08 December 2012

Alam Barzakh Destinasi Kita Yang Pasti




alt


Hakikatnya, kita sekarang ini  telah melalui alam ruh, alam rahim (kandungan) dan sedang berjuang di alam kehidupan di dunia. Ke mana kita selepas ini?
Ya, alam barzakh atau alam kubur destinasi yang wajib kita lalui selepas ini, pasti akan kita tempuhi tanpa ada keraguan. Beriman dengan alam kubur termasuk sebahagian dari beriman dengan rukun iman iaitu beriman dengan hari akhirat. Itulah iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah.
Di alam kuburlah bermula kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan yang ditentukan berdasarkan amalan dan bekalan yang kita sediakan semasa hidup di dunia ini. Di sana kita akan berdepan dengan fitnah (ujian) yang dahsyat. Berdepan dengan soalan dua malaikat yang ditugaskan. Tiada siapa yang mampu menolong kita melainkan rahmat Allah s.w.t yang diperolehi dengan ketaatan dan pengabdian diri kepadaNya.
Setiap individu yang menempuhi alam kubur wajib akan mengalami fitnah kubur. Iaitu ujian berupa pertanyaan dua malaikat Munkar dan Nakir tentang Rabbnya, agamanya dan Nabinya sebagaimana dijelas oleh Rasulullah s.a.w dalam sumber yang sahih. Dari ujian ini akan diketahui apakah kita termasuk hambaNya yang jujur keimanannya sehingga berhak mendapatkan nikmat kubur, atau apakah kita termasuk yang dusta keimanannya sehingga berhak dibalas dengan azab yang menyeksakan.
Hanya keteguhan iman yang akan menjamin keselamatan dari azab kubur. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sabda Nabi saw:
"Jika seorang mukmin telah didudukkan di dalam kuburnya kemudian didatangi (dua malaikat dan bertanya kepadanya) maka dia akan (menjawab) dengan mengucapkan dua kalimat syahadah:
أَنْ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ
Itulah 'ucapan yang teguh (القول الثابت ) sebagaimana yang tertera dalam firman Allah Ta'ala:
يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ
"Allah meneguhkan dengan 'ucapan yang teguh' kepada orang-orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat." (Surah Ibrahim: 27)
Ujian yang akan kita hadapi di alam kubur merupakan ujian yang berat sama berat dengan ujian berdepan dengan fitnah al-Masih al-Dajjal di akhir zaman ini. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Telah diwahyukan kepadaku sungguh akan ditimpakan fitnah kepada kalian di dalam kubur-kubur kamu seperti atau hampir mirip dengan fitnah al-Masih al-Dajjal." (Imam al- Bukhari dan Muslim)
Hakikatnya fitnah Dajjal merupakan fitnah paling besar dari fitnah-fitnah yang terjadi sejak diciptakan Nabi Adam a.s sampai hari kiamat nanti. Rasulullah saw bersabda:
"Tidak ada fitnah yang paling besar sejak diciptakan Adam sampai hari kiamat dibanding dengan fitnah Dajjal." (Imam Muslim).
Kita biasa mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, menurunkan jenazah ke liang kubur atau seringkali kita menziarahi kubur sanak saudara yang telah meninggal dunia. Dengan pancaindera kita dapati kubur tempat yang sunyi sepi. Itu pada pandangan zahir kita. Namun realiti ialah terdapat pekikan dan jeritan oleh penghuni-penghuni kubur yang sedang diazab. Sabda Rasulullah saw :
Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur. Kalaulah kerana aku bimbangkan kamu tidak mahu menguburkan jenazah, nescaya aku akan berdoa agar Allah memperdengarkan kepada kamu azab kubur sebagaimana apa yang aku dengar. ( imam Muslim)
Nabi s.a.w juga bersabda : Aku tidak pernah melihat satu pemandangan yang lebih dahsyat daripada azab kubur. ( Riwayat al-Tirmizi dan Ibn majah, dihasankan oleh al-Albani).
Oleh sebab itulah bila jenazah dikuburkan maka dianjurkan bagi kita untuk mendoakan untuk jenazah. Rasulullah saw bersabda:
اسْتَغْفِرُوا لأَخِيْكُمْ وَاسْأَلُوا لَهُ التَثْبِيْتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْئَلُ
"Pohonkan keampunan untuk saudaramu, dan mohonkan untuknya keteguhan (iman), kerana sesungguhnya dia sekarang sedang ditanya." (Sahihul Jami').
Usaha-usaha untuk menghindari azab kubur:
1. Memantapkan keimanan kepada Allah serta mengukuhkan tauhid serta akidah dalam jiwa. Hendaklah memahami dan menghayati kalimah syahadah. Iaitu mengesakan Allah, menghindari sebarang amalan yang boleh membawa kepada syirik. Kita juga hendalklah mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan. Inilah benteng yang sebenar berdasarkan ayat al-Quran dan hadis sebelum ini. Iaitu dikurniakan 'ucapan yang kukuh'( القول الثابت)
2. Sentiasa bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kejahatan yang dilakukan. Dosa-dosa itulah sebenarnya yang menyebabkan azab kubur sebagaimana sabda nabi saw yang menjelaskan keadaan ahli maksiat bila didatangkan kepadanya seorang lelaki dengan rupa yang hodoh. Bila ditanya orang itu menjawab :
Aku adalah amalanmu yang buruk. Demi Allah, tidaklah aku mengetahuimu, kecuali engkau adalah orang yang berlambat-lambat dari melakukan ketaatan kepada Allah dan bergegas kepada kemaksiatan kepada Allah. Maka Allah membalasmu dengan yang terburuk.( Abu Daud, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)
3. Memohon perlindungan dengan Allah dari azab kubur. Sabda baginda saw :
"Mohonlah perlindungan kepada Allah dari adzab kubur (diulangi sampai 2/3 kali)." Kemudian Rasululah s.a.w. berdoa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab kubur (diulang 3 kali)."
Kita juga hendaklah mengamalkan doa yang dibaca oleh Rasulullah saw pada akhir solat iaitu selepas tasyahhud sebelum salam. Iaitu doa :
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَ الْمَمَاتِ
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ
"Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab jahannam, dari azab kubur, dan dari fitnah selama hidup dan sesudah mati, serta dari fitnah al-Masih al-Dajjal." (Imam Muslim).

4. Membaca surah Al-Mulk
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
"Ia (surah Al-Mulk) adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur." (al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)
Demikian beberapa cara untuk menyelamatkan diri dari azab kubur. Semoga Allah SWT merahmati dan memelihara kita semua daripada menerima azab dalam destinasi hidup kita berikutnya yang pasti kita hadapi.


Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!

No comments: