31 August 2013

OPS Cantas - 63 di tahan

31 Ogos 2013

SEREMBAN - Seramai 63 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di negeri ini menerusi Ops Cantas yang dijalankan mulai 17 Ogos hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sepanjang 13 hari operasi dijalankan, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,427 individu yang terbahagi kepada Melayu seramai 984 orang, India seramai 1,020, Cina (379), manakala lain-lain bangsa hanya 44 orang.

“Dalam pemeriksaan tersebut, 63 daripadanya yang terdiri 20 Melayu, 20 India, tujuh Cina termasuk 16 bagi lain-lain bangsa ditahan atas pelbagai kesalahan seperti menyamun, mengugut, mencuri, sengaja mendatangkan kecederaan dan penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun buat masa ini, penangkapan 47 lelaki dan 16 wanita berkenaan langsung tidak membabitkan mana-mana bekas tahanan Ordinan Darurat (EO),” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditahan membabitkan kesalahan baru dilakukan atau sememangnya sedang dalam buruan pihak polis bagi jenayah lampau.

30 August 2013

Sotong Goreng Tepung


Bahan-bahan ( 3-4 orang )
300 gm sotong
1 cawan tepung gandum
1 sk baking powder
1 biji telur
sedikit garam
lada sulah

Cara-cara
Potong sotong kecil2, bersihkan dan toskan airnya biar sampai kering.
Gaul sotong dgn sedikit garam dan lada sulah.
Pukul telur setakat nak satukan yg kuning dgn yg putih jer. Masukkan sotong ke dalam telur. Ketepikan
Gaul tepung dgn bp. Masukkan sotong yg telah digaul dgn telur dalam tepung, salutkan habis sotong dgn tepung. Kalu nak pedas boleh letak sikit serbuk kari dalam tepung.
Goreng deep fry sampai golden brown. Goreng sotong kejap jer dalam 4-5 min kalau tak nanti sotong keras and liat pulak.


kredit:kakiza

27 August 2013

Tip Menduduki Peperiksaan

 
 
Usah panik apabila masuk dewan peperiksaan kerana ia mampu buat calon lupa 50 peratus dipelajari

Justeru, Pakar Motivasi dan Pemilik MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, Dr Tengku Asmadi Tengku Ahmad, memberi panduan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak kekusutan di saat akhir.


Jangan panik
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.


Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat
Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.


Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)
Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.


Banyakkan pembelajaran secara output learning
Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.


Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasiSatu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.


Nota ringkas
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.


Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya
Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.


Pemakanan berkhasiat dan seimbang
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.


Kawal emosiElak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.


Banyakkan berdoa dan bersolat
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.


kredit:istimewauntukmu

26 August 2013

OPS CANTAS SABAH - BAWA SAMURAI, REMPIT ANTARA DITAHAN





PENAMPANG: Empat lelaki ditahan polis setelah beberapa senjata tajam yang ditemui di kenderaan mereka dalam sekatan jalan raya bersempena Ops Cantas Khas berhampiran Taman Jumbo, Petagas di Jalan Putatan-Kota Kinabalu kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi itu, sekumpulan lelaki sedang menuju ke pusat bandar dari Putatan sebelum ditahan polis pada sekatan berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, sebaik bonet belakang kereta jenis Proton Iswara Aerobik dinaiki mereka diperiksa, pihak polis yang bertugas berjaya menemui beberapa jenis senjata tajam termasuk sebilah pedang samurai dan pisau pemotong daging.

Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30an dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di Jalan Yuk Min, Penampang Lama pula menyaksikan sekumpulan remaja ‘mat rempit’ sanggup bergadai nyawa dengan melawan arus jalan raya semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan itu akhirnya membawa padah apabila lima remaja bermotosikal berjaya dicekup polis dan ketika ditahan, kesemua mereka mengaku tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata seramai sembilan individu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan beberapa laluan di kawasan Penampang dan Putatan.

“Kita berjaya menahan sembilan individu atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan lain-lain.

“Seramai 160 pengguna jalan raya telah diperiksa dalam Ops Cantas kali ini dan operasi berkenaan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi menangani jenayah di sekitar daerah Penampang secara amnya,” katanya (The Borneo Post)

25 August 2013

BlackHawk Down


Kalau pernah dengar cite tentang filem "Black Hawk Dawn", pengarah filem Ridley Scott tidak menyentuh langsung peranan askar 19 Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang telah menyelamatkan tentera A.S yang terdiri daripada gabungan Rangers, Marine, Navy Seal dan Delta Force (pasukan elit tentera A.S)

Saya sebagai rakyat Malaysia agak kecewa lah dengan keangkuhan A.s yang mendabik dada sebagai polis dunia, tidak mengakui kelemahan mereka. Di sini saya menceritakan secara terperinci operasi menyelamat dalam pertempuran di Bakara Market pada 3 dan 4 Okt 1993. MALBAT (yang terdiri daripada anggota GGK) sebenarnya telah menggadai nyawa dalam operasi menyelamatkan Pasukan U.S Ranger yang terperangkap di lokasi berkenaan.


Anggota Marin A.S
Sebenarnya sebelum kejadian berlaku pada pagi 3 Okt 1993, MALBAT 1 menerima arahan UNOSOM bagi menyediakan 1 platun mekanis untuk membantu sebuah kenderaan trup UAE yang terkena periuk api dijalan utama menuju ke New Port. Sebaik sahaja MALBAT melapor di markas UAE, Pegawai gerakan MALBAT telah menerima arahan pembatalan misi.

Pembatalan itu dibuat bagi membolehkan MALBAT membantu pihak yang lebih memerlukan bantuan. Misi baru tersebut adalah supaya 2 kompeni MALBAT diletakkan dibawah markas UNOSOM II bagi menyelamatkan Ranger A.S serta krew helicopter yang terlibat di kawasan kemalangan terbabit.


(Pekan Mogadishu 1993)


Pekan Mogadishu (gambar terkini)

Ketua kompeni B telah diarahkan membawa baki kompeninya yang berada di kem MALBAT untuk bergabung dengan platun yang berada di New Port. Platun anti kereta kebal (AKK) menyertai kompeni B bergerak ke New Port. Di New Port dua kompeni mekanis kompeni A dan B dan platun AKK MALBAT itu telah bergabung dengan satu trup kereta kebal Pakistan dan 2 kompeni tentera A.S dari 2/14 Light Infantry Battalion dan satu kompeni Ranger yang dilengkapi kenderaan HMMWV. Gabungan ini dikenali sebagai UNOSOM II QRF.

Lt. Kol. William C David, Pegawai memerintah 2/14 Light Infantry Battalion adalah ketua kumpulan QRF sementara komander keseluruhan misi adalah Kol. Lawrence E Casper. Semua anggota raifal MALBAT diarah keluar dari kenderaan KPA (Kenderaan Pengangkutan Anggota) kecuali pegawai, Juru Radio, Pemandu dan pengendali GPMG belakang bagi membolehkan tentera A.S menaiki kenderaan ini. Mereka yang keluar dari kenderaan tidak terlibat dalam misi tetapi sebaliknya dibawa pulang ke kem MALBAT dengan selamat pada jam 10.30 pagi. Konvoi yang membawa mereka pulang ke kem MALBAT terdiri daripada 3 pegawai, 22 anggota LLP (Lain-lain pangkat), 5 buah KPA dan 10 buah lori 3 tan diketuai pasukan Teknik Rejimen MALBAT 1. Kumpulan ini adalah pasukan simpanan Aselon MALBAT yang menyediakan bantuan sekiranya diperlukan.




(Condor yang digunakan Pasukan Malbat 1 dan 2)

Operasi ini melibatkan 113 anggota MALBAT termasuk 11 pegawai, 34 buah KPA (28 buah KPA GPMG kembar dan 6 buah KPA Oerlikon 20 mm) Perancang utama misi menyelamat MALBAT ialah Mej. Mohd Arif Hj. Shafie. Mengikut maklumatyang diterima daripada Col. Lawrence E Casper terdapat 70 anggota Ranger A.S terperangkap di lokasi 2 helikopter Black Hawk yang terhempas dimana jurutebangnya telah disyaki telah dibunuh. Mengikut konsep operasi C kompeni 2/14 Light Infantry Battalion dikenali sebagai Combat Team Alpha menaiki KPA kompeni A MALBAT dan dikenali sebagai Combat Team Charlie. Anggota Ranger A.S dikenali sebagai Combat Team Bravo menaiki HMMWV . Mereka telah menggunakan laluan New Port-Strong Point 77 untuk menyusup masuk ke lokasi anggota terperangkap menggunakan via (jalan) Roma, Strong Point 69 menerusi via Jeneral Daud dan Strong Point 207 sebelum melalui National Street.

Kesemua combat team akan berpecah menuju ke sasaran masing-masing. Laluan pengunduran adalah menuju ke Stadium Mogadishu yang diduduki tentera Pakistan. Semasa pergerakan dari New Port ke lokasi sasaran trup kereta kebal Pakistan mendahului pergerakan ke sasaran diikuti ketiga-tiga combat team Alpha, Bravo dan Charlie. Peranan combat team Alpha adalah untuk menyelamatkan krew Black Hawk dan 70 anggota Ranger yang terperangkap di lokasi yang sebagai objektif 1 (Grid 363256) Combat team Charlie berperanan menyelamat 5 orang krew Black Hawk yang terhempas di objektif 2 (Grid 365263). Combat team Bravo berperanan sebagai pasukan simpanan hanya untuk digerakkan membantu team Alpha dan Charlie jika perlu.


(Helicopter Black Hawk)

Semasa menuju ke tempat sasaran pada jam 11.25 malam B kompeni mendahului konvoi bergerak dari New Port dengan 2 buah kereta kebal Pakistan. Bagaimanapun semasa tiba di Strong Point 69, Trup kereta kebal Pakistan menarik diri dengan alasan Markas Batalion mengarahkan mereka supaya tidak meneruskan misi tersebut. Selain itu mereka turut mendakwa senjata utama kereta kebal mengalami kerosakkan teknikal dan mereka juga tidak dibekalkan alat pandang malam. Menyedari kejadian tersebut, Combat Team Alpha diarah oleh Lt. Kol. David memintas trup kereta kebal Pakistan namun platun 2 combat team alpha terpaksa juga meneruskan misi.
Walaupun menyedari keadaan semakin genting dan mereka bakal menghadapi serangan hendap dari militia pada bila-bila masa , unit MALBAT bertekad meneruskan misi menyelamat anggota Ranger tanpa kehadiran kereta kebal Pakistan.(Sebelumnya pihak Pakistan telah kehilangan 24 orang tentera Pakistan dan 50 orang cedera akibat dari serangan hendap oleh militia Aidid)


(Jeneral Mohamed Farah Aidid)

Selepas melepasi strong point 69 pergerakan menjadi semakin sukar lebih-lebih lagi tanpa bantuan tembakan perlindungan kereta kebal. Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan semakin perlahan dengan kenderaan platun 2 Alpha terpaksa bergerak secara taktikal dalam suasana gelap yang hanya dibantu cahaya lampu kenderaan. Pada jam
2:40 pagi pergerakan menjadi semakin perlahan setelah konvoi menghampiri strong point 207 lantas menghadapi serangan kencang dari militia Somalia. Bagaimanapun kedua-dua combat team mengambil keputusan berpecah sebaik sahaja tiba di Shalawi Street berhampiran strong point 207. Semasa kompeni A tiba di strong point 207 mereka telah diserang bertalu-talu dengan tembakan pelbagai jenis senjata dari pelbagai sudut.

Bagaimanapun aktiviti musuh dapat dimusnahkan dengan bantuan helicopter penyerang. Semasa tiba dilokasi sasaran, Ranger A.S yang menaiki KPA MALBAT turun daripada kenderaan untuk mara menyelamatkan rakan mereka yang terperangkap sementara KPA MALBAT memberi bantuan tembakan perlindungan. Dalam pertempuran sengit itu sebuah kenderaan platun 2, kompeni A yang menghampiri kawasan sasaran dibedil dengan RPG dari arah hadapan sehingga menembusi cermin APC condor 4X4. Kejadian jam 3:30 pagi itu telah mengorbankan Prebet Mat Aznan, Sebaliknya serangan yang dihadapi kompeni B tidak sehebat kompeni A.

Pada jam 4:30 pagi keadaan pertempuran semakin sengit, ketua kompeni MALBAT melaporkan 2 buah KPA kompeni A mengalami kerosakan. Keputusan diambil untuk meninggalkan kenderaan tersebut dan berudur dari lokasi sasaran pada 5:30 pagi setelah mendapati semua ranger A.S selamat menaiki KPA. 2 buah KPA dari kompeni B turut rosak akibat dibedil RPG pada pukul 4:30 pagi. Kompeni B diarah berundur bersama anggota ranger A.S yang terperangkap. Perintah berundur turut diberikan kepada kompeni A. Setelah semua kompeni telah selamat keluar, MALBAT mengarahkan helicopter penyerang memusnahkan keempat-empat KPA bagi mengelakkan senjata dari dirampas pihak militia.


