05 October 2013

Lata Tembakah - Ragut Nyawa

Tragedi Lata Tembakah  
  • Pasukan penyelamat mengusung turun mayat Janarthen.
BESUT - Kegembiraan sekumpulan 18 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mandi-manda di Air Terjun Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka lemas, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang ketika mangsa, Janarthen Umabathy, Vikneswaran Balakrishnan dan Mohana Raj Mathandra mandi di tingkat ketujuh yang merupakan kawasan perkelahan paling tinggi di air terjun berkenaan.

Semua mangsa berusia 22 tahun itu adalah penuntut tahun tiga kursus Teknologi Bio Industri UMK kampus Jeli, Kelantan.

Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Kalai Selvan, 22, berkata, mereka mendaftar di hutan lipur itu pada jam 10 pagi sebelum mendaki ke tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, pada awalnya mereka bercadang mandi di tingkat kedua, namun mangsa mengajak mereka naik ke tingkat lebih tinggi.

“Sampai di tingkat ketujuh berjarak 1.5 kilometer dari kaki bukit, kami terus mandi. Kami berpecah dan duduk dalam beberapa kumpulan. Namun, mereka bertiga tiba-tiba pergi ke arah air terjun sebelum lemas,” katanya, di sini, hari ini.
Kalai berkata, dia dan rakan-rakan cuba membantu, tetapi arus deras dan air dalam menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurutnya, dia kemudian turun ke tapak perkelahan di tingkat bawah untuk menghubungi pasukan penyelamat.


Dua ditemui terapung, seorang di dasar sungai
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat Vikneswaran yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dan Janarthen dari Ipoh, Perak, ditemui terapung kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, kira-kira jam 2.20 petang.

“Manakala, mayat Mohana Raj ditemui pasukan skuba JPAM serta bomba dan penyelamat di dasar air terjun sedalam kira-kira enam meter, kira-kira jam 4.27 petang,” katanya.

Beliau berkata, mayat Vikneswaran dibawa turun pasukan penyelamat dan orang ramai di pejabat pentadbiran hutan lipur pada jam 4 petang, manakala Janarthen sejam kemudian.

Sementara itu, katanya, mayat Mohana Raj pula dibawa turun pada jam 6 petang sebelum semua mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Operasi ini membabitkan pasukan penyelamat terdiri daripada bomba dan penyelamat termasuk unit skuba, JPAM, kakitangan Pejabat Perhutanan dan orang awam," katanya.

Kes pertama tahun ini
Sementara itu, Renjer Hutan Kanan, Pejabat Perhutanan Besut, Maliki Ismail berkata, kejadian itu adalah kes lemas pertama tahun ini dan lazimnya berlaku di tingkat tiga serta empat.

Menurutnya, pelajar terbabit mendaftar di Pusat Hutan Lipur Lata Tembakah sebelum naik ke tempat kejadian.

“Setakat hutan lipur ini dibuka, kejadian hari ini pertama kali berlaku babitkan tiga mangsa lemas kerana sebelum ini, seorang dua sahaja,” katanya.

Maliki juga berkata, pengunjung tidak digalak mandi di situ kerana agak jauh dari tempat perkelahan lain, malah papan tanda amaran kedalaman paras air turut dipasang.

Dalam pada itu, usaha menurunkan mangsa terakhir difahamkan memakan masa lama kerana saiz badan agak besar.

Kejadian lemas terakhir dicatatkan berlaku di Lata Tembakah pada 9 Oktober tahun lalu babitkan seorang lelaki di tingkat ketiga.

Tahun lalu sahaja, dua mangsa maut dan semuanya adalahpengunjung dari luar daerah.


Laman Sosial - Akan Di Sekat



"Menyekat Facebook bukanlah satu pilihan yang baik. Ini kerana kita tahu ia banyak membawa faedah berbanding penyalahgunaan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Kerajaan tidak akan menyekat akses akaun laman sosial Facebook atau laman-laman web yang lain kerana ia memberi banyak faedah kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun terdapat pihak yang menyalahgunakan laman web atau laman sosial seperti Facebook untuk menyebar fitnah tetapi bukan semua terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Di negara kita ada 16 juta pemilik akaun Facebook dan antara pemilik akaun itu ialah pelajar berumur lapan tahun, dan mereka ini tidak terlibat dalam penyalahgunaan media sosial seperti Facebook untuk melemparkan fitnah atau tohmahan kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di projek pemasangan gentian optik untuk jalur lebar sepanjang 10,000 kilometer dari Cherating ke Jepun oleh firma Time.com Berhad di Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Time.com, Afzal Abdul Rahim. - Bernama

04 October 2013

Tragedi Tanduo - Banduan Filipina Di Siasat

lahad datu 

KOTA KINABALU: Seorang banduan warga Filipina, yang kini menjalani hukuman penjara kerana menceroboh hutan simpan di Sabah sedang disiasat, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Sulu dalam pencerobohan di Lahad Datu pada Februari lalu.
Lelaki berusia 43 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada 9 September lalu kerana menceroboh hutan simpan di daerah pantai timur Lahad Datu di Sabah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Omar Mammah berkata, perkara tersebut didedahkan apabila mahkamah memerintahkan rumah yang diduduki lelaki itu sebelum penahanannya supaya dirobohkan.
“Semasa proses perobohan itu, pegawai-pegawai menemui dokumen mengesan suspek sebagai tentera Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), serta kelengkapan ketenteraan termasuk beret dan lencana Komando,” katanya.
SAC Omar berkata, polis masih menentukan sama ada banduan itu adalah sebahagian daripada kumpulan dan pencerobohan.
“Kami juga mengetahui apakah motif beliau berada di negara ini,” katanya.
Omar berkata, kertas siasatan baru mengenai lelaki itu telah dibuka pada 25 September lalu, dan pihak polis mencadangkan kepada Peguam Negara untuk menahan beliau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. – Mstar.

Pesawat Airbus Military TUDM Pertama Malaysia Dijadual Tiba 2015


a400m
SEVILLE: Airbus Military akan menyerahkan pesawat pertama pengangkutan generasi baharu A400M kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti yang dijadual pada 2015, kata syarikat itu pada Khamis.
Ketua Hal Ehwal Media Airbus Military, Maggie Bergsma berkata, TUDM telah terlibat dengan program itu sejak peringkat pertama dan mengambil bahagian sepenuhnya bersama pasukan Airbus Military untuk persiapan penghantaran pesawat itu.
“Bagi semua pelanggan kami, ia adalah peralihan daripada teknologi lama kepada teknologi utama A400M.
“A400M FISS (Full In Service Support) dicipta untuk memberikan pelanggan kami semua perkhidmatan yang diperlukan untuk operasi pesawat dan kami kini sedang berbincang dengan Malaysia mengenai perkara itu bagi memastikan semuanya telah siap untuk dihantar mengikut jadual,” katanya.
Tentera Udara Perancis merupakan yang pertama menerima A400M, pesawat pelbagai guna pertama di dunia yang dicipta khusus untuk memenuhi keperluan moden angkatan tentera, pada majlis di Airbus Military Delivery Centre, di sini Isnin.
TUDM menempah empat pesawat A400M. Pesawat itu mampu melaksanakan misi yang sebelum ini memerlukan penggunaan dua atau lebih pesawat daripada jenis berbeza dan ia memenuhi pelbagai keperluan tentera udara dan organisasi lain pada abad ini.
“Kepelbagaian A400M membolehkan hanya sebuah pesawat melakukan tugas yang sebelum ini memerlukan sehingga tiga pesawat untuk melaksanakannya.
“A400M mampu menggandakan kapasiti barang yang dibawa, malah menjimatkan masa perjalanan untuk melakukan misi kemanusiaan dan ketenteraan,” katanya ketika ditanya bagaimana pesawat ini akan melengkapkan armada TUDM sedia ada.
Diperkasakan oleh empat enjin turbo-prop 11,000shp TP400, pesawat A400M mampu membawa 116 anggota payung terjun dengan kelengkapan penuh atau 37 tan muatan, dan boleh digunakan sebagai pesawat untuk mengisi minyak udara ke udara bagi jet, pesawat besar dan helikopter. - BERNAMA

Cuepacs Minta Jawatan Pembantu Tadbir Di Ganti

Presiden Cuepacs, Omar Osman
KANGAR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu nama jawatan Pembantu Tadbir diganti kepada Pegawai Khidmat Tadbir yang secara tidak langsung boleh meningkatkan gred seramai 65,000 penyandang jawatan itu di seluruh negara.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata penyandang jawatan itu merupakan  tenaga pelaksana utama dalam perkhidmatan awam sama ada mereka berkhidmat di bawah kerajaan persekutuan, negeri, badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan dan mereka tidak sewajarnya disebut sebagai Pembantu.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-11 Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini, beliau berkata Cuepacs telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai pertukaran nama jawatan itu serta meningkatkan gred jawatan berkenaan yang pada masa ini berada pada gred antara 17 dan 26.
Beliau berharap JPA dapat memberi pertimbangan dan respons sewajarnya atas permohonan itu sebelum tarikh konvensyen tahunan Cuepacs selama tiga hari mulai 17 Disember ini bagi membolehkan keputusan yang positif atas cadangan itu dimaklumkan pula kepada seluruh kakitangan berkenaan.
"Lebih diharapkan agar perkara ini dapat diketahui semasa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membentangkan bajet negara pada 25 Oktober akan datang," katanya.
Omar berkata Cuepacs juga turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi kelulusan pinjaman perumahan kepada kakitangan perkhidmatan awam mengikut harga rumah, bukan mengikut tangga gaji mereka dengan kadar faedahnya dikurangkan kepada satu peratus berbanding empat peratus sekarang.
Langkah itu dapat mengurangkan bebanan kakitangan awam yang membeli rumah berikutan harga rumah yang semakin meningkat, katanya.
Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012, beliau berkata Cuepacs amat terkejut dengan laporan itu kerana ia meletakkan imej negatif kakitangan perkhidmatan awam yang lemah menjalankan tugas sehingga membazirkan wang kerajaan.
Sehubungan itu beliau berharap segala kelemahan oleh sebarang agensi sebagaimana yang didedahkan dalam laporan berkenaan dapat diperbetulkan segera supaya perkara itu tidak berulang dalam laporan tahun 2013 akan datang. - Bernama

03 October 2013

Terkini! Pilihan raya kecil Sungai Limau 4 November, penamaan 23 Oktober



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November dan hari penamaan calonnya pula pada 23 Oktober ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada hari pengundian awal dan terdapat 27, 222 orang pengundi yang akan mengundi di kawasan itu.

PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.

Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi.

Speaker DUN Kedah, Datuk Md Rozai Shafian telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabat Speaker DUN di Wisma Darul Aman pada Ahad lalu bersama sijil kematian Azizan

 

kredit:kedahkini


Tragedi Tanduo - Menyebabkan ...


 
 Mohd. Mahmud Ahmad (empat dari kanan), Hernando Dca Iriberri (empat dari kiri) dan Renal Sinagar (tiga dari kiri) sempena lawatan kerja ke Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan di Biawak, Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/Amir Hafiz Abd. Rahman

 LUNDU 2 Okt. - Pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah, Februari lalu secara tidak langsung menjadikan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan tentera Filipina bertambah kukuh.

Ketua Staf Divisyen Pertama Infantri, Kolonel Mohd. Mahmud Ahmad berkata, tragedi berdarah itu merupakan satu bentuk peringatan kepada ATM dan tentera Filipina supaya lebih memperkukuh hubungan ketenteraan sedia ada.

"Pencerobohan ke atas Sabah tidak membawa masalah kepada kerjasama kita, sebaliknya mengeratkan lagi persefahaman antara kedua-dua pasukan keselamatan.

"Latihan ketenteraan bersama yang diadakan setiap tahun juga berjaya meningkatkan hubungan baik antara dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyambut Komander 7 Divisyen Infantri Filipina, Brigedier Jeneral Hernando Dca Iriberri yang mengadakan lawatan kerja ke Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Memerintah 403 Wira Sada Pratista Tentera Nasional Indonesia (TNI) Leftenan Kolonel Renal Sinagar.

Kunjungan Hernando tersebut merupakan sebahagian daripada Program Lawatan Pertukaran Pegawai Kanan (SOEVP) antara ATM dengan tentera Filipina. - UO

Mr.Bean Peluk Islam ?

  • Rowan Atkinson Rowan Atkinson

BERITA ini mungkin akan mengejutkan dunia hiburan seluruh dunia.
Sebentar tadi, melalui sebuah portal berita yang dipetik dari Islampos.com dan laman web Sadalbadi.com melaporkan bahawa selebriti yang popular dengan watak lucu Mr Bean iaitu Rowan Atkinson, dipercayai telah memeluk agama Islam baru-baru ini.

Menurut laman web berkenaan, Rowan dipercayai terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas menonton filem Innocent of Muslim.

Melalui sebuah portal berita dari Indonesia pula, mereka memberitahu, “Mr Bean tak berbicara banyak ketika ditanya media, hanya mengangkat jari saja sebagai isyarat dia bersyahadat."

Menurut beberapa sumber portal media, Sheikh Rashid Ghannousyi, adalah salah seorang pembimbing Mr Bean.

"Banyak yang memberi selamat kepadanya di sepanjang jalan” – dipetik dari Islampos.com.

Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan lagi kesahihan berita ini.

Khabarnya, media-media barat masih belum menyiarkan lagi apa-apa berita mengenai Rowan Atkinson.


sumber:sinarharian

02 October 2013

PMR - Lebih 400 Ribu Calon Duduki Peperiksaan Yang Terakhir



KUALA LUMPUR: Sebanyak 462,940 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terakhir, di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara, pada Rabu.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan itu akan berlangsung selama lima hari berakhir 9 Oktober.
Mengikut pecahan, sebanyak 430,146 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (6,024 orang), calon sekolah menengah agama negeri (9,906 orang ) dan calon sekolah swasta (13,637 orang).
Sementara itu, calon persendirian 1,008 orang dan calon sekolah menengah agama rakyat 2,219 orang.
PMR yang diperkenalkan sejak 1992 akan dimansuhkan mulai tahun depan. – Mstar.

01 October 2013

Gaji Guru Lesap

Tak tahulah kes ini boleh atau tidak dikategorikan sebagai kes lawak-hiba atau kes lawak-aniaya!
Ada pihak tidak bertanggungjawab yang telah menghantar e-mail kepada pihak sekolah di seluruh Kedah, yang meminta butiran dan perincian akaun bank guru-guru, kononnya untuk dikemaskini. Tujuan utamanya adalah untuk merompak dan mengosongkan akaun gaji guru-guru yang telah diperdayakan oleh penjenayah berkenaan. 
Lebih malang lagi ialah apabila ada sesetengah guru pula, tiba-tiba sahaja dihubungi oleh pihak bank bertanyakan tentang pinjaman peribadi mereka sebanyak RM250,000 yang tidak pernah mereka minta atau diketahui sebelum ini. 
SKMM perlu bertindak segera untuk menangani masalah ini bersama-sama pasukan polis. Jenayah sebegini semakin kerap kedengaran kebelakangan ini memandangkan penguatkuasaan yang amat lemah dan tindakan yang agak lambat. 
1374078_210883302420311_1854427744_n
1385783_210883282420313_232838350_n
Kementerian Pendidikan bagaimanapun, menafikan pernah mengeluarkan arahan atau pekeliling kepada mana-mana sekolah bagi tujuan berkenaan. Sebaliknya telah meminta agar pihak sekolah terutama sekali guru-guru besar dan pengetua agar lebih berhati-hati dan merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk sebarang tindakan lanjut. 

kredit:networkedbogs