06 May 2013

Gelang Kaki

 

Setiap Muslim dan Muslimah hendaklah menjaga tata cara pergaulan dan pemakaian apabila berhubung dengan bukan mahram seperti di tempat kerja.

Paling utama dalam hal pemakaian kerana cara berpakaian dapat menarik perhatian orang lain yang bukan mahram. Memakai gelang kaki bagi wanita Islam dengan bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga menarik perhatian rakan sekerja yang lain untuk berpaling melihat ke arahnya dikira bercanggah dengan tata cara pemakaian dan pergaulan seorang wanita Muslimah dan Mukminah.

Itu sebabnya ia dihukum haram apabila bertujuan sedemikian dan pemakaian hiasan sedemikian perlu dielakkan. Ini jelas apabila al-Quran menggariskan berkenaan tatacara bergaul dan berpakaian seorang wanita Islam iaitu :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur (24): 31)

Dalam ayat ini, kita boleh simpulkan termasuk dalam ‘menghentak kaki’ ialah memakai gelang berloceng dan memakai kasut bertumit keras sehingga mengeluarkan bunyi. 



Islam melarang perbuatan itu kerana ia menarik perhatian orang sehingga terserlah perhiasan diri seseorang wanita. Manakala memakai gelang kaki berloceng bagi anak-anak perempuan yang masih kecil dan bertujuan untuk pengawasan pula adalah harus.

Ia tidak termasuk dalam larangan di atas kerana tidak bertujuan menarik perhatian lelaki dan usianya masih kecil.

Kredit:ust Nor Amin

Baik Sangka





Maksud Husnuzon adalah berbaik sangka kepada orang lain, ini adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam, kerana berbaik sangka ini lebih baik dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat. Kata Saidina Umar bin Al-Khattab ra :
“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.


Orang yang berburuk sangka seolah memfitnah orang, kerana buruk sangkanya tidak mempunya bukti yang kukuh, ini dikuatiri terjadinya fitnah, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (di akhirat) tentang apa Yang dilakukannya.” (Al-Isra : 36)
Fadhilat Berbaik Sangka

Hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, Ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia. Ini juga mengalakkan manusia itu berpecah belah antara satu sama lain dan ia juga akan merugikan manusia itu juga.

Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat : 6)

Selalu merasa bahagia atas segala kejayaan yang dicapai oleh orang lain walaupun kita sendiri belum berjaya. Ini bertujuan untuk mewujudkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta

Tetapi ingat kalau kita melihat orang yang melakukan dosa atau kemaksiatan, kita bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar orang tersebut, maka kita akan menanggung saham dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut. Kerana Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekelilingnya dengan kemampuan yang ada pada kita. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :
"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju; tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". (Di riwayatkan oleh Imam Muslim)

Jelas di sini, bahawa Islam melarang umatnya menyokong perkara yang mungkar atau dusta, kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum Allah dan larangan Allah. Contohnya kita melihat orang Islam di dalam kedai Sport Toto sedang membeli nombor ekor. Tetapi kita berbaik sangka kepada perbuatan orang Islam tersebut dengan mengatakan bahawa
“itu jalan rezeki dia, biarlah…. dia juga nak cari makan”.

Cegahlah segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita dengan sedaya yang mampu, kalau mampu dengan tangan, maka ubahlah dengan tangan. Mampu dengan lidah, ubahlah dengan lidah, kalau dua-dua ini tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hati (tidak redho dengan perbuatan tersebut) dan inilah selemah-lemah iman.
Buruk Sangka

Buruk sangka atau suuzon yang membawa maksud menaruh curiga kepada seseorang yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan. Islam sangat melarang umatnya berburuk sangka sesama Islam, kerana berburuk sangka akan mengundang malapetaka kepada orang tersebut. Biarlah syakwasangka itu berdasarkan bukti yang kukuh dan bukan sekadar memfitnah. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan orang-orang Yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki Yang beriman dan orang-orang perempuan Yang beriman Dengan perkataan atau perbuatan Yang tidak tepat Dengan sesuatu kesalahan Yang dilakukannya, maka Sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa Yang amat nyata.” (Al-Ahzab : 58)