(Askar Marin A.S berada di depan Condor Malaysia setelah diselamatkan)

Kompeni A berundur menuju stadium Mogadishu dan tiba pada 5:45 pagi manakala kompeni B pada 6:40 pagi. Dalam pertempuran tersebut, 4 KPA MALBAT telah binasa di tempat sasaran (3 buah KPA twin GPMG dengan nombor pendaftaran ZA 9340, ZA 9341 dan ZA 9467 dan sebuah KPA meriam oerlikom 20 mm nombor pendaftaran ZA 9582). Pertempuran telah mengakibatkan 1 anggota MALBAT terkorban dan 9 cedera. Korban dikalangan militia pula adalah seramai 300 orang dan 500 cedera.


(Stadium Mogadishu)
Di atas keberanian luarbiasa Angkatan Tentera Malaysia, Lt. John C. Breen daripada Angkatan Tentera A.S menulis surat peribadi kepada Mejar Abdul Latif,
Beliau menulis, ''There are at least 200 Americans alive today who will go home to be with their families because of the aid you provided...I would fight alongside you anywhere, anytime.''

Sumber
http://images.google.com.my/images?hl=en&um=1&q=new+port+somalia&btnG=Search+Images 

Lari dari ditahan, langgar 15 kenderaan

SERDANG – Dua individu yang dipercayai baru selesai memecah dan mencuri barangan dari sebuah kereta di Bandar Kinrara 5 nekad melanggar hampir 15 kenderaan selepas dikejar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, petang tadi.

Dalam aksi kejar mengejar selama sejam dari Bandar Kinrara hingga ke Kuala Lumpur itu, kedua-dua berusia lingkungan 20-an akhirnya berjaya diberkas selepas kereta dinaiki merempuh pembahagi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei berkata, polis menerima panggilan orang awam berhubung kes pecah sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan komersil di Bandar Kinrara kira-kira jam 1.50 tengahari.

Bertindak atas maklumat awam, anggota URB dan cawangan polis peronda (MPV) IPD Serdang yang kebetulan meronda di kawasan sekitar bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, individu berkenaan yang menyedari kehadiran polis terus meluru masuk ke dalam kenderaan.

Kedua-duanya enggan keluar dan terus memecut kenderaan meskipun diarah memberhentikan kereta yang dinaiki.

Chien Fei berkata di lokasi itu sahaja, suspek melanggar tiga buah kenderaan dan terus memandu ke arah Lebuhraya Bukit Jalil.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan daripada MPV Kuala Lumpur.

“Suspek masuk ke Lebuhraya Seremban, melalui terowong Smart dan keluar ke Jalan Tun Razak.

Anggota URB dan tiga buah kenderaan MPV terus mengejar kenderaan berkenaan dan berjaya dipintas di terowong smart dan berjaya diberkas selepas kereta jenis Proton Preve yang dinaiki terbabas melanggar tembok pembahagi jalan,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Kereta Proton Preve yang digunakan didapati baru dilaporkan hilang di Gombak 21 Ogos lalu.

Polis turut menemui parang, peralatan pecah kenderaan dan beberapa beg mengandungi barangan berharga serta set permainan golf yang dipercayai hasil kegiatan samun penjenayah terbabit sekitar Lembah Klang dan Melaka.

“Setakat ini jumlah kenderaan dilanggar suspek belum dapat dipastikan namun dipercayai ada 15 buah yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.



Foto: Kenderaan dinaiki suspek sarat dengan hasil barangan samun berjaya dipintas polis di terowong Smart.

NUR FARHANA ABDUL MANAN - SH

Mengapa Menyambut Maulidur Rasul

Jika ada mereka yang bertanyakan mengapa menyambut maulidul rasul. Maka jawapannya begini :

1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤ‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Surah al A’raf 157)

Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung. Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.

ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ

Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
(Surah al Ma’idah ayat 12)

Erti “azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151) Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.

2. Saya ingin menyemaikan perasaan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari perasaan cinta kepada baginda. Bukankah rasuluLlah bersabda begini :

"Belum sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya."
(Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)

Ahh.. bukankah kita sendiri meraikan ulang tahun kelahiran sendiri ? Ibu dan ayah. Bahkan ada pula golongan yang meraikan kelahiran ‘mujaddid’ mereka sendiri ? Jika kita sendiri pun menyambut hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir diri dan juga orang lain. Mengapa kita tidak menyambut hari kelahiran manusia agung yang pengutusannya ke muka bumi ini memberi rahmat kepada sekalian alam ?

Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam : 
“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)

3. Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?

Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :


Bahawasanya Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?

Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Banyak sebenarnya perkara yang tidak pernah dibuat oleh RasuluLlah tetapi dilakukan oleh sahabat dan para salafussoleh melalui ijtihad mereka dalam perkara ibadah contoh yang senaraikan oleh bekas Mufti Iraq iaitu Sheikh Abdul Malik Abdul Rahman as Sa’adi :

1. Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)

Walaupun ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.

2. Saidina Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).

3. Dalam menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu Irq (menjadi lima). (Lihat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari m.s 389)

4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)

5. Jumhur ulama mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)

6. Sebilangan besar pada ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)

7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad) mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat (muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)

8. Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)

9. Para ulama bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni: 8/97)

10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya, dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)

11. Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni: 2/144)

12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)

13. Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar (walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)

14. Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)

15. Imam Abu Hanifah, Ath Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al Mughni: 1/267)

Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.

Ibnu Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba. Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".

Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:

"Sebab tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu daripada seorang yang menyebut kepadanya.".

Maka, beliau menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).

Menurut Al A'raj:

“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”

. (Fath al Bari: 3/52)

Sepertimana yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.

4. Adakah contoh para salafussoleh yang menyambut maulidul Rasul ?

Prof Dr Ali Jum’ah iaitu Mufti Mesir menjawab begini : 
Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke 4 dan ke 5 merayakan peringatan maulid nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al Quran, berzikir, melantunkan puisi-puisi dan puji-pujian tentang rasuluLlah. Hal ini ditegaskan oleh sebilangan ulama seperti : Al Hafizh Ibnu Jauzi, Al Hafizh Ibnu Katsir, Al Hafizh Ibnu Dihyah, al Hafizh Al Hebatusi, Al Hafizh Ibnu Hajar dan Penutup Huffazh (para penghafaz hadith dalam jumlah yang sangat banyak) Jalaluddin Al Suyuthi.

5. Ulamak lain yang membenarkan ?

Dalam kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.

Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :
Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan emreka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.

Imam Abu Syamah berkata : 
Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk
(I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.

Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam
Sumber rujukan : 

1. Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

2. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia

3. As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global (M) Sdn. Bhd, Selangor.

4. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Keselamatan di kawasan Esszone sudah pulih

TAWAU 25 Ogos - Keadaan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) sudah kembali seperti sedia kala, kata Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Ahmad Nadzer Nordin.

Bagaimanapun katanya anggota keselamatan daripada pelbagai agensi termasuk tentera, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tidak mengambil mudah keadaan itu dan sentiasa melakukan pemantauan.

"Saya didatangi dua pegawai tinggi kedutaan Kanada dan Australia baru-baru ini yang ingin mengetahui situasi sebenar keselamatan di Sabah terutama di kawasan pantai timur.

"Saya maklumkan kepada mereka bahawa situasi sudah kembali normal walaupun keadaan terus dipantau," katanya semasa menjawab soalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Rakan Komuniti Sabah (Pacos Trust), Anne Lasimbang pada forum terbuka sempena Bengkel Pembinaan Keupayaan Pemimpin Kampung Pulau Sebatik semalam.

Program sehari anjuran Yayasan Asia, Pacos Trust dan Persatuan Komuniti Tidung Tawau (Pakot) itu antara lain membincangkan isu dan cabaran keselamatan di Pulau Sebatik.

Pada forum itu, Anne bertanya mengenai kebimbangan penuntut Australia berhubung situasi keselamatan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur negeri itu, selepas Australia mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya berikutan pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, 12 Februari lepas.

Ahmad Nadzer berkata kedutaan asing di negara ini juga telah dimaklumkan mengenai situasi sebenar di Esszone.

Mengenai pendekatan Malaysia menyelesaikan insiden pencerobohan pengganas itu di Sabah, beliau berkata Malaysia mendapat banyak pujian daripada negara luar kerana berjaya menyelesaikan kes itu secara bertamadun.

Saki-baki pengganas dan mereka yang disyaki ada kaitan dengan pencerobohan itu telah diberkas dan segera dihadapkan ke mahkamah untuk diadili dan mereka dibenar melantik peguam masing-masing, katanya. - BERNAMA