, jasad, akal, akhlak dan sikap.[7]
Untuk memahami konsep pendidikan dalam Islam terutamanya al-Qur’an dan Hadis memerlukan kita meneliti keseluruhan isi kandungannya. Al-Qur’an dalam surah al-Mu’minun umpamanya memasukkan elemen tawhid. Ibadat, akhlak, menjaga kehormatan diri dan tanggungjawab kepada masyarakat melalui sistem zakat dan penjagaan amanah. Surah al-Furqan menyebut takwa, takut kepada azab neraka, bersedekah, memelihara kehormatan diri dan memberikan kesaksian yang adil sebagai ciri-ciri peribadi unggul.
Pendidikan Islam akan dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami ciri-cirinya. Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini merangkumi dua perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan kita bahawa sumber pendidikan Islam tertinggi ialah al-Qur’an dan Hadith dan bukannya bersumberkan akal dan nafsu manusia. Manusia tidak mencipta asas-asas pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami dan menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan pendidikan. Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud mengukuhkan ikatan hubungan dengan Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah al-Inshiqaq bermaksud “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras untuk menemui Tuhanmu maka kamu akan menemuinya”.
Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada kekurangan dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu Qur’an dan Hadith. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan dan ibadah kepada Allah.
Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara akhlak individu dan masyarakat dan negara manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam bukan terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan kerana perlaksanaan merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat. Ciri terakhir ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan. Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.
Secara umumnya sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak mestilah bermula dari zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.[8] Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi Barat Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya di masa hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam membahagikan pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11 sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari.
Mengikut Dr al-Mabruk Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba’ fil Islam peringkat sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri, persediaan mereka untuk bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat biologi iaitu melahirkan anak tetapi turut bersifat kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Suasana yang kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa berdasarkan kepada kemampuan supaya unsur-unsur positif dapat dimasukkan dan unsur-unsur negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh merosakkan anak-anak semasa dalam kandungan sebagai contoh merokok dan meminum arak semestinya dihindari sesuai dengan tanggungjawab mereka yang besar sehingga dirakamkan pengorbanan ibu dalam al-Qur’an. Dalam surah Luqman ayat 14 “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kamu kembali.” Pemilihan pasangan suami isteri yang baik dan menepati kehendak agama akan menjadikan perkahwinan itu satu medan di mana ibu berperanan sebagai sebuah sekolah yang menjaga dan mendidik anak-anak manakala bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan-keperluan yang diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh kedua belah pihak suami dan isteri akan memudahkan tugas dan amanah mendidik anak-anak menjadi mudah dan bersistematik. Islam menekankan pemilihan pasangan mestilah berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya anak-anak yang dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang mulia. Umar ibn al-Khattab suatu ketika pernah berkata sebagai menjawab soalan apakah hak seorang anak ke atas bapanya “hendaklah ia memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok dan mengajarnya al-Qur’an.”
Pendidikan Iman
Iman merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Kanak-kanak sebaik saja dapat memahami mesti diajar asas-asas iman, rukun-rukun agama dan prinsip shariat Islam. Kanak-kanak mesti diajar kefahaman jelas tentang Islam, diajar mengenal Tuhan dan Rasul diajar supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan sistem kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Qur’an begitu menitik beratkan pemantapan dan pengukuhan aqidah serta pembersihannya dari segala unsur negatif yang bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah yang benar menjamin kepada manusia tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang konsep kewujudan alam dan manusia. Penyelewengan aqidah akan membawa kepada penyelewengan ibadat dan adat serta kerosakan akhlaq individu dan masyarakat. Mengikut Sayyid Sabiq “bencana pertama yang menimpa masyarakat Islam ialah kelemahan aqidah. Kelemahan aqidah membawa kepada kelemahan individu, keluarga, masyarakat, negara dan segenap cabang kehidupan.” Iman yang dituntut kepada setiap individu dan yang diajar kepada anak-anak mestilah iman yanag sebenar seperti yang diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan oleh Rasulnya. Anak-anak mestilah diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa kerumitan supaya timbul di dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan Rasulnya. Apabila mereka sudah kenal dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka menerima dan mempraktiskan segala ajaran dan arahan agama yang datang dari Tuhan dan Rasul. Individu tanpa agama dan iman ibarat sehelai bulu yang beterbangan di udara, ianya tidak akan tetap dan tidak mengenal hala tuju dan tidak akan berhenti di satu destinasi yang tetap. Iman yang mantap dan benar akan menggerakkan anak-anak dan individu untuk beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang baik.
Iman tidak sempurna tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman. Al-Qur’an sering mengaitkan iman dengan amal sebagai satu benda yang saling bertaut rapat ibarat pepatah melayu aur dengan tebing. Amalan dan perbuatan yang baik akan melahirkan nilai dan kesan yang positif. Al-Qur’an menegaskan sebagai contoh amalan solat dan zakat akan menghalang seseorang dari melakukan kejahatan dan membersihkan diri dari sifat-sifat keji.
Islam mengarahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang apabila berusia tujuh tahun. Kepentingan solat selain daripada ianya sebagai tiang agama, ia berupaya menanam dalam diri anak-anak pengertian taat, penyempurnaan haq Tuhan, bersyukur, berserah kepada Tuhan, dan pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak. Kata Imam al-Ghazali : “Anak-anak ialah amanah, hatinya yang bersih ibarat satu jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia”
Pendidikan Akhlak
Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai akhlak yang perlu diajar kepada anak-anak sebaik sahaja mereka boleh memahami dan mencapai umur tamyiz (discernment). Dimaksudkan dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah tingkah laku yang dilakukan oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep akhlak dalam Islam ialah ianya mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang individu. Sebagai Muslim ia sedar bahawa segala perbuatannya baik atau buruk jika tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti mendapat balasan di hari kemudian. Dalam surah Ahzab ayat 21 “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu seri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”
Kanak-kanak yang terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih kepada Tuhan dan Rasul akan mendapati pada dirinya kesediaan untuk melakukan segala perkara yang bersifat positif dan akan menolak segala perkara yang bersifat negatif. Dia akan sentiasa merasakan bahawa Tuhan bersama dia, melihat dan menyaksikan segala perbuatan dia. Kaitan akhlak dengan agama bukan sahaja konsep Islam tetapi ianya diakui oleh bukan Islam. Ghandi sebagai contoh menyatakan : “Sesungguhnya agama dan akhlak satu benda yang satu dan tidak dipisahkan…Agama ibarat ruh bagi akhlak dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama” Kant menyatakan : “Tidak ada akhlak tanpa tiga kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari Pembalasan”.
Akhlaq berperanan sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi unggul dan juga pembinaan keluarga dan masyarakat yang bertamadun. Tidak mungkin kita dapat melihat suatu masyarakat contoh dan mithali yang saling bertoleransi, memahami, aman tetapi kosong nilai-nilai akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga individu. Dewasa ini masyarakat Islam dan Melayu khususnya berhadapan dengan berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru pendapat pakar psikiatri mengatakan remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan dengan masalah sehinggakan sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya disebabkan cinta tidak diterima kekasih.[9] Jika hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan masalah akhlak remaja amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada orang tua mereka tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera sehingga peringkat membunuh orang tua mereka. Perkara ini tidak akan berlaku jika remaja tersebut diberikan tembok iman, ilmu dan akhlaq yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang masyhur: Innama al-umam al-akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat akhlaquhum dzahabu (suatu ummat akan kekal bersama akhlaqnya; bila akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya).
Dalam pembikinan akhlaq anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada akhlaq luaran tetapi dalaman atau rohani dan spiritual mesti dititikberatkan. Imam al-Ghazali, pemikir Islam agung silam menekankan: “Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan memperlihatkan kesannya pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota badan tidak akan bergerak melainkan mengikut kehendak hatinya.” Oleh itu pembentukan karektor anak-anak tidak boleh ditumpukan hanya kepada kecerdasan akal sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan juga spiritual. Anak-anak mesti diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar, bersyukur dan diajar akhlaq bermasyarakat seperti benar, penyantun, amanah, toleransi, merendah diri dan menepati janji. Sabda Nabi : “Keajaiban bagi seorang Muslim dalam urusannya, sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah untuk mukmin sahaja. Jika berada di dalam kegembiraan dia bersyukur, jika ditimpa musibah dia bersabar” (Riwayat Muslim)
Memandangkan pendidikan dalam Islam menitik berat pemerhatian observation sepatutnya ibu bapa dalam aspek pendidikan akhlak memandang serius empat isu utama : bercakap bohong, mencuri, mencela dan menyeleweng dari ajaran agama.
Keempat perkara tersebut merupakan antara perkara utama yang dilarang oleh Islam dan banyak ayat Qur’an dan Hadith Nabi yang melarang keras perbuatan tersebut. Sebagai contoh dalam kes bohong Nabi ada menyebut : “Jauhilah kamu membohong, sesungguhnya membohong membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka, dan adalah hamba itu berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah mengecapnya sebagai pembohong.” (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi terdapat fenomena di mana ibu bapa sering menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap anak-anak dengan berbohong walaupun tujuan mereka ialah untuk melakukan islah atau pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin `Amir bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah berada bersama mereka. Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu hendak berikan kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji tamar. Rasulullah menjawab “Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu engkau akan dicap sebagai pembohong.”
Islam meletakkan beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya : tidak mengikut budaya asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma, mendengar muzik atau nyanyian yang melalaikan, menyerupai wanita, bertabarruj dan melihat benda yang haram.
Oleh itu dapat disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas jika ibu bapa mengambil mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya kepada perkara-perkara berikut seperti yang disebut oleh Abdullah Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati pergaulan anak-anak, tidak menapis rancangan tv dan filem, membenarkan mereka membaca majalah-majalah yang tidak sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan pakaian dan aurat anak-anak, tidak mengawasi pergerakan mereka ke dan pulang dari sekolah serta perpustakaan kecil mereka. Kata pujangga “Bagaimana kamu menangisi keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah pergi dia tetapi apakah yang kamu lakukan?”
Pendidikan Jasmani
Kanak-kanak semasa dalam proses pembesaran sehingga ke peringkat pra sekolah perlu diberikan pendidikan jasmani bertujuan membina dan memantau perkembangan fizikal. Oleh itu, antara perkara-perkara yang berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam Qur’an dan hadith seperti kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem pemakanan dan rehat yang baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur hendaklah dia berwudu’ dan berbaring ke kanan dan membaca doa. Selain daripada perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari sebarang penyakit dan perlulah mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan konsep yang disarankan dalam hadis “La darar wa la dirar” tidak ada kemudaratan dan memudaratkan, membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan fizikal dan gemarkan mereka dengan kehidupan yang bersifat berani dan berjuang seperti dalam hadis “Berikan perhatian kepada perkara yang bermanfaat, pohon pertolongan dengan Allah dan janganlah kamu menjadi lemah”.
Kepentingan jasmani diisyaratkan dalam Qur’an dalam surah Yusuf ayat 11-12 “Biarkanlah dia (Yusuf) pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya.” Keinginan naluri kanak-kanak untuk bermain dieksploitasi sepenuhnya oleh saudara-saudara Yusuf untuk memujuk ayah mereka memberikan keizinan untuk Yusuf keluar bersama abang-abangnya. Dalam sunan Tirmidhi “permainan kanak-kanak memberikan kekuatan kepada akalnya semasa dewasa.
Sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak kecil semestinya dibiarkan belajar berjalan dengan sendiri tanpa dipaksa kerana paksaan akan menjejaskan kekuatan tulang kaki. Apabila seorang anak bangun dari tidur dia mestilah dimandikan kemudiannya dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya diberikan sedikit makanan, kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas daripada itu diberikan makanan. Imam al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu dibenarkan bermain selepas belajar untuk menghilangkan penat. Mencegah mereka dari bermain dan memaksa mereka belajar sepanjang ahri akan mematikan hati dan menganggu kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap dan memahami arahan anak-anak perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab makan dan minum.
Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala tindakan mereka yang boleh merosakkan tubuh badan dan kesihatan perlulah dilarang. Di sini kita dapat melihat sebahagian ibu bapa yang tidak bertegas dan membiarkan anak-anak mereka melakukan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi kesihatan bahkan juga merugikan wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan pergaulan bebas akan mengundang berbagai masalah kesihatan dan sosial. Di sini saya suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap lebih tegas dalam mewujudkan zon bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia zero smoking. Program-program hiburan perlu dikemaskinikan supaya elemen-elemen yang baik dipaparkan dan elemen-elemen negatif yang menggalakkan anak-anak kepada pergaulan bebas mestilah dimonitor dengan serius.
Pendidikan Minda dan Aqal
Di dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation tidak dapat dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai corak kehidupan anak-anak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda atau aqal di sini ialah membina fikiran anak-anak supaya mereka mengenal ilmu-ilmu bermanfaat, budaya ilmu, pola-pola pemikiran dan tamdaun sehingga berkembang fikiran dan berilmu. Ia juga bermaksud pengetahuan dan juga skil yang bukan sahaja perlu ada pada anak-anak sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu-ilmu asas dan skil dalam membantu dan merangsangkan proses pembelajaran dan pendidikan anak-anak. Antara kerosakan akhlak anak-anak adalah berpunca daripada kecuaian memberi pendidikan.[10] Anak-anak perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu agama dan ilmu duniawi. Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi sebagai memenuhi tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan pendidikan terbantut atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah sebahagian dari remaja yang bermasalah adalah dari kalangan mereka yang terpinggir dari arus pembangunan dan perkembangan ilmu. Pengajian mereka tersekat setakat sekolah menengah dan masa remaja mereka terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat.
Ada tiga perkara pokok yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal anak-anak iaitu tanggungjawab memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam dan kesihatan mental.
Dalam proses pendidikan ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang dianggap fardu ain dan fardu kifayah dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu ilmu apa yang perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak. Di sini konsep tadarruj atau gradual beransur-ansur perlu dipraktiskan kerana kanak-kanak tidak mampu menerima semuanya pada satu waktu. Mewujudkan perpustakaan kecil di dalam rumah adalah salah satu kaedah yang boleh merangsangkan minat untuk membaca.
Penekanan yang serius tentang kepentingan ilmu inilah yang telah mengangkat martabat umat Islam satu ketika dahulu sehingga diiktiraf oleh bukan Islam. Seorang orientalis Belanda ada menyatakan : “Tidak dapat dijumpai di Andalus seorang yang buta huruf sedangkan di Eropah ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali golongan elit sahaja.” H.R.Gibb menyatakan “melalui kajian yang mendalam (oleh Muslim) metod penyelidikan meresap masuk ke Eropah pada zaman pertengahan”.
Ibu bapa perlu membuat pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai ilmu-ilmu fardu `ayn dan fardu kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran anak-anak tentang pertaliannya dengan agama. Adakah kita boleh berbangga apabila anak-anak kita mampu menceritakan tentang tamadun Barat tetapi tidak berupaya menerangkan tentang tamadun Islam.
Ibu bapa perlu mengambil perhatian berat kepada persekolahan anak-anak mereka bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah. Kemudahan sekolah, kurikulum dan ko kurikulum mestilah dipantau supaya pembinaan peribadi anak-anak dan perkembangan ilmu selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang dituntut dalam Islam.
Pendidikan Sosial
Menyedari kanak-kanak pada peringkat umur awal memiliki daya keinginan untuk membuat keputusan dan pilihan sendiri ibubapa semestinya sudah bersedia menanam di dalam diri anak-anak mereka nilai-nilai sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti kasih sayang, berlaku adil dan lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada Aishah bermaksud: Wahai Aishah! Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan sukakan lemah lembut (Riwayat Muslim).
Tidak dapat dinafikan kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada kekuatan individunya. Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat dengan sifat-sifat bermasyarakat yang berasaskan kepada pertama asas personaliti yang baik seperti taqwa, persaudaraan, kasih sayang, berkorban, pemaaf, berani bercakap benar, kedua menjaga hak orang lain seperti hak ibu bapa, saudara, guru, kawan-kawan dan orang yang lebih dewasa, ketiga komitmen kepada akhlak bermasyarakat seperti adab makan dan minum, memberi salam, meminta izin, menghadiri majlis, berbual, bergurau, mengucap tahniah, menziarahi orang sakit, mengucap tahniah dan mendoakan orang yang bersin dan keempat bersikap mengambil berat iaitu bersifat kritikal terhadap isu-isu sosial seumpamanya seperti sifat menghormati pendapat majoriti dan menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Pendidikan psikologi dan emosi
Yang dimaksudkan dengan pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak sebaik mereka mampu berfikir dan memahami sifat berani, keyakinan dan ketenangan diri. Aspek ini merupakan aspek yang penting yang kadang kala dipandang remeh oleh ibubapa. Perasaan gembira, suka, marah, bermusuh dan takut adalah sebahagian dari keadaan yang menguji emosi anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi ini ialah membentuk peribadi anak-anak dan menanamkan keyakinan diri sehingga mereka mampu berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan sifat-sifat terpuji dan memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang boleh mempengaruhi psikologi.
Dua faktor yang mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak balasnya terhadap saudara-sauadaranya yang lebih tua dan kedua sikap ibubapa yang tidak dapat difahami oleh anak-anak seperti sifat ayahnya yang berubah dari penyayang kepada seorang yang bengis. Terdapat lima perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak. Malu, takut, rendah diri, dengki dan marah.
Perasaan malu dapat dikesan pada peringkat awal usia anak-anak. Mereka malu untuk bertemu dengan orang yang mereka tidak biasa berjumpa dan kadang-kadang sikap malu ini diwarisi dari ibu bapa mereka. Sikap menyendiri dan tidak suka bercampur dengan masyarakat yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk menunjukkan sikap yang sama. Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri, bergaul dengan orang lain tetapi dalam keterbasan yang tidak menafikan dari diri mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang Melayu dalam menghormati orang-orang tua melarang anak-anak mereka dari duduk bersama. Sikap seperti ini mungkin baik tapi dari segi yang lain akan menyebabkan anak-anak besrikap terlampau malu dan segan sehinggakan apabila mereka dewasa kelak tidak ada keyakinan diri dan tidak mampu berhadapan dan berkomunikasi dengan penuh konfiden.
Perasaan rendah diri merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh ketidaksempurnaan fizikal badan, bentuk pendidikan dan suasana ekonomi. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perasaan rendah diri iaitu hina diri, membezakan antara anak-anak, kecacatan, keyatiman dan kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan perkataan yang tidak baik bagi menggambarkan kesalahan kecil anak-anak di hadapan saudara-saudaranya seperti budak jahat, penipu, pemalas dan pencuri atau memarahi anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap ibu bapa yang terburu-buru dan mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak memberontak, irihati, tidak hormat orang tua dan dendam. Bagaimana mungkin kita mengharapkan mereka mempunyai sikap yang baik seperti taat, kasih sayang dan menghormati orang tua jika kita telah membibitkan dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif tersebut. Sepatutnya ibu bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana bersesuaian dengan kesalahan dan peringkat umur anak-anak. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan ibu bapa iaitu meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada Nabi selama sepuluh tahun sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan mengherdiknya. Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika yang lain dengan panggilan yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai anakku. Pernah satu ketika Anas diminta pergi ke kedai di dalam perjalanannya dia berhenti untuk berjumpa dengan rakan sebayanya. Tiba-tiba dia merasakan seseorang memegang bahunya lantas dia berpaling dan mendapati orang tersebut ialah Nabi. Dia menyangka Nabi akan memarahinya tetapi apa yang dia dengar ialah “Wahai anakku adakah kamu dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusanmu”?
Perasaan takut dan marah ialah dua unsur negatif yang biasa melanda kanak-kanak. Mengikut ahli psikologi kebanyakan perasaan takut merupakan satu benda yang dihasilkan oleh diri manusia sendiri. Takut terbahagi kepada tiga; takut secara semulajadi, resah dan fobia. Sikap ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan dengan anak-anak atau keruntuhan rumahtangga boleh menjadi penyebab kepada perasaan takut yang akhirnya berkemungkinan akan mengganggu emosi kanak-kanak. Antara nasihat Nabi ialah “Permudahkan jangan menyusahkan, tenangkan dan jangan kecoh”. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa malu.
Metod pendidikan Islam
Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya ibadah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan, membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.
Ibadat
Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani dan rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan peribadinya amat berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat seperti solat, zakat, puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada pada individu dan masyarakat.
Contoh Tauladan
Manusia dan anak—anak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik supaya mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat anak-anak yang menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan mereka sedangkan mereka ini kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana akhlak mereka yang tinggi.
Amr bi ma`ruf dan nahi munkar
Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik dan berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil berat terhadap anggota masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan diri.
Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan
Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara yang dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang dikasihinya. Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah lembut pada tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan kesalahannya adalah hikmah.
Pengajaran dengan nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih sayang seperti mana pesanan Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan memperlihatkan kepada anak-anak betapa besarnya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Menyertakan senda gurau di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak, menghilangkan jemu serta menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan. Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah memintanya seekor unta sedekah supaya dia menggunakannya untuk mengangkat barang-barang rumahtangganya. Maka berkata Rasulullah Aku akan memberimu anak unta untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu berkata Wahai Rasulullah! Apa yang dapat aku buat dengan anak unta itu? Jawa Rasullullah Bukankah unta itu melahirkan anak unta?
Bercerita
Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam jiwa dan tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Qur’an dan hadith antaranya ayat 176 surah al-A`raf “Dan ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka moga-moga mereka memahami”. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik beradik yang penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada Allah.
Mendidik dengan pendekatan berdialog
Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog, cerita secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih mengetahui. Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari lidahnya dan tangannya.
Targhib dan tarhib
Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat seseorang membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anak-anak balasan dan hasil yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh menggunakan gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada anak-anak.
Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik
Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan dijauhkan dari mereka adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan dengan menghormati orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki.
Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling
Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak. Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman
Hukuman
Mendidik anak-anak dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan. Hukuman yang diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan undang-undang dikenakan ke atas masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan-pendekatan berhikmah dalam menghukum anak-anak antaranya dengan memberikan nasihat dengan lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah hadis “Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat, jiwanya memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka berdusta. Ibu bapa juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut wajah yang tidak senang seperti memalingkan muka dari mereka, menunjukkan perasaan marah. “Wahai Abu Dharr! Tidak patut engkau mengatanya dengan menyebut ibunya. Sesungguhnya engkau masih terpengaruh dengan cara-cara jahiliyyah” (al-Bukhari). Ibu bapa juga boleh memulaukan anak-anak dengan cara tidak bercakap dengan mereka untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin merupakan cara terakhir seperti dalam hadis “Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah mencapai umur sepuluh dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.”
Kesimpulan dan Cadangan
Pendidikan anak-anak merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan dari ibu bapa. Ibu bapa terlebih dahulu perlu mencerminkan budaya sihat dan tauladan yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak. Anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa. Kita tidak mahu ibu bapa yang ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Surah ayat 3-4 bermaksud : “Wahai orang-orang beriman kenapa kamu kata apa yang kamu tidak lakukan ? amatlah besar dosanya di sisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat” Syair Arab ada menyebut la tanha `an khuluqin wa ta’tiya mithalhu `aar `alaika idha fa`alta `azim.
Kerajaan dan pihak yang berwajib perlu memperbanyakkan dan mempertingkatkan kualiti SA (Sekolah Agama) atau diubahsuai dan mengukuhkan kurikulum pelajaran supaya menjadi seimbang dengan mengambil kira potensi pelajar dan tuntutan arus perdana dan kewajipan agama.
[1] Malik Bin Nabi, Mushkilat al-Hadarah Shurut al-Nahdah, Dimashq, 2000. [2] Tanah mengikut Malik Bennabi ialah dari segi nilainya pada masyarakat. Nilai tanah sesuatu tanah bergantung kepada nilai sesuatu masyarakat tersebut.
[3] Beliau melihat masa sebagai sebatang sungai bisu yang melalui setiap masyarakat manusia yang kadangkala tidak disedari manusia. Hanya sebahagian sahaja yang mengambil manfaat darinya. Beliau mempersoalkan sikap masyarakat Islam Arab yang malas bekerja dan tidak menggunakan waktu sebaiknya sedangkan masa merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dari tamadun.
[4] Malik Bennabi membincangkan harta sebagai satu modal sebagai satu respon kepada teori kapitalis.
[5] Secara amnya istilah kebudayaan merujuk kepada segala hasil ciptaan insan dalam usaha menyesuaikan dirinya bagi menghadapi keadaan alam sekililingnya. Ianya juga sebagai pola-pola kehidupan.- zakaria setapa.
[6] Juzuk pertama.
[7] Dr Khalid Muhammad Muharram, Bina’ al-Shakhsiyyah min Khilal al-Tarbiyyah al-Islamiyyah.
[8] http://www.mindamadani.my/content/view/186/2/
[9] Kosmo, 10hb Jun 2009
[10] Keluarga Islam: Kemahiran Keibubapaan dan Cabran Semasa, Suntingan Azrina Sobian, IKIM, hlmn. 53.

08 September 2013
Singa Di Jinakkan
A. Thamil Arasu menjadi watak utama kemenangan skuad bawah 23 tahun Malaysia selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-46, 25 saat sebaik babak kedua bermula bagi memastikan kita memulakan kempen dengan tiga mata.
Walaupun tampil dengan aksi kemas dan mencipta deretan peluang, skuad bimbingan Ong Kim Swee yang tampak kurang selesa bermain di atas padang becak gagal meledak lebih banyak gol akibat ketumpulan penyudah.
Kecekapan penjaga gol lawan, Muhd. Syazwan Buhari turut menggagalkan usaha Malaysia untuk berpesta gol, biarpun mengharungi baki 35 minit terakhir menentang 10 pemain lawan.
Dua pemain paling mencuri tumpuan adalah bintang FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal yang menjadi penggerak utama serangan Harimau Muda, selain kemantapan pertahanan negara yang dikawal Mohd. Fadhli Shas dan Nik Mohd. Shahrul Azim.
Harimau nyata lebih menguasai bahagian tengah tetapi disiplin yang ditunjukkan anak-anak buah V. Sundramoorthy memastikan babak pertama berakhir 0-0.
Malah, Singapura hampir meraih gol pembukaan pada minit ke-45 melalui Muhd. Khairul Nizam yang dapat diselamatkan Izham Tarmizi.
Gol yang dicari akhirnya menjelma sebaik babak kedua bermula dengan hantaran menarik Junior disudahkan Thamil yang menolak bola untuk jaringan sulung Pestabola Merdeka 2013.
Malaysia mendapat kelebihan pada minit ke-55 selepas pertahanan Singapura, Muhd. Afiq Yunos dilayangkan kad merah kerana menepis bola tandukan Mohd. Fadhli Shas dengan menggunakan tangan dan pengadil menghadiahkan penalti.
Malangnya, Wan Zack Haikal gagal menyudahkan sepakan yang dapat ditampan oleh Syazwan Buhari, dan Junior yang berada berhampiran sekadar menyepak lemah ke gawang.
Biarpun Malaysia mencipta kemenangan, kehadiran penonton amat mendukacitakan dengan tidak sampai 1,000 penyokong hadir semasa perlawanan dilangsungkan pada pukul 5.30 petang.
Mujur, kehadiran sekumpulan penyokong Ultras Malaya memberi semangat buat pemain negara.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa kira-kira 15 minit menemui pemain negara turut menaikkan semangat mereka.
Dalam satu lagi perlawanan, Thailand dan Myanmar sekadar berkongsi mata apabila seri 1-1.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)