29 June 2013

Shisha Haram

 

KANGAR -- Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di sini Jumaat, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.
Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.
Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.
"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.
BERNAMA
 
kredit:bb

No comments: