15 November 2013

Operasi Kesan Mangsa Culik Kumpulan Bersenjata Di Semporna Dimulakan

 watervillas1

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika usaha mencari seorang warga Taiwan yang diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata Filipina menerusi laut dan udara secara besar-besaran dimulakan.
Tiada tuntutan dibuat oleh kumpulan tersebut terhadap seorang wanita berusia 58 tahun yang dikenali sebagai An Wei Chang.
Suaminya, Lim Min Hsu, 57, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di bahagian dada.
Kumpulan bersenjata itu tiba di resort tersebut menggunakan bot pam dan menyerang Pulau Pom-Pom, dekat perairan ini, kira-kira pukul 1 pagi Jumaat dan melarikan diri ke Pulau Mataking dekat selatan Filipina.
Tiada tanda-tanda kumpulan bersenjata itu yang melancarkan serangan di resort itu hanya satu kilometer dari sebuah pangkalan Pasukan Gerakan Am.
Pasukan keselamatan telah menghentikan semua laluan masuk ke negara jiran, selatan Filipina menerusi laut.
Menurut sumber, pasukan keselamatan cuba menjejaki kumpulan yang terlibat dengan insiden tembakan dan penculikan itu.
Seorang pegawai kanan enggan memberi komen mengenai operasi itu manakala beberapa sumber berkata, mereka cuba mengenal pasti sama ada kumpulan tersebut dari selatan Filipina.

Semporna - Pelancung Di Tembak Mati

SEMPORNA - Seorang pelancong warga Taiwan ditemui mati ditembak, manakala isterinya dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Pulau Pom-Pom, dekat perairan ini, awal pagi tadi.
Lelaki berusia 57 tahun itu yang dikenali sebagai Lim Min Hsu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di koridor sebuah resort di sini kira-kira pukul 1 pagi, lapor mStar Online.

Isterinya, An Wei Chang, 58, juga warganegara Taiwan dilaporkan hilang susulan insiden itu.

Pasangan suami isteri itu tiba di resort tersebut pada Selasa dan dijadualkan meninggalkan resort berkenaan pada 20 November ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan insiden itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.

Penduduk-penduduk di Semporna berkata tiada aktiviti mencurigakan berlaku tetapi polis dan tentera telah mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kami terdengar bunyi tembakan di sebuah pulau tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," kata seorang kakitangan di Majlis Daerah Semporna.

Sumber - SinarHarian

14 November 2013

Lelaki Larikan Kereta Polis Maut

  Gambar Hiasan

Kuantan, 14 Nov - Seorang lelaki maut selepas kereta peronda polis yang dilarikannya melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi tadi itu, suspek Muhd Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, yang mengalami kecederaan di kepala disahkan mati ketika dirawat di Hospital Temerloh jam 7.58 pagi.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani, suspek yang berasal dari Jengka itu dilaporkan telah menyerang anggota polis di Tol Chenor dengan menggunakan sebatang besi.

"Suspek dipercayai telah menyerang dan memukul anggota polis terbabit di tol berkenaan sebelum merampas pistol anggota polis itu dan melepaskan empat das tembakan. Tembakan itu bagaimanapun tidak mengenai anggota polis terbabit.

"Selepas bertindak melarikan kereta polis itu, suspek telah melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dan cedera di kepala. Suspek meninggal dunia di Hospital Temerloh pada jam 7.58 pagi," katanya.

Motif serangan dan punca kejadian masih belum diketahui. - BERNAMA


Kenaikan Elaun ...

PUTRAJAYA 12 Nov. - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (gambar) menegaskan, khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersebar berhubung kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam adalah tidak benar.Menurutnya, sidang akhbar yang beliau adakan bersama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman baru-baru ini hanyalah pengumuman penambahbaikan 81 skim perkhidmatan yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi penjawat awam terlibat.

"Tiada kenyataan tentang apa-apa elaun berkaitan penyelarasan kadar elaun baharu seperti Elaun Sara Hidup (COLA), Elaun Perumahan dan Imbuhan Tetap Kakitangan Awam (ITKA) yang sedang tersebar melalui SMS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Semalam, tersebar SMS kononnya lebih 1.1 juta penjawat awam akan menikmati pelarasan tiga elaun yang ditambah baik di bawah rancangan transformasi perkhidmatan awam 2014 yang akan diumumkan pada 15 November ini.

