Teruja betul bila dengar ustaz cakap,
semua orang yang bila dia tanya 'mengapa anda bekerja?' menjawab; "nak
cari rezeki halal, nak cari nafkah untuk anak bini, nak dapat gaji" atau
jawapan2 yang sewaktu dengannya. Tidak ada seorang pun yang menjawab
'saya bekerja kerana nak cari pahala'...
Lama juga termenung memikirkan komen
yang ustaz kata tu. Memang banyak maksud yang tersirat dalam komen itu.
Ya... kita manusia disuruh oleh ALLAH untuk berusaha mencari rezeki yang
telah ALLAH sediakan di atas muka bumi ini. ALLAH tidak menurunkan emas
atau perak dari langit tetapi ALLAH memberi manusia akal dan kudrat
tubuh badan untuk mencari rezeki yang ALLAH telah sediakan itu.
Maka, di dalam mencari rezeki itu, manusia
perlu berusaha iaitu bekerja. Dengan itu, bekerja itu adalah perintah
ALLAH dan sekiranya kita melaksanakan perintah ALLAH dengan niat ikhlas
dan cara yang betul mengikut syariatNYA, maka sudah pasti ALLAH akan
memberikan balasan yang sewajarnya kepada kita iaitu rezeki yang halal
dan juga pahala untuk bekalan di akhirat, kerana kita telah melaksanakan
suruhanNYA.
Apabila kita membuat satu (1) perkara tetapi
mendapat dua (2) balasan, tidakkah itu menyeronokkan? Maka, tidakkah
BEKERJA itu satu ibadah yang menyeronokkan?...
Namun, ramai di antara manusia ini yang tidak
menganggap bekerja itu sebagai IBADAH. Maka terjadilah ramai orang
bekerja hanya mendapat imbuhan duniawi tanpa mendapat sebarang pahala
untuk bekalan akhirat kerana banyak kemungkaran yang berlaku ketika
mereka melaksanakan kerja. Tambah terok lagi imbuhan yang diterima itu
juga yang mungkin akan mengheret mereka ke neraka ketika di akhirat
kelak.
Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah
diri kita samada kita ini termasuk ke dalam gulungan yang manakah antara
dua gulungan pekerja iaitu "Pekerja yang dapat gaji belum tentu dapat
pahala tetapi Pekerja yang dapat pahala sudah tentu juga dapat gaji..."
Marilah kita jadikan "Bekerja sebagai IBADAH
yang menyeronokkan".... Hindarkanlah segala kemungkaran yang mungkin
kita lakukan ketika melaksanakan tanggungjawab kita semasa bekerja.
Sesungguhnya ALLAH memberi rezeki pada tanggungjawab yang
ditunaikan. Jika tanggungjawab yang ditunaikan dengan jujur dan ikhlas
mengikut Syariat Islam yang diwajibkan, maka rezeki yang diperolehi
adalah rezeki yang berkat. Namun, jika sebaliknya yang dilakukan maka
sebaliknya jugalah yang akan berlaku.
Jadi jangan salahkan orang lain atau
masyarakat sekeliling sekiranya keluarga sesorang itu kucar kacir,
tetapi tengoklah akan sumber rezeki yang menjadi darah daging dalam
tubuh keluarga itu kerana walaupun secara zatnya makanan itu halal
tetapi kalau sumbernya haram maka akan jadi haramlah makanan tersebut.
Marilah kita fikir-fikirkan...