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristiqfar kepada Allah swt. Dosa orang yang berburuk sangka adalah besar dan perbuatan jahat, setiap perbuatan jahat Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Allah. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Orang yang berburuk sangka juga sama dosanya seperti memakan daging saudaranya yang telah mati. Jauhilah sifat penyakit hati ini, kerana ia juga dapat merugikannya juga. Kembalilah ke jalan Allah dengan sebenar taubat dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut.

Perkara buruk ini telah menjadi darah daging umat Islam sekarang ini terutama melayu Islam yang sentiasa iri hati dan bersangka buruk terhadap saudara Islamnya. Dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti yang kukuh. Malah orang yang bersangka buruk itulah yang diagungkan sebagai orang yang hebat dan bijak. Inilah petanda akhir zaman kerana umat Islam tidak lagi berbangga dengan kerja-kerja amalnya dan mereka merasa besar dan gah dengan dosa yang dilakukan oleh mereka. Jika perkara ini tidak ditegah, maka ia juga akan merugikan semua pihak dan mengundang bala Allah yang datang tidak mengira darjat, iman dan bangsa.
Sangka Buruk Yang Harus

Umat Islam juga perlu bersangka buruk terhadap beberapa perkara. Contohnya soal keselamatan diri, seperti yang ditanyakan di atas, ternampak orang yang tak dikenali berkeliaran di persekitaran perumah pada waktu malam. Ini bukan kita menuduh, tetapi kita mengambil sikap berjaga-jaga dari berlakunya musibah-musibah yang tak diingini. Perbuatan sangka buruk seperti ini diharuskan, kerana ia menjaga keselamatan diri dan harta kita.

Bersangka buruk terhadap prestasi pelajaran anak-anak, kerana mereka tidak membaca buku dan hanya main game dan menonton TV sahaja. Hasil dari sangka buruk tersebut, kita menghantar anak menghadiri kelas tusyen atau kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi anak tersebut. Maka di sini merupakan sangka buruk yang menguntungkan semua pihak.

Bersangka buruk terhadap pokok besar yang condong ke arah rumah kita, maka dengan sangka buruk tersebut kita mengupah orang untuk memotong pokok tersebut untuk menjaga keselamat rumah dan nyawa keluarga kita. Maka bersangka buruk seperti ini juga diharuskan. Pendek kata, bersangka buruk yang menguntungkan semua pihak tanpa mengorbankan pihak-pihak yang tertentu atau sebagai langkah keselamatan, adalah diharuskan untuk kepentingan semua pihak.

Kesimpulannya

Bersangka baiklah kepada semua orang, kerana sangka baik itu meguntungkan semua pihak dan perbuatan tersebut adalah perbuatan mahmudah (terpuji). Jangan sesekali bersangka jahat kepada orang, terutamanya saudara sesama Islam, kerana ia merugikan semua pihak dan dosanya juga besar. Jika ada orang yang mempunyai sifat ini, lekas-lekaslah beristiqfar kepada Allah, kerana Allah menerima taubat hambanya.

Kredit:ust Nor Amin

Soalan Imam Al Ghazali


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...
Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )
Kedua : Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. " Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Ketiga : Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu".

Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ( Surah Al A'araaf 179 )

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .

Keempat : Pertanyaan keempat adalah, " Apa yang paling berat di dunia ini?"

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah".

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." ( Surah Al Ahzaab 72 )

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.

Kelima : Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "meninggalkan solat". Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

Keenam : Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
 
Kredit:ustaz Nor Amin

Menyentuh @ mengangkat Al-Quran




Menurut firman Allah yang bermaksud : "Tidak menyentuhnya (Al-Quran) melainkan orang-orang yang suci." (Al-Waaqiah : 79).


Berdasarkan ayat Al-Quran di atas ini, haram bagi sesiapa yang menyentuh Al-Quran tanpa wuduk kerana ayat-ayat Al-Quran ini merupakan kalam Allah, perlu kita menghormati kalam Allah ini sebagai panduan kepada semua umat manusia. Haram juga bagi sesiapa yang datang haid menyentuh Al-Quran, kerana mereka berada dalam kekotoran atau berhadas besar. Mengikut sesetengah ulamak menyatakan bahwa dibolehkan bagi hafizah (wanita yang menghafal Al-Quran) sahaja di bolehkan mengulang dengan diniatkan kepada berzikir, tujuan dibolehkan ialah mengelakkan mereka lupa kepada surah-surah hafazan mereka kerana sesiapa yang menghafal Al-Quran diwajibkan kepada mereka menjaganya supaya mereka tidak lupa akan ayat-ayat yang telah dihafal. Tetapi jika mereka mengulang akan ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal dengan niat mengulang ayat Al-Quran maka hukumnya haram.


Kanak-kanak Mumayyiz menyentuh Al-Quran

Bagi kanak-kanak yang mumayyiz tidak mengapa menyentuh Al-Quran kerana keperluan mereka untuk mempelajari Al-Quran di sekolah atau ke tempat pengajian Al-Quran yang lain. Hal ini menurut fatwa Ibn Hajar mengatakan guru dan kanak-kanak dimaafkan terutama bagi mereka yang tidak berupaya menjaga wuduk mereka. Jika boleh atau berkemampuan, maka seeloknya mereka ini bertayammum sebagai ganti kepada wuduk mereka, tujuan bertayammum adalah mudah untuk mengambilnya jika berbanding dengan wuduk. Sumber rujukan ialah (I’anah Al-Thalibin: 1.82-83).


Mengangkat Al-Quran Dengan Barang Lain

Menurut kitab Al-Tuhfah bagi sesiapa yang mengangkat Al-Quran dengan barang lain, seperti meniatkan (qasad) menanggung mushaf, menanggung mushaf bersama barang, atau menanggungnya secara mutlak, ketiga-tiga cara ini adalah haram. Di bolehkan atau tidak haram jika diqasadkan kepada Al-Quran itu seperti menanggung barang biasa sahaja.


Menyentuh Lambaran, Kulit Atau Sarung Al-Quran

Menyentuh lambaran kulit mushaf adalah haram sekalipun bahagian yang tiada tulisan dan haram menyentuh bungkusan atau sarung mushaf yang khusus disediakan untuk menyimpan mushaf dengan syarat pada ketika itu mushaf ada di dalam bungkusan atau sarung berkenaan.


Menyentuh Mushaf Al-Quran Yang Mengandungi Tafsirnya

Menanggung dan menyentuh mushaf bersama tafsirnya tidak menjadi haram sekiranya tafsirnya itu lebih banyak. Jika tafsir itu sama banyak, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka adalah haram menyentuhnya. Ulama juga menggariskan kedudukan antara mushaf dan tafsir dalam mengukur banyak sedikitnya. Ketika menanggungnya yang diambil kira ialah jumlah Al-Quran dan tafsirnya. Manakala dalam perkara menyentuh, yang perlu diperhatikan ialah tempat di mana ia meletakkan tangannya. Jika pada tempat itu tafsirnya lebih banyak, tidak haram menyentuhnya, tetapi jika Al-Quran lebih banyak, haram menyentuhnya. (I’anah Al-Thalibin : 1:82). 


Kesimpulannya

Perlu diingatkan setiap perkara yang hendak kita lakukan yang berkaitan dengan syiar atau syariat Islam perlu mempunyai hujahnya yang bersumberkan kepada Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Jika sesiapa yang melakukan perkara ibadah atau penghayatan Islam tanpa berpandukan kepada dalil-dalil atau hujah para ulamak, maka ia dinamakan sebagai jahil murakkab (jahil tidak mahu belajar), hal ini dikuatirkan orang tersebut sesat didalam penghayatannya.


Kredit:ustaz Nor Amin

KEADAAN TERKAWAL SEPANJANG PROSES PENGUNDIAN


Kuala Lumpur, 5 Mei - Proses mengundi pada pilihan raya umum
ke-13 (PRU13) berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa insiden pergaduhan kecil, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata polis berjaya mengawal keadaan di pusat pengundian terlibat.

"Insiden pergaduhan itu melibatkan beberapa penyokong parti yang tidak berpuas hati antara satu sama lain, namun atas kecekapan pihak polis, kita berjaya mengawalnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Ismail berkata polis memanggil beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu, beliau menggesa penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan untuk merai kemenangan atau membantah keputusan pilihan raya.

Ismail turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada keputusan tidak rasmi pilihan raya yang dihebah melalui laman sosial kerana ia mungkin bersifat khabar angin.

Sementara itu, beliau menjelaskan bas yang ditahan penyokong sebuah parti politik di Pandamaran, Klang sebenarnya membawa sekumpulan 54 pekerja industri warga asing ke tempat kerja masing-masing, dan bukan pengundi hantu seperti didakwa.

Difahamkan kebanyakan mereka merupakan warga Bangladesh.

"Dalam insiden itu, ada segelintir warga asing yang dipukul serta diugut oleh penyokong parti politik berkenaan kerana menganggap pekerja asing itu pengundi hantu.

"Dalam kejadian itu, cermin bas turut dipecahkan serta pemandu bas diugut," katanya sambil menambah polis kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pihak yang menimbulkan kekacauan itu.

"Saya nasihatkan mereka ini (penyokong parti) tidak mengambil tindakan di tangan sendiri kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Satu klip video menunjukkan sekumpulan individu menahan sebuah bas di Pandamaran tersebar di beberapa laman sosial yang mendakwa semua penumpangmerupakan pengundi hantu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lima lelaki ditahan pada kira-kira 4 petang kerana menghalang orang ramai mengundi di di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber di sini bagi kerusi Parlimen Wangsa
Maju.

"Kejadian berlaku di hadapan sebuah kondominium di Setapak, dan kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Setapak bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Mohmad menasihatkan orang ramai agar menghormati undang-undang demi memelihara keharmonian sejagat dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara.- BERNAMA
Sumber:VAT69 - Perjuangan Semalam

05 May 2013

Ape Tu .. Kasih, Sayang N Cinta ???




Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.

Kasih.. 
 
 

Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”. Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hambaNya. Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hambaNya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang. Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.

Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang. Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan. Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.

Sayang..

Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.

Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.

Cinta..

Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.

Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.


Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.
  

Kredit:penpatah

Kisah Orang Bercinta




"Senyum je memanjang...ade ingat kat sesape ke?" Tegur kawanku. Aku tak perasan pulak sejak bila dia tenung aku.
"Ehhh... Zatel. Hehehe.... takdelah. Teringat sesuatu je." Balasku tersipu-sipu sambil membelek buku dengan otak yang kosong.

Entahlah. Sejak semenjak ini aku tidak tahu apa yang sedang bermain di kotak fikiran. Melayang entah ke mana. Ada sesuatu yang telah mencuit hati dan perhatianku. Walaupun terasa gatal menyibukkan diri dengan tugasan amanah tetapi tanpa diundang bayangan tersebut sering juga muncul dengan muka tidak tahu malunya.

"Hemmm...... aku tak tahulah kenapa dengan aku sejak akhir-akhir ini. Aku tak pasti apa puncanya." Luah hatiku dengan nada yang lemah.

"Kau kenapa? Cuba kau 'cer citer ckit' bagi aku paham. Ada masalah hati ehhh?"


"Ish kau ni! Cepat saja menekanya. Entahlah Zatel... aku rasa aku macam dah minat 'somebody'. Walaupun pernah berjumpa dan berbincang semeja sebelum ini, tapi aku dapat rasakan sesuatu selepas berjumpa dengan dia di dalam program aritu. Lepas balik je program tu aku macam nak tahu lebih dalam pasal dia. Aku selidik biodata dia dan apa kesukaannya. Tapi bukan tahap angau lagi ye."

"Aiwahhh.... Ustazah Rahmah dah jatuh cinta ke? Milik kepunyaan siapakah hatimu wahai sahabatku? Hehe.."
"Aku tak jatuh cintalah. Aku cuma minat je. Tapi bila aku fikir fikir balik, salahkah perasaan aku ini, Zatel?"

"Adusssss....... soal hati ini aku payah sikit nak jawab. Bukan apa, aku takda pengalaman la. Tapi yang aku yakin, kalau perasaan tu suci kerana Allah SWT bukan bersadurkan pandangan nafsu, rupa, material mahu pun duniawi.. 'tafaddhol masykura ya ukhti' ".

"Aku sendiri konfius dengan perasaan aku lagi. Aku tak nak lah perasaan ini menjadi permainan syaitan sehinggakan mengganggu kekhusyukkan solat dan ibadah aku. Aku nak ia suci supaya ada keberkatan dan keredhan Ilahi. Bagaimana harus untuk aku uruskan perasaan ini?"

************************

Dilema?

Sama ada untuk melayan perasaan tersebut dan meneruskan bayangan yang tak pernah muncul?

ATAU

Mengambil langkah berani dengan mencari orang tengah yang paling beriman dan dipercayai?

ATAU

Melupakan sahaja dengan menyibukkan diri dan fokus apa yang lebih penting?

**********************

Apa pilihannya? Keliru?

Ber'syura'lah. Berbincang elok-elok dengan orang yang paling dekat dengan kita, yang dalam ilmu dan pengalamannya. Arif dan alim tentang kemahirannya.

Selepas keputusan diputuskan bersama-sama, walau apapun pilihannya; ber-istikharahlah. Mohon Allah redhai setiap keputusan yang telah kita buat.

Apa yang penting?

Kesucian jiwa.

"Benar-benar beruntunglah orang-orang yang suka mensucikan jiwanya. Dan benar-benar rugilah orang-orang yang gemar mengotorkan jiwanya." (Asy-Syams: 9-10)

Percayalah. Bahawa sesungguhnya mensucikan jiwa itu tugas paling utama bagi umat manusia yang dibawa oleh Rasullah SAW yang diutuskan oleh Allah.

Kesucian jiwa itulah tujuan utama bagi semua orang yang bertaqwa serta beriman kepada Allah. Bagi seseorang yang beroleh keselamatan dan kebahagiaan atau pun kesengsaraan. Dan kecelakaan di sisi Allah Taala itupun tergantung kepada kesucian atau kekotoran jiwa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri.

Hanya Allah yang akan memberi penilaian namun kita wajib berusaha untuk mendapat penilaian yang baik dari Allah dengan izin dan kehendaknya.


***********************
Namun, andai kata kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi kesudahannya kita tetap dikecewakan. Bertabahlah! Itulah namanya kehidupan. dikecewakan dan mengecewakan. Dilukai dan melukai.

Kredit:penpatah

Tumpang Jiran Ke Tempat Mengundi

 

KUALA TERENGGANU 5 Mei - Calon tertua pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Maimun Yusuf, 94, terpaksa menumpang jirannya untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 di sini.
Maimun atau Tok Mun yang sering menjadi perhatian umum disebabkan kesungguhannya untuk bertanding buat kali kedua selepas PRU 2008 yang lalu mengundi kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.
Tok Mun yang bertanding atas tiket bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, dia terpaksa menumpang jirannya yang menaiki kereta disebabkan orang yang diupah untuk datang mengambilnya tidak dapat hadir seperti yang dijanjikan.
"Tok dah upah suruh orang datang ambil dari pukul 9 lagi tapi dia tak jadi datang. Jadi, mahu tak mahu, Tok kena tumpang orang (jiran) la yang lalu depan rumah Tok ni," katanya di sini hari ini.
Saingan Tok Mun untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU kali ini ialah Mohd. Zubir Embong (BN) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pas). - UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd