Masyarakat Melayu sebenarnya bukan sahaja terdapat di Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga terdapat di Sarawak, di Kota Pontianak, di Brunei dan di Sumatera.
Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa masyarakat Melayu juga
sebenarnya terdapat di Tawau, Sabah yang jauhnya di hujung Malaysia.[1] Walaupun sejak kemerdekaan, masyarakat Islam di Sabah diwartakan sebagai Bumiputra Islam namun kewujudan bangsa Melayu di Tawau sudah wujud sejak lebih seratus tahun dulu iaitu asmilasi di antara campuran keturunan dan budaya rumpun rumpun Melayu seperti Tidung, Suluk, Arab, Bugis Wajo, Banjar, Jawa, Kokos, Aceh, Boyan, Melayu Malaya ( semenanjung malaysia zaman penjajahan
) dan banyak lagi. Mereka bertutur dan mengamalkan adat dan budaya
Melayu dan mereka telah lama wujud di Tawau sejak zaman pemerintahan
British, saat pendudukan tentera Jepun dan era kemerdekaan Sabah melalui
USNO.
Pemimpin-pemimpin Melayu seperti Penghulu Abu Bakar ( 1899 - 1953 ) dan Datuk Abu Bakar Titingan
( 1920 - 1980 ) adalah pemimpin Melayu yang berjasa dan diingati oleh
generasi tua walaupun tidak diketahui oleh generasi muda kini.
Masyarakat Melayu Tawau yang nenek moyangnya ini pernah melalui zaman
pemerintahan British dan Jepun ini tidaklah sama dengan masyarakat
pendatang Indonesia ( Bugis , Toraja , Timor ) dan pendatang Filipina
( Visaya , Tausuq ) yang diberikan taraf kewarganegaraan kerana
masyarakat pendatang ini kewujudannya agak baru iaitu selepas kelahiran
negara Malaysia dan selepas kewujudan negara mereka sendiri iaitu Indonesia dan Filipina. ( Nota :
Melayu Tawau tidak sama dengan kaum bumiputra lain di Sabah seperti
Kadazan Dusun , Bajau Kota Belud , Bajau Semporna , Idahan , Sungai ,
Tidong Kalabakan dan Kedayan . Ini kerana terdapat perbezaan budaya
serumpun , perbezaan amalan dan gaya hidup serta perbezaan bahasa
pertuturan di antara mereka . )
Tawau
Tawau adalah sebuah tempat begitu unik kerana satu satunya tempat di
Sabah yang dihuni masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu Tawau yang wujud
lebih seratus tahun
dahulu ini adalah terdiri daripada pelbagai suku kaum Melayu yang telah
lama hidup bersama dan mengamalkan cara hidup dan budaya yang sama
iaitu Budaya Melayu. Walaupun berbeza asal keturunan namun di
Tawau, mereka telah wujud dalam satu komuniti yang dipanggil Masyarakat
Melayu. Mereka cuma menggunakan satu bahasa sebagai bahasa pertuturan
dan pergaulan iaitu Bahasa Melayu Tawau.
Umumnya, masyarakat Melayu Tawau ( native community ) ini adalah kumpulan masyarakat dari gabungan pelbagai rumpun Melayu di Tawau
sama ada tercantum melalui hasil perkahwinan campur sesama mereka dan
juga hasil perkongsian cara hidup, amalan adat tradisi serta budaya
setempat yang ditunjangi oleh agama Islam yang suci sebagai asas panduan utama dalam kehidupan dan disatukan
oleh satu bahasa yang indah iaitu bahasa Melayu yang difahami dan
dipertuturkan bersama. Masyarakat rumpun Melayu yang terdapat di Tawau
adalah seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Suluk, Melayu Banjar,
Melayu Jawa, Melayu Bugis Wajo-Kutei, Melayu Bulungan, Melayu Kokos dan
lain-lain. Ini termasuk juga sebilangan kecil masyarakat dari keturunan
yang lain seperti Cina-Muslim dan Iban-Muslim yang memilih untuk hidup
bersama masyarakat Melayu yang lain. Masyarakat ini telah wujud sekian
lama sebelum zaman penjajahan British lagi. Mereka telah membuka
penempatan di kuala-kuala sungai dengan hidup sebagai nelayan dan
menanam padi bukit. Mereka hidup bersama-sama, berkahwin di antara
mereka dan saling mewujudkan masyarakat yang aman damai di Tawau sebelum
kedatangan pihak British dan orang-orang Cina.[2]
Masyarakat Melayu Tawau
Semua penduduk tempatan ini telah wujud di Tawau sebagai Masyarakat Melayu Tawau. Pada awal kewujudan Tawau sebagai kampung nelayan
suatu ketika dahulu sekitar tahun 1800an, masyarakat yang tinggal di
sini ialah masyarakat Melayu (Tidung dan Suluk). Merekalah membuka
penempatan di kuala sungai ini dan menamakannya sebagai Sungai Tawau.
Di kampung ini, mereka hidup bersama secara aman damai di Tawau ini
mengusahakan tanaman padi dan penangkapan ikan secara memancing (tawai)
menggunakan perahu kajang serta menjual hasil hutan seperti rotan dan
damar. Kewujudan penempatan masyarakat yang strategik di Tawau lama ini
mengundang lebih ramai masyarakat Melayu lain untuk datang dan menetap
di sini seperti perantau dari Kalimantan (Bugis Wajo-Kutei, Bulungan, Banjar, Iban), Tanah Melayu (Perak, Aceh, Minang, Boyan), Brunei dan lain-lain (Jawa) dan juga golongan peniaga berbangsa Arab dan Habib.
Mereka tinggal menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat di Tawau
ini. Seterusnya dari nenek moyang ini, melahirkan keturunan yang ramai
seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat Melayu Tawau yang hidup dengan
satu budaya dan amalan hidup yang sama iaitu budaya Melayu dan amalan agama Islam. ( Nota : Melayu Tidung dan Melayu Suluk
adalah penduduk asal di Tawau lama dan merupakan asal-usul bermulanya
dan perintis kepada kewujudan bangsa Melayu Tawau yang seterusnya
berlaku perkembangan perkahwinan campur dengan perantau-perantau dari
Jawa , Banjar , Bugis Wajo , Arab , Malaya , Sumatera dan sebagainya .
Sama seperti bangsa Cina di Tawau yang berasal dari pelbagai rumpun seperti Hakka , Hokkein , Kantonis , Foochow , Teochew dan Hainan atau rumpun bangsa India seperti Tamil , Punjab , Malayali dan Telegu )
Setelah British melihat potensi Tawau sebagai kawasan strategik untuk
dimajukan, mereka telah mewujudkan pusat pentadbiran di sini dan
menjadikan Tawau ini sebagai wilayah mereka yang akan dimajukan dengan
kegiatan ekonomi seperti penanaman kelapa dan getah. Sebuah kawasan di
Silimpopon, 100 batu dari Tawau telah dikesan akan menjadi sumber arang
batu yang menjadi hasil lumayan kepada Syarikat Borneo British.
Pembukaan lombong arang batu ini telah membawa sebegitu ramai imigran-imigran Cina untuk datang ke Tawau seterusnya menjadi sebahagian dari masyarakat Tawau pada ketika ini.
Ketika zaman pemerintahan British North Borneo Company ini, pihak British telah melantik Kee Kim Swee atau juga dikenali sebagai OKK Kee Abdullah, seorang berketurunan Cina (Hainan) sebagai Pemeriksa Kastam dan Pemungut Hasil di Tawau pada 16 Oktober 1894.
Beliau kemudiannya berkahwin dengan Jumatiah binte Ami Maidin, seorang
gadis Melayu Suluk tempatan. Selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan,
beliau telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri dan mendapat
gelaran Orang Kaya Kaya (OKK) pada tahun 1900an untuk mewakili
masyarakat tempatan di Tawau. Beliau mempunyai 18 orang anak dengan
isterinya Jumatiah, tiga orang lagi anak dengan isterinya yang lain di
daerah Kudat. Setelah beliau meninggal dunia iaitu sebelum Perang Dunia ,
anak beliau, Kee Abu Bakar(Penghulu Abu Bakar) dilantik menjadi
penghulu menggantikan tempat beliau. Pada tahun 1937, terdapat dua orang
ketua masyarakat Melayu di Tawau iaitu Penghulu Abu Bakar di Tawau dan
Imam Salleh di Kalabakan. Penghulu Abu Bakar ( OKK Abu Bakar) menjadi
Penghulu atau ketua masyarakat Melayu Tawau ketika pendudukan Jepun dan terus memegang jawatan itu hinggalah akhir hayatnya pada tahun 1953 dan digantikan oleh sepupu kepada isteri beliau iaitu Penghulu Jainal (OKK).
Walaupun pegawai-pegawai kerajaan di pejabat daerah dan pejabat
Residen adalah orang-orang Inggeris, beberapa orang Melayu turut diberi
tempat di pejabat-pejabat kerajaan di Tawau. Antara pemimpin-pemimpin
Melayu yang diiktiraf British ketika tahun 1922 ialah OKK Kee Abdullah, Habib Sheikh, Imam Mustapha dan Serang Saman.
Mereka semua ini menduduki tempat di dalam mahkamah anak negeri (Native
Court). Sebelum itu, Habib Sheikh telah menjadi Ketua Masyarakat Melayu
(native chief) pada tahun 1912 setelah kematian Sarip Ali, ketua
masyakarat terdahulu. Haji Mustapha pula dilantik menjadi imam pada
tahun 1916 namun setelah Habib Sheikh meletakkan jawatan pada
tahun 1925, Imam Mustapha menggantikan beliau menjadi ketua masyarakat
Melayu sebelum jawatan OKK (Orang Kaya Kaya) diperkenalkan oleh British
dan jawatan dipegang buat pertama kalinya oleh bekas pegawai British
yang beragama Islam iaitu Kee Abdullah (OKK).[3]
Ketika pra-kemerdekaan pula iaitu pada tahun 1945, telah ditubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) diasaskan oleh pemimpin Melayu ketika itu iaitu Datuk Abu Bakar Titingan
bersama Datuk Kassim Kamidin, Datuk Hj Ahmad Ayid dan Penghulu Zainal.
Persatuan ini ditubuhkan untuk menjaga dan mempertahankan hak dan
kepentingan orang-orang Melayu di Tawau. Kemudiannya persatuan inilah
yang bertanggungjawab menyatukan masyarakat Melayu Tempatan untuk
bersama-sama Tun Datu Mustapa bin Datu Harun melalui parti keramat USNO
bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 31 Ogos 1963.
Sebelum itu, pada bulan Mei 1963, dalam mesyuarat agung USNO Tawau, 200
perwakilan telah bersetuju melantik Datuk Abu Bakar Titingan sebagai
Pengerusi USNO Cawangan Tawau menggantikan pengerusi sebelumnya OKK
Penghulu Jainal yang bersetuju untuk melepaskan jawatan kepada orang
yang lebih berwibawa demi kemajuan dan masa depan anak bangsa Melayu di
Tawau.
Persatuan Islam Tawau (PIT) juga telah lama ditubuhkan tahun 1956
dahulu yang mana persatuan ini diketuai oleh Abdul Karim Haji Duraman
dan dibantu oleh naib pengerusi iaitu menantunya sendiri iaitu Datuk Kassim Kamidin
adalah salah sebuah persatuan yang berpengaruh dan telah bergabung
dengan persatuan Islam lain di negeri Sabah dan membentuk Persatuan
Islam Seluruh Sabah atau dikenali sebagai USIA. Persatuan inilah yang
banyak menyumbangkan jasa dan memainkan peranan dalam hal-ehwal masjid
dan dakwah islamiah sebelum era kemerdekaan Sabah bersama Malaysia. Ini
termasuklah usaha penubuhan satu-satunya sekolah agama di Tawau iaitu Sekolah Islamiah Tawau
pada tahun 1970. Sebelum itu, pada tahun 1962, PIT di bawah kepimpinan
Haji Abdul Karim turut menyuarakan desakan dan tuntutan daripada 1,300
ahlinya dan mewakili 7000 orang-orang Islam di Tawau pada ketika itu untuk Sabah merdeka bersama-sama Malaysia.
Pada tanggal 16 September 1963, seramai lebih daripada 5000 orang-orang Melayu
di Tawau berduyun-duyun datang dan berkumpul dengan rasa syukur dan
bangga di Padang Bandaran untuk menyambut detik kelahiran sebuah negara
baru Malaysia bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura. Hari yang
bersejarah ini dinamakan Hari Malaysia.[3]
Perjuangan orang-orang Melayu di Tawau dan di Sabah umumnya terutama
di dalam menegakkan hak dan kepentingan mereka walaupun telah dijajah
British dan Jepun lebih 120 tahun adalah didorong oleh keberanian dan
kesungguhan para pemimpinnya yang terdahulu. Mengikut sejarahnya,
kepimpinan orang-orang Melayu di Tawau adalah mengikut beberapa
peringkat. Pada awal 1910an hingga 1920an iaitu ketika awal
kedatangan British, pemimpin-pemimpin yang menyumbangkan jasa adalah OKK
Kee Abdullah, Habib Sheikh, Imam Mustapha, Encik Alang (berasal dari
Sumatera), Serang Saman dan Imam Salleh (Kalabakan). Pada dekad 1930-an
dan 1940-an pula iaitu termasuk ketika pendudukan tentera Jepun ,
barisan kepimpinan orang-orang Melayu dibarisi oleh OKK Abu Bakar, Habib
Hussein (dibunuh oleh askar Jepun bersama Stephan Tan dan beberapa
pemimpin masyarakat lain), Haji Abdul Karim Haji Drahman (Pengasas
Persatuan Islam Tawau) dan Imam Galundang (Tanjung Batu). Manakala di
dalam era 1950-an dan 1960-an pula sewaktu perjuangan menuntut
kemerdekaan, orang-orang Melayu dipimpin oleh Datuk Titingan, Datuk
Kassim Kamidin, OKK Penghulu Jainal, Imam Awang dan Habib Hassan (Pasir
Puteh).[3]
Sejarah Masyarakat Melayu di Tawau
Di daerah Tawau ini, masyarakat Melayu telah wujud sejak beratus tahun lama dahulu. ( Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005 ). Penempatan masyarakat Melayu terawal di Tawau ialah di Kuala dan di sepanjang hilir Sungai Tawau atau Tawau Lama
iaitu perkampungan nelayan masyakat Melayu keturunan Tidung dan Suluk.
Nama Tawau sendiri sebenarnya adalah berasal dari perkataan Tidung yang
bermaksud 'Tawai' iaitu cara orang-orang dahulu memancing ikan di
sepanjang sungai Tawau. Kemudiannya panggilan itu lebih dikenali dengan
sebutan 'Tawao' mengikut panggilan masyarakat Suluk yang merupakan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu.[2]( Nota : Tinagat juga dinamakan mengikut panggilan bahasa Tidung yang bermaksud 'tebang'. )
Namun begitu, mengikut sejarah silamnya semasa kewujudan Tawau sebagai sebuah perkampungan nelayan seratus tahun dahulu, terdapat juga sebuah penempatan Melayu Islam tertua di Kalabakan
yang pada ketika itu di bawah naungan Kesultanan Bulungan-Tarakan.
Pemimpin mereka pada masa itu ialah Bujong Seripa yang kemudian
digantikan oleh adiknya Imam Salleh (1923-1958). Tidak jauh dari
Kalabakan, terdapat sebuah lagi penempatan lama di Serudong yang
diasaskan oleh Datu Alun bersama pengikut-pengikutnya, seorang kerabat
diraja Kesultanan Bulungan yang membawa diri dari tanahairnya. Namun
kini yang tinggal hanyalah tapak perkuburan bersejarah. ( Nota : Selain
dari kerajaan Kesultanan Sulu yang menguasai tanah jajahan di kawasan utara Borneo , terdapat juga beberapa kawasan jajahan yang dikuasai oleh Kesultanan Bulungan ( yang berpusat di Tanjung Palas ) dan Kerajaan Tidung Tengara
( yang berpusat di Tarakan )). Tawau pada masa itu hanyalah sebuah
kampung yang belum dimajukan, didiami seramai 200 penduduk kampung yang
mendirikan rumah-rumah kampung di tepi-tepi sungai dan di kawasan kuala
sungai Tawau. Sebahagian besar muka buminya masih lagi hutan tebal dan
belum lagi terdapat sebarang bentuk pembangunan sama ada pejabat
kakitangan Kerajaan Inggeris atau sebarang penerokaan hutan untuk
pertanian.
Namun setelah kampung Tawau Lama ini dimajukan oleh British
sebagai kawasan penanaman kelapa ( kopra ) dan tembakau serta bermulanya
aktiviti perlombongan arang batu yang bernilai tinggi di Silimpopon,
Tawau Lama kemudiannya bertukar wajah menjadi sebuah pekan yang
berkembang maju. Tawau telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran British
yang serba lengkap. Pejabat residen Inggeris dan rumah pegawai serta
kakitangan Kerajaan Inggeris telah dibina. Begitu juga balai polis,
gudang-gudang kastam, rumah sakit dan beberapa sekolah mubaligh turut
dibina. Pekan Tawau Lama pula menjadi pekan yang begitu ramai
penduduknya dan dipenuhi dengan deretan kedai-kedai kayu.
Pembangunan yang pesat di kawasan Tawau Lama ini menyebabkan ramai
masyarakat Melayu khususnya masyarakat Melayu Tidung yang sebelum ini
tinggal lama di kawasan Tawau Lama telah berpindah ke kawasan di luar
Tawau Lama yang lebih selesa seperti di Kuala Apas dan di Kuala Merotai.
Mereka menjadi penduduk dan pemilik tanah di sana hingga ke saat ini.
Manakala masyarakat Melayu Suluk pula banyak yang berpindah dari Tawau
Lama dan mendiami kawasan perkampungan di Tinagat, Membalua, Ranggu dan Indrasabah.
Mereka juga menjadi penduduk tetap dan pemilik tanah di sana hingga ke
hari ini. Di Pulau Sebatik juga terdapat perkampungan nelayan Melayu
lama di Sungai Tamang sebelum kewujudan pekan Wallace Bay sebagai pusat pentadbiran di sana.[3]
Setelah Syarikat North Borneo British bertapak dan menjadikan Tawau
sebagai sumber kekayaan ekonomi mereka, telah membawa perantau perantau,
peniaga dan pedagang untuk singgah dan menetap di Tawau. Kehadiran
perantau perantau Bugis Wajo dari Kutei dan Sengkang ( Puado dan Mepata )
untuk membuka kebun kebun kelapa serta kehadiran ramai lagi perantau
Melayu yang lain sama ada Arab, Banjar, Jawa dan Melayu Malaya
mewujudkan masyarakat Melayu yang pelbagai. Manakala kehadiran
imigran-imigran dari tanah besar Cina untuk membuka kedai dan bekerja di
lombong arang batu di Silimpopon serta kehadiran pegawai-pegawai
Inggeris serta polis polis berbangsa Sikh telah mewujudkan pelbagai
komuniti pelbagai bangsa di Tawau.
Selepas itu, barulah wujud ladang ladang getah yang dibuka oleh ahli peniagaan dari Jepun seperti Kuhara Plantation milik Mr Kuhara seperti Ladang Merotai, Ladang Table, Ladang Tiger dan Ladang Sungai Imam dan juga Kubota Plantation milik Mr Kubota.
Selepas perang Jepun tamat, ladang-ladang kepunyaan bangsa Jepun
seperti Kuhara Plantation ini diambilalih sepenuhnya oleh British dan
ditukarkan namanya kepada Borneo Abaca Limited ( BAL ). Begitu juga dengan kewujudan North Borneo Timber ( NBT
) yang berpusat di Wallace Bay pada awal era pemerintahan British yang
bertujuan memonopoli sumber kekayaan hasil kayu balak di Tawau pada
ketika itu.
Kedatangan masyarakat berbangsa Cina pula pada mulanya ialah untuk bekerja sebagai pelombong arang batu di Silimpopon, 80 km dari Tawau pada era 1900an. Cowie Harbour Coal Company
telah ditubuhkan pada tahun 1905 untuk memonopoli kekayaan sumber arang
batu di Tawau dan menarik minat orang-orang Cina dari Tanah besar China
untuk berhijrah ke Tawau. Setelah lombong arang batu ini tutup, mereka
mendiami pula kawasan bandar baru di kawasan yang dipanggil 'Tanjung'
setelah Tawau Lama ditinggalkan kerana kawasannya kurang strategik.
Kemudiannya, ramai di kalangan orang-orang Cina ini menceburi bidang
perniagaan di kalangan masyarakat tempatan. Mereka pada asalnya membuka
perniagaan kecil-kecil seperti menjual minyak gas, beras, ikan dan sayur
untuk keperluan masyarakat tempatan. Namun dengan kesungguhan mereka
dalam perniagaan, mereka telah mampu mengisi di rumah-rumah kedai yang disediakan pihak British di Pekan Tanjung dan berjaya menjadi kaya raya hingga ke hari ini.
Akhirnya Tawau Baru ( yang berpindah lokasi di Kawasan Tanjung
)menjadi pekan yang bertambah maju dengan terbinanya pelbagai kemudahan
awam yang disediakan kerajaan British pada masa itu. Kerajaan British
juga banyak membina kemudahan infrasruktur di Pekan Tawau melalui PWD
iaitu sebuah jabatan kerajaan yang ditanggungjawabkan untuk membina
semua jalanraya di Tawau yang menghubungkan kampung kampung dengan Pekan
Tawau. Selain itu, hospital, sekolah, balai polis dan pasar-pasar,
rumah-rumah kedai juga dibina termasuklah pelabuhan Tawau yang merupakan
laluan dan pintu masuk utama ke Tawau pada masa itu.
PKMT, PIT dan USNO
Semasa Tawau berada di bawah pemerintahan British yang diwakilkan
oleh Residen (Alexander Rankin Dunlop sebagai Residen Inggeris yang
pertama dilantik pada 1 Mac 1889) dan Pegawai Daerah Inggeris (John H.
Molyneux adalah Pegawai Daerah Inggeris yang pertama dilantik pada 7 Mei
1903), komuniti di Tawau boleh dikatakan terbahagi kepada 3 kumpulan
iaitu masyarakat Melayu peribumi, masyarakat bangsa Cina dan masyarakat
bangsa Inggeris sebagai pemerintah dan pegawai kerajaan (termasuklah
anggota polis berbangsa Sikh
yang dibawa dari negara India). Ketika itu, orang-orang Melayu telah
memilih pemimpin di kalangan mereka sebagai wakil mereka yang diktiraf
oleh kerajaan British sebagaimana British (termasuk juga komuniti bangsa
Cina) mengiktiraf kewujudan orang-orang Melayu sebagai masyarakat
peribumi di Tawau.[2]
Jawatan Ketua Masyarakat (dalam bahasa Inggeris, native chief)
dan jawatan Imam telah diperkenalkan oleh British secara rasmi sekitar
tahun 1900-an dan kemudian diwujudkan pula jawatan Penghulu atau Ketua
Anak Negeri dengan gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK).
Pemimpin-pemimpin Melayu ini memainkan peranan penting dalam memastikan
kebajikan orang-orang Melayu terbela terutamanya di dalam urusan
pentadbiran dan hal-ehwal agama Islam. Habib Sheikh telah memegang jawatan rasmi Ketua Masyarakat pada 1912 manakala jawatan Imam dipegang oleh Imam Mustapha
pada 1916. Pada tahun 1922, mereka bertiga, Habib Sheikh, Imam Mustapa
dan Kee Abdullah ( telah berusia 60 tahun ) adalah wakil orang-orang
Melayu dan kedudukan mereka adalah secara rasmi di dalam Mahkamah Anak
Negeri (dalam bahasa Inggeris, Natives Court).
Sebelum itu, ketika awal pembukaan pekan Tawau sebagai pusat
pentadbiran British , Kee Abdullah ( semasa muda ) telah menjadi pegawai
kerajaan British di Tawau. Kee Abdullah turut bekerjasama dengan
seorang lelaki berketurunan Bugis Wajo iaitu Pua Ado ( yang dianggap
British sebagai pemimpin masyarakat Melayu Tawau diberi gelaran Penghulu
Puado ) untuk mentadbir bandar Tawau terutama segala urusan yang
melibatkan orang-orang Melayu. Semasa itu, British telah menghantar
wakil mereka iaitu Alexander R. Dunlop sebagai residen ( 1 Mac 1899 ),
beberapa orang pegawai berbangsa Inggeris dan ramai anggota polis
berbangsa Sikh. Tawau pada ketika itu juga telah didiami masyarakat Cina
yang melibatkan diri dalam perniagaan kedai dan aktiviti perlombongan
arang batu di Silimpopon ( 1900 ) dan mereka ini juga mempunyai pemimpin
mereka sendiri.
Penghulu Puado ketika itu dianggap sebagai Ketua Masyarakat
orang-orang Melayu di Tawau oleh pihak British kerana kewibawaan dan
beliau sangat dihormati oleh masyarakat tempatan. Beliau menjadi
pemimpin sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1902.[4][5]
Kekosongan jawatan pemimpin masyarakat ini berterusan sehinggalah Sarip
Ali diberi kepercayaan untuk menjadi ketua masyarakat yang seterusnya
dan diberi gelaran 'Suluk Chief' pada tahun 1905. Beliau menjadi
pemimpin selama 7 tahun sebelum tempat beliau digantikan oleh Habib
Sheikh pada tahun 1912. Manakala jawatan Ketua Anak Negeri yang mendapat gelaran OKK atau Orang Kaya-Kaya ini hanya diperkenalkan oleh British di seluruh jajahan Borneo Utara pada akhir 1920an.
Ketua Anak Negeri yang pertama di Tawau ialah Kee Abdullah dan dengan itu beliau diberi gelaran OKK Kee Abdullah.
Beliau secara rasmi menjadi pemimpin masyarakat Melayu di Tawau untuk
menggantikan Imam Mustapa ( menjadi 'native chief' pada tahun 1925 ).
Perlantikan ini adalah sangat bertepatan dan beliau adalah calon yang
paling layak. Ini kerana jasa-jasa beliau yang besar semasa muda iaitu
semasa menjadi beliau menjadi pegawai kerajaan British dan menjadi orang
kepercayaan Residen Inggeris, Alexander Rankin Dunlop. Selain itu dalam
usia beliau yang menjangkau lebih 60 tahun dan telah lama hidup sebagai
orang Melayu yang sanggup hidup susah dan senang bersama-sama
orang-orang Melayu yang lain, beliau sangat dihormati. Pengalaman hidup
dan pengetahuan Kee Abdullah yang luas menjadikan pengaruh dan nama
beliau sangat kuat di kalangan masyarakat pada ketika itu. OKK Kee
Abdullah menjadi pemimpin masyarakat Melayu sehinggalah beliau kembali
ke rahmatullah pada tahun 1937 dan seterusnya anak beliau , OKK Kee Abu
Bakar ( Penghulu Abu Bakar ) pula menjadi pemimpin masyarakat. Penghulu
Abu Bakar adalah pemimpin ketika orang-orang Melayu di Tawau melalui
detik detik yang paling sukar iaitu semasa Tawau dijajah dan ditadbir
oleh tentera Jepun.( Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009)
Mengikut sejarahnya sebelum kedatangan British lagi, telah wujud
pemimpin-pemimpin Melayu yang berwibawa dan sangat dihormati. Antaranya
Imam Sabah (Apas) , Bujong Seripa (Kalabakan) dan Datu Alun (Serudung).
Namun kewujudan pemimpin-pemimpin masyarakat Melayu ini ketika itu tidak
diiktiraf secara rasmi oleh pihak British dan hanya menjadi sejarah
dalam ingatan dan hati orang-orang Melayu Tawau.
PKMT
Setelah bertahun-tahun dijajah British ditambah pula dengan pemerintahan tentera Jepun
yang kejam (dari 1942 hingga 1945), orang-orang Melayu telah bangkit
dan sedar tentang pentingnya mereka mewujudkan perpaduan di kalangan
mereka untuk melahirkan kekuatan bagi melawan sebarang ancaman yang
mengugat maruah dan nyawa mereka serta menjamin masa depan anak-anak
bangsa dan cucu-cicit mereka agar tidak terus dalam kehinaan dan
dipandang rendah oleh bangsa asing. Renteten itu, pada tahun 1945
selepas perginya tentera Jepun ( salah seorang pemimpin Melayu iaitu allahyarham Habib Hussein telah dibunuh askar Jepun dengan kejam ), orang-orang Melayu di bawah kepimpinan Datuk Abu Bakar Titingan
( anak didik dan menantu Penghulu Abu Bakar ), Datuk Kassim Kamidin,
Datuk Ahmad Ayid ( ahli perniagaan berketurunan Arab ) dan Penghulu
Jainal telah bersatu di bawah pertubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu
Tawau (PKMT). Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009
Pada ketika itu, orang-orang Cina di Tawau telah pun menubuhkan
beberapa pertubuhan untuk bangsa Cina bagi membantu orang-orang Cina di
Tawau terutama di dalam memajukan ekonomi orang-orang Cina. Sebaliknya
orang-orang Melayu yang rata-ratanya hidup serba sederhana amat
mengharapkan pemimpin mereka untuk membela nasib mereka lebih-lebih
ketika berada di dalam pemerintahan orang-orang Inggeris. PKMT telah
memainkan peranan bukan sahaja untuk mengeratkan perpaduan di kalangan
orang-orang Melayu melalui aktiviti kemasyarakatan malahan kewujudannya
mencerminkan bahawa orang-orang Melayu perlu dipandang tinggi sebagai
penduduk asal daerah ini walaupun tidak sekaya orang-orang Cina yang
menguasai ekonomi di Tawau atau sehebat orang-orang Inggeris sebagai
pihak pemerintah.
PIT
Seterusnya pada tahun 1956, diwujudkan pula pertubuhan Persatuan Islam Tawau (PIT) yang diketuai oleh Abdul Karim Haji Drahman.
PIT telah tampil dengan semangat perjuangannya untuk membela nasib kaum
Melayu yang semuanya adalah beragama Islam. Kesucian agama Islam adalah
menjadi matlamat PIT agar ia terus terpelihara. Penyebaran dakwah dan
aktiviti keagamaan termasuklah pembinaan masjid-masjid telah dijalankan
sama ada dengan bantuan kerajaan ataupun dengan sumbangan orang ramai.
Akhirnya PIT dibubarkan setelah peranannya untuk menjaga dan menyebarkan
dakwah Islamiah diambil alih oleh Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA).
USNO
Yang lebih membanggakan pasa tahun 1961 orang-orang Melayu di Tawau
telah bersatu dengan seluruh bangsa kaum bumiputera Islam lain di
seluruh negeri Sabah di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Sabah Bersatu
(USNO) yang diketuai oleh Datuk Abu Bakar Titingan sebagai Pengerusi
USNO Tawau (1963) ketika itu adalah saat-saat akhir sebelum Sabah bebas
dari penjajahan dan merdeka bersama Malaysia. USNO adalah tunggak
keutuhan orang-orang Melayu di Tawau yang telah berjasa membantu dan
meningkatkan taraf ekonomi orang-orang Melayu melalui Yayasan Sabah.
Ramai orang-orang Melayu yang serba kekurangan amat terhutang budi
kepada Datuk Abu Bakar Titingan di atas jasa-jasanya semasa menjadi
pemimpin masyarakat Melayu Tawau sama ada ketika menjadi pengasas PKMT
ataupun wakil rakyat USNO ketika awal kemerdekaan Sabah dahulu.
Budaya Masyarakat Melayu di Tawau
Seperti juga masyarakat Melayu di lain-lain tempat seperti di Brunei, di Sarawak.
di Singapura ataupun di Semenanjung Malaysia, masyarakat Melayu Tawau
mengamalkan adat dan budaya Melayu. Orang-orang Melayu Tawau hidup
selama ratusan tahun dengan mengekalkan adat dan budaya Melayu mereka
yang berteraskan agama Islam.
Keunikan masyarakat Melayu di Tawau ini ialah mereka sebenarnya
terdiri daripada pelbagai rumpun Melayu seperti Melayu Bugis, Melayu
Suluk, Melayu Arab, Melayu Jawa, Melayu Tidung, Melayu Banjar, Melayu
Brunei, Melayu Bulungan dan berbagai lagi rumpun Melayu seperti Melayu
Boyan dan Melayu Aceh termasuk juga Cina muslim dan Iban muslim. Namun
mereka telah hidup bersama di dalam satu adat dan budaya yang sama
selama ratusan tahun. Lebih-lebih lagi dengan berlakunya perkahwinan
campur di antara mereka. Setelah hidup bersama selama ratusan tahun
inilah yang mewujudkan sebuah bangsa baru iaitu masyarakat Melayu Tawau
yang wujud dengan adat dan budaya yang tersendiri. Sama seperti wujudnya
bangsa manusia dimana bermula dengan Adam dan Hawa dan kini wujud dan
bersatu dalam satu bangsa sahaja iaitu Melayu Tawau. Inilah yang
difahami oleh orang-orang Melayu Tawau dan mereka telah membuktikannya
dengan menubuhkan PKMT iaitu PERSATUAN KEBANGSAAN MELAYU TAWAU pada 1945 dan juga seterusnya menubuhkan PERSATUAN ISLAM TAWAU ( PIT ) pada tahun 1956. Rujuk : Buku ' Tawau : The Making of a Tropical Community : tulisan Ken Gotlet : Terbitan Opus Publication 2009
Oleh kerana agama Islam menjadi tunjang kepada kehidupan masyarakat
Melayu Tawau, banyak aktiviti keagamaan menjadi amalan dan tradisi di
sini. Misalnya aktiviti kenduri tahlil atau di sini dikenali sebagai ' Kenduri Arwah' yang diadakan pada penghujung bulan Syaaban iaitu sebelum tibanya bulan Ramadhan. Selain itu, di sini juga diadakan amalan 'Bergunting Rambut'
iaitu untuk meraikan kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga. Ketika
majlis ini berlangsung adalah kemestiannya ialah diadakan Bacaan
Berzanji dan kemudian Bacaan Selawat secara berdiri dan setiap tetamu
digalakkan untuk menggunting sedikit rambut bayi yang diraikan. setiap
tetamu juga akan diberikan 'Bunga Telur' sebagai hadiah untuk dibawa pulang.
Bagi adat perkahwinan masyarakat Melayu Tawau, ianya sama seperti
masyarakat Melayu yang lain iaitu dimulakan dengan adat merisiḑk,
meminang, bertunang, akad nikah dan bersanding. Namun di Tawau, adat
membuat hantaran kahwin dikenali sebagai 'Adat Menghantar Jujuran'.
ketika majlis persandingan pula, pihak lelaki akan diarak beramai-ramai
dengan perarakan yang dibawa bersama 'bunga manggar' dan paluan kompang
ke rumah pihak perempuan untuk acara majlis persandingan. Pihak lelaki
juga akan ditabur degan 'beras kunyit' ketika sampai di rumah pihak perempuan.
Pakaian Tradisi orang-orang Melayu juga sama seperti Melayu di
Semenanjung, Brunei dan di Sarawak iaitu pakaian Melayu ( cekak Musang
atau Teluk Belanga ), bersamping dan bersongkok manakala wanitanya pula
berbaju kurung atau baju kebaya. Di sini , wanita juga memakai kain songket Arab dan memakai kain batik Jawa
kerana budaya Arab dan budaya Jawa juga sedikit mempengaruhi budaya
masyarakat Melayu di sini sejak ratusan tahun. Di sini, lelakinya juga
biasa berkain pelikat atau kain sarung dan 'Berbaju Selangur' iaitu nama panggilan melayu Tawau kepada Baju Melayu.
Makanan tradisi di Tawau juga ada persamaan dan ada juga kelainannya. orang-orang Melayu Tawau begitu menggemari 'nasi kuning'
atau nasi kunyit yang dimakan bersama ikan sambal dan serunding kelapa
ketika sarapan pagi. Masakan lauk pauk dan gulainya pula mungkin
dipengaruhi dari Arab dan India seperti ikan dan ayam yang dimasak gulai masak putih,
gulai masak kurma dan gulai masak kari. Selain itu, makanan kampung
yang agak popular di kalangan masyarakat tempatan seperti gulai rebung,
nangka atau jantung pisang masak lemak, gulai nenas masak paceri, kerabu pucuk ubi( urap ), kerapu pucuk paku dan ikan sembilang asam pedas. Makanan kudapan tradisional yang digemari pula ialah keropok belinju, keropok tempeyek, cendol dan bubur kacang hijau bersagu. Selain itu, makanan Jawa, makanan Bugis,makanan Banjar dan makanan Melayu lain seperti gado-gado atau pecal, soto dan sate juga amat popular di sini. Kuih-muihnya pula ialah kuih baulu, kuih penyaram, kuih dodol, kuih wajik, kuih terang bulan, kuih karipap, kuih apam, kuih talam dan kuih onde-onde.
Pertuturan Melayu Tawau
Semua masyarakat Melayu di Tawau bertutur dalam bahasa Melayu loghat
tempatan. Walaupun ada persamaan yang ketara dengan bahasa Melayu yang
dipertuturkan di tempat-tempat lain namun terdapat juga sedikit
perbezaan. Contohnya sebutannya adalah lebih kepada sebutan Baku.
Misalnya sebutan 'kitaa',,'kamii' dan 'kauu'. Terdapat juga setengah
perkataan tertentu yang disebut dengan penambahan bunyi untuk menguatkan
perkataan tersebut. Misalnya sebutan 'bapak' dan 'tigak'. Manakala
perkataan lain yang tidak sama seperti bahasa Melayu lain pula ialah
seperti 'ndak' yang bermaksud 'tidak' dan 'mamak' yang membawa
maksud 'ibu' atau 'emak'. Dan sama seperti semua orang Sabah yang
bertutur dalam bahasa Melayu selalunya di hujung atau di tengah ayat
pertuturan biasanya akan ditambah dengan perkataan 'ba'. Misalnya 'mau kemana ba' , 'siapa ba namamu' atau 'manala ba aku tahu'.
Kehadiran Pendatang dari Indonesia dan Filipina
Kemajuan Tawau sebagai pusat pertanian ladang seperti koko, getah,
abaka suatu masa dulu dan terkini penanaman kelapa sawit telah menarik
minat ramai pendatang dari negara lain. Tawau adalah pintu masuk
terdekat untuk ke Malaysia bagi masyarakat pendatang Indonesia.
Kebanyakan pendatang Indonesia dari keturunan bangsa Bugis, bangsa Timor dan bangsa Toraja. Terdapat juga pendatang Indonesia yang berbangsa Jawa dan Butun yang datang ke Tawau. Manakala dari pendatang dari Filipina pula ialah daripada bangsa Visaya dan Tausuq.
Kaum pendatang ini bukan sahaja bekerja di ladang ladang tetapi juga
terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan. Misalnya, bangsa Toraja amat
dikenali dengan penanaman sayuran, bangsa Bugis dikenali dengan
perniagaan di pasar dan bangsa Suluk dikenali dengan gerai jualan jam
tangan dan barangan kulit.
Masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina ini bertutur dengan
bahasa Melayu dalam gaya dan loghat yang berlainan dengan loghat
masyarakat tempatan. Masyarakat bangsa Bugis misalnya masih menyelitkan
bahasa ibunda mereka dalam pertuturan harian. Begitu juga dengan
masyarakat bangsa lain seperti masyarakat bangsa Tausuq dan masyarakat
bangsa Timor. Cara hidup, budaya dan adat resam mereka juga agak
berlainan. Mereka mengamalkan cara hidup dan budaya dari kampung
kelahiran asal mereka. Misalnya, majlis perkahwinan dan kenduri
masyarakat pendatang ini adalah mengikut tradisi bangsa masing masing.
Walau bagaimana, banyak di kalangan telah pun memilih untuk mengamalkan
adat dan budaya Melayu tempatan Tawau setelah lama bersama-sama hidup
dengan masyarakat tempatan di Tawau ini. Banyak di kalangan mereka telah
pun diberi taraf kerakyatan Malaysia. Rujuk : Daftar Banci Imigresen
2000
Rujukan
- Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau dan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah
- Muzium Negeri Sabah
No comments:
Post a Comment