SMS yang tersebar sejak tengah hari itu memetik kenyataan Mohamad Zabidi kononnya pemberian elaun itu sesuai dengan peningkatan kos sara hidup. Antara kandungan SMS tersebut ialah elaun kritikal khas bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan diperkenalkan dengan kadar RM1,200 bagi semua gred tanpa melibatkan tiga pelarasan elaun utama. Kandungan lain dalam SMS tersebut ialah mereka yang berada di bandar dengan kadar COLA RM300 tetapi tidak terlibat dengan Elaun Perumahan akan diberikan kenaikan sama rata iaitu RM600.
 
Sumber - CUEPAC

UPSR 2013

UP2 PETALING JAYA: Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pada Khamis.
Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).
“Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).
“Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini.
Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu.
Abd Ghafar berkata prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM Penulisan berbanding tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun lepas.
“Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini,” katanya.
Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas, dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0 peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.
Bagi mata pelajaran Matematik, Abd Ghafar berkata ia menurun sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lepas dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing menurun sebanyak 1.2 peratus dan 0.08 peratus, Gred D menurun 0.2 peratus dan Gred E meningkat 1.0 peratus.
Bagi Sains, beliau berkata ia menurun sebanyak 0.02 mata GPMP berbanding tahun lepas dan peratusan calon yang mendapat Gred A kekal pada 22.6 peratus seperti tahun lepas.
“Peratusan calon mendapat Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred D menurun 0.7 peratus dan Gred meningkat 0.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata mata pelajaran Bahasa Cina (Pemahaman) menurun 0.04 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A turun sebanyak 3.0 peratus dan Gred A,B dan C juga menurun sebanyak 0.1 peratus, Gred D meningkat 0.2 peratus dan Gred E menurun 0. 1 peratus berbanding tahun lepas.
Bagi Bahasa Cina (Penulisan), beliau berkata ia turut menurun sebanyak 0.02 mata GPMP, dengan calon yang mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing menurun 0.1 peratus dan 0.5 peratus manakala Gred D menurun sebanyak 0.3 peratus dan Gred E meningkat 0.9 peratus.
Abd Ghafar berkata bagi Bahasa Tamil (Pemahaman), mencatatkan peningkatan sebanyak 0.21 mata GPMP berbanding 2012 dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C masing-masing meningkat 7.2 peratus dan 5.4 peratus manakala Gred D dan Gred E menurun sebanyak 5.4 peratus.
“Prestasi keseluruhan Bahasa Tamil (Penulisan) menurun sebanyak 0.06 mata. Peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing menurun sebanyak 3.9 peratus dan 0.5 peratus. Peratusan calon mendapat Gred D menurun sebanyak 0.1 peratus dan Gred E meningkat sebanyak 0.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abd Ghafar berkata pencapaian calon secara keseluruhan di bandar dan luar bandar pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang sama dengan perbezaan gred purata sebanyak 0.04 mata.
Beliau berkata seramai 25,685 calon UPSR bandar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran manakala 16,960 calon di luar bandar.
“Peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang (semua gred A dalam semua mata pelajaran) di bandar meningkat sebanyak 0.20 peratus dan di luar bandar meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding tahun lepas.
“Ini menunjukkan jurang pencapaian cemerlang antara calon di bandar dan di luar bandar semakin mengecil iaitu sebanyak 0.07 peratus,” katanya.
Bagi pencapaian calon berkeperluan khas tahun ini, Abd Ghafar berkata calon mendapat keputusan Cemerlang menurun sebanyak 0.08 peratus, iaitu 12 orang berbanding 25 calon pada tahun lepas.
“12 calon yang mendapat pencapaian Cemerlang terdiri daripada tiga calon rabun, dua calon spastik dan tujuh calon lain-lain kecacatan,” katanya.
Abd Ghafar berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian Cemerlang bagi semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.21 peratus, iaitu daripada 8.94 peratus pada tahun lepas kepada 9.15 peratus pada tahun ini.
Beliau berkata sebanyak 56.28 peratus pelajar mendapat minimum Gred C pada tahun ini.
“Calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum (mendapat Gred D dan Gred E atau kombinasi kedua-dua gred) menurun sebanyak 0.06 peratus kepada 3.36 peratus tahun ini,” katanya. - BERNAMA

12 November 2013

Beban Tugas Guru - Kerajaan Akan Bantu

KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan beban tugas yang dialami guru terutama sekali dalam pekerjaan pengkeranian.
Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berharap guru-guru dapat bersabar kerana tindakan akan diambil dalam dalam masa terdekat dan secepat mungkin.

Beliau mengambil contoh di Melaka dimana dua perjatwatan baru diwujudkan iaitu operator komputer yang akan membantu hal ehwal hardware dan software komputer dan seorang perkeranian untuk data input. Beliau juga berharap sistem akan diperluaskan dalam masa terdekat. 

Ketika Sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom bertanyakan tentang langkah-langkah yang diambil kementerian pendidikan untuk mengurangkan beban para guru dalam kerja pengkeranian.

Sumber - AstroAwani 

http://www.astroawani.com/news/show/kerajaan-akan-membantu-kurangkan-beban-guru-25379

Jawatankuasa Khas Kenal Pasti Kakitangan Awam Terlibat Rasuah

laporan-ketua-audit-negara KUALA LUMPUR: Seramai 55 pegawai telah dikenal pasti terlibat dalam rasuah oleh jawatankuasa khas yang dibentuk untuk menyiasat salah laku penjawat awam setakat 28 Oktober lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata bilangan itu adalah hasil siasatan ke atas 24 kes yang melibatkan 11 kementerian dan agensi. “Bagi kes yang disyaki ada unsur rasuah dan penyelewengan, sebanyak 15 kertas siasatan melibatkan projek dan perolehan di tujuh agensi telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Kesemua laporan siasatan itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan kerajaan negeri yang terlibat bagi membolehkan mereka meneliti, dan mengambil tindakan syor berkenaan, termasuk surat tunjuk sebab yang perlu dikemukakan (kembali) kepada jawatankuasa siasatan dalam masa 21 hari,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 pada persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semasa perbentangan Bajet 2014 bulan lepas bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku penjawat awam susulan pelbagai teguran yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 pada 1 Okt lepas, sejumlah 319 teguran dibuat, melibatkan 81 perkhidmatan awam persekutuan, 21 badan berkanun serta 217 negeri.
“Sebanyak 94 teguran diterima melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abd Wahid Omar berkata kurang penyertaan daripada sektor swasta adalah antara faktor menyumbang kepada kegagalan Dasar Ekonomi Baru dalam mencapai matlamat merapatkan jurang ekonomi rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya sektor swasta seharusnya bekerjasama dan memainkan peranan penting dalam memastikan matlamat Model Baru Ekonomi dan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera tercapai dan tidak hanya meletakkan peranan itu di bahu kerajaan semata-mata.
“Sektor swasta kurang memainkan peranan dalam pelaksanaan DEB, sedangkan sektor itu menyumbang 58 peratus kepada pertumbuhan ekonomi berbanding sektor awam hanya 42 peratus. Kalau hanya kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) menjalankan dasar ini memanglah lambat untuk mencapai sasaran. “Sekiranya sektor swasta bersama sektor awam bekerjasama mencapai matlamat dasar ini, ia akan lebih berkesan,” katanya ketika menjawab pencelahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Persidangan dewan bersambung hari ini. -BERNAMA

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah - Aduhaiiii

PBS Sekolah Online
(Klik SINI : Guru Tertekan)
PBS Online Sesekolah Menengah & Rendah : Ya…Berita Semasa tidak nafikan sama sekali lagi kejayaan sistem seperti ini di negara-negara maju yang lain. Apa salahnya bukan meniru kejayaan di negara lain, jikalau kita berkemampuan untuk mengendalikannya. Mengapa tidak bukan? Persoalannya….
Persoalannya sekarang ini adakah Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya merencana dan menyediakan sistem seumpama itu di Malaysia dengan jayanya :
Hakikatnya….
“Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands”
Cuti sekolah akhir tahun bakal bermula minggu hadapan. Biasanya kalangan guru-guru di Malaysia akan turut bergembira merancang percutian bersama anak-anak dan keluarga. Tetapi….
Tetapi cuti sekolah kali agak menekan. Semuanya…..dek kerana sistem baru Kementerian Pendidikan Malaysia Sistem PBS online Sekolah Menengah (Pentaksiran Berasaskan Sekolah)

Sistem PBS Online 2013 Bebankan Guru? Benarkah?

PBS Sekolah Menengah
Jikalau diikutkan pelan perancangannya & tujuan PBS Online Sekolah Menengah semuanya baik-baik sahaja :
  • Sistem PBS Online Sekolah Menengah diperkenalkan setelah bermesyuarat beberapa kali dengan mengambil aspek kepentingan guru, murid dan kepentingan pendidikan Malaysia
  • Sistem PBS Online Sekolah Menengah 2013 bertujuan membuat penilaian potensi pelajar daripada sudut yang berbeza tetapi pratikal
Hasilnya?
Pelbagai rungutan dan aduan demi aduan yang diterima sejak :
  1. Pengenalan PBS Sekolah Rendah bermula 2011
  2. Pengenalan PBS Sekolah Menengah Tingkatan 1, Tingkatan 2 bermula 2012

Antara Kelemahan Sistem PBS Online Sekolah Menengah & Rendah :

Berita Semasa telah mencuba sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini dan mendapati beberapa masalah seperti berikut : 

PBS Sekolah Rendah
  1. Sistem yang disediakan oleh Kemnterian Pendidikan Malaysia (KPM) sekarang ini tidak mampu “comply” dengan beban data semasa akhirnya ramai kalangan guru yag terpaksa berjaya sehingga ke larut malam.
  2. Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.
  3. Besoknya pula perlu bersiap sedia untuk mendidik guru. Adakah mutu pengajaran guru pada ketika ini ditahap yang terbaik?
  4. Guru lebih banyak menghabiskan masa memasukkan pelbagai data bagi sistem “e”, berbanding tugas hakiki mereka sebagai seorang guru
  5. Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.
  6. Guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.
  7. Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.
  8. Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem.
PBS KSSRGuru mengeluh dengan betapa teruknya sistem PBS Online Sekolah Menengah & Sekolah Rendah kepada mereka bukan bermakna mereka tida “love teaching”.
Tetapi kalangan guru Malaysia cukup kesal dengan sistem PBS online sekolah rendah sekolah menengah yang membebankan & tidak mesra pengguna.
  1. Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?
  2. Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?
  3. Maka dari sinilah, guru selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?
  4. Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?
  5. Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.
Berita Semasa berharap jika kerajaan benar-benar komited untuk teruskan juga sistem PBS online sekolah Menagah & sekolah Rendah ini,  teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna ini.
P/S : Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Sepatutnya, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya dan lebih fokuskan tugas hakiki guru yang sebenarnya. Apa kata guru-guru dengan prestasi sistem PBS online sekolah menengah ketika ini?

sumber:beritasemasa

10 November 2013

Pelakon "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" En. Ahmad Busu Meninggal Dunia

 
Berita mengejutkan, pelakon Ahmad Busu telah meninggal dunia pada jam 7.30 malam tadi di Hospital Klang, Selangor. Pelakon yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu difahamkan mengidap penyakit kencing manis yang agak teruk dan sebelum ini beberapa kali telah mengalami serangan strok.

Ahmad Busu telah menderita penyakit kencing manis sejak 13 tahun lamanya. Menurut isterinya, Seri Binti Mohamad, biarpun kurang sihat beliau tetap gagahkan diri meneruskan kariernya dalam bidang lakonan bagi menyara empat orang anaknya – bapa kepada Nur Hamizah, 24, Mohd. Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5,

Disebabkan penyakit yang dialaminya, sedikit sebanyak telah menjejaskan perjalanan kerjayanya sebagai pelakon dan pelawak sepenuh masa.

Marilah sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.


Sumber -  VAT69

Guru Pendidikan Islam DiKesan Sebar Ajaran Syiah

ALOR SETAR - Beberapa guru yang mengajar subjek pendidikan Islam di sekolah menengah kerajaan di Kedah dikesan menyebar serta mengedar buku berkaitan fahaman dan ajaran Syiah kepada pelajar mereka.
Timbalan Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah Abdullah Din berkata kegiatan guru terbabit di beberapa sekolah di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dikesan baru-baru ini.

"Perbuatan guru-guru ini boleh merosakkan akidah pelajar kerana ajarannya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang dipegang oleh umat Islam negara ini," katanya kepada pemberita selepas menganggotai panel Forum Ancaman Syiah anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklum kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka.

Abdullah juga berpendapat guru Pendidikan Islam yang menganut fahaman Syiah tidak seharusnya mengajar subjek itu.

Beliau berkata walaupun tidak mempunyai bukti kukuh untuk melabel seseorang sebagai penganut Syiah, tindakan mengedarkan buku berkaitan fahaman itu kepada pelajar jelas membuktikan mereka adalah pengikut Syiah.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Institusi Pondok Tahfiz dan Ilmuan Sunni Profesor Dr Abdul Aziz Hanafi berkata pelajar boleh terkeliru apabila guru pendidikan Islam berfahaman Syiah menyampaikan fakta berbeza dengan silibus yang disediakan.

Beliau berkata ajaran Syiah mengagungkan Imam 12 serta mengkafirkan sahabat Rasulullah dan ini boleh mengelirukan pelajar sekolah namun akhirnya mereka akan percaya dengan apa yang diajar guru berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengharamkan penjualan novel 'Perempuan Nan Bercinta' yang dipercayai mempunyai unsur Syiah dan boleh memesong akidah pembaca, terutama pelajar sekolah. - Bernama

Akhirnya Tertangkap Juga

Untitled SUSPEK yang dikehendaki polis bagi kes rompak dan tembak mati seorang pegawai bank AmBank di Subang Jaya, 23 Oktober lalu, di bawa ke Mahkamah Petaling Jaya selepas berjaya diberkas di Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi pada jam 7 pagi tadi, demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Pihak polis percaya dengan penahanan suspek utama ini, kes berkenaan berjaya diselesaikan,” katanya.


kredit:suaragenerasibaru

Insentif Baru Untuk Guru

Insentif baru guru
Cadangan ganti Bayaran Insentif Subjek Pendidikan bagi guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

Kuala Lumpur: Kerajaan menimbang memberikan insentif baru kepada guru mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris berikutan pemansuhan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) mulai 1 Januari tahun depan.

Mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003 (SPP KPM 3/2003), yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, cadangan insentif baru itu akan dimajukan bagi persetujuan agensi pusat.

Pembayaran sehingga akhir tahun

“Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang menerima BISP akan terus menerima pembayaran itu sehingga akhir tahun 2013,” katanya dalam pekeliling terbaru kementerian itu.

Madinah berkata, kelulusan pembayaran BISP hendaklah dilakukan sebelum tarikh penutupan akaun pada akhir 2013 dan direkodkan dalam buku perkhidmatan pegawai kerajaan.

Katanya, tuntutan BISP yang diterima selepas 1 Januari 2014 tidak akan pertimbangkan.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, jumlah elaun BISP berdasarkan kelayakan dan gred gaji PPP.

PPP bukan siswazah menerima 10 peratus daripada gaji bersih, manakala siswazah lima peratus daripada gaji bersih.

Dasar PPSMI dimansuhkan mulai 2010 dan digantikan dengan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009.


Gesa teruskan elaun BISP

Ketika ditanya langkah kementerian itu, Hashim berkata, pembayaran elaun BISP patut diteruskan kerana masih ada guru Tingkatan Enam yang perlu mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Sekiranya kerajaan mahu menggantikan BISP kepada insentif lain, kita harap ia lebih baik berbanding yang terdahulu. Bagaimanapun, kita masih berharap pembayaran elaun seumpama BISP diteruskan kepada guru yang terbabit,” katanya, semalam.

Kerajaan memperkenalkan BISP di bawah PPSMI mulai 2003 berdasarkan keputusan Kabinet 29 Mei 2002.

Layak dipertimbang

Bagi menyokong pelaksanaan dasar itu, PPP yang mengajar mata pelajaran Sains atau Matematik dalam Bahasa Inggeris atau mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam tugas rasmi, layak dipertimbangkan BISP berdasarkan SPP KPM 3/2003


Sumber:BeritaHarian

Fizo Dan Mawar Sah Bergelar Suami Isteri


Fizo-Mawar sah suami isteri
KAJANG - Dengan sekali lafaz Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Mawar Abdul Karim tepat jam 9.30 pagi tadi di rumah pengantin perempuan di Country Height Kajang.
Beliau dinikahkan oleh Penolong pendaftar agama Islam Hulu Langat, Ustaz Arif.

Rombongan lelaki membawa tujuh dulang hantaran berupa sepersalinan dan wangian berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Sementara mas kahwin sebanyak RM506.00.


Sumber-SH

Ambank - Pembunuh Norazita DiTangkap

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai Ambank Norazita Abu Talib, 37, dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya pada 23 Okt lepas, telah berjaya ditangkap polis pagi ini.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya apabila beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Ops Cantas Bukit Aman yang dikatakan telah berjaya menangkap suspek di Johor Baharu.
Dalam kejadian pada pukul 6.18 petang itu, Norazita, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.

Rakaman video selama 32 saat, yang dipercayai sedutan CCTV memaparkan insiden itu, telah tersebar dengan meluas di laman sosial ekoran kejadian tersebut..

Sumber-astroawani

Penjenayah Larikan Kemaluan Lelaki

Los Angeles: Empat orang didakwa menculik, menyeksa dan mengerat kemaluan seorang pemilik tempat penyimpanan ganja perubatan bagi memaksa mangsa mendedahkan tempat simpanan perniagaan dadahnya.
Tertuduh percaya mangsa menyembunyikan sejumlah besar wangnya di kawasan terpencil padang pasir.

Bagaimanapun penjenayah terbabit tidak menyangka bahawa mereka tersilap menilai mangsa kerana lelaki terbabit bukanlah pengedar dadah, sebaliknya cuma ahli perniagaan yang menjalankan perkhidmatan penyimpanan ganja berlesen.

Dua daripada suspek, Ryan Anthony Kevorkian, 34, dan Naomi Josette Kevorkian, 33, ditahan di Fresno, tengah California semalam, sehari selepas defendan ketiga Hossein Nayeri, 34, ditahan di Republik Czech.

Pihak berkuasa berkata, pada awalnya Hossein melarikan diri dari AS ke Iran selama beberapa bulan tetapi ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) ketika cuba melawat keluarganya di Sepanyol.


Kyle Shirakawa Handley, 34, dalang yang dituduh dalam kes penculikan itu sudah ditahan sejurus selepas insiden tersilap mangsa itu berlaku Oktober lalu.

Setiap suspek didakwa atas tuduhan menculik, melakukan kekacauan, penyeksaan dan mencuri dengan hukuman tambahan kerana menyebabkan kecederaan parah pada tubuh. Semua mereka ditahan tanpa dibenar diikat jamin dan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup tanpa parol jika disabitkan kesalahan.

Mangsa - yang dirahsiakan identitinya oleh pihak berkuasa - adalah pemilik tempat penyimpanan ganja sah yang mewah di California.


Sumber -Metro

KPPK Gesa Kementerian Pendidikan Mansuh PBS

 kppk
KANGAR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Hashim berkata, prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka diberi penilaian sempurna.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.

"Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.

Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar.
 
Hashim berkata, KPPK juga menolak pelaksanaan E-Prestasi, yang sepatutnya dilaksana pada 2015 namun dipercepat ke tahun ini, bagi menilai prestasi guru kerana masih ramai yang kabur tentangnya.
E-Prestasi menimbulkan rungutan bukan sahaja dalam kalangan guru malah pengetua dan guru besar kerana mereka sering dipersalah jika sistem itu gagal menghantar laporan kepada kementerian.

"Sebaiknya sebelum melaksanakan apa jua sistem, keberkesanannya perlu diuji dan bukan menyalahkan guru apabila terdapat kegagalan," katanya.

Beliau juga berkata, KPPK bimbang pelaksanaan sistem yang menyukarkan akan menyebabkan guru tertekan sehingga memberi kesan negatif terhadap tugasan dan pelajar mereka. - Bernama

Satelit GOCE Terhempas Ke Bumi Minggu Depan – Saintis


satelit-goce-1380142672-371637 BERLIN: Agensi Penyelidikan Angkasa Eropah (ESA) berkata satu satelit penyelidikan GOCE miliknya akan jatuh dan terhempas ke bumi pada malam Ahad atau Isnin ini, namun serpihannya tidak membawa kepada sebarang kemalangan jiwa.
Saintis agensi itu berkata, satelit seberat 1,100 kilogram itu sudahpun jatuh pada paras altitut 170 kilometer dari kedudukan asalnya dan ketika ini sedang menjunam ke bumi.
“Sebaik ia mencapai altitut  80 kilometer, satelit pemantau bumi itu akan mula berkecai dengan satu perempat bahagiannya akan terbakar di atmosfera,” kata agensi itu hari ini.
GoceSatellite
Satelit GOCE dilancarkan pada 2009 untuk melakukan operasi pemetaan bumi dan satelit itu kehabisan sumber tenaga, sekali gus mengakhiri misi berkenaan. – AP