Professor Madya Dr. Ammar Fadzil – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Islam menerusi al-Qur’an dan Sunnah merupakan agama yang bersifat
universal dan komprehensif. Ia bukan sahaja meliputi aqidah, shariah
dan akhlak tetapi juga meliputi pendidikan keluarga dan anak-anak.
Ibubapa mempunyai kedudukan yang tinggi pada pandangan masyarakat dan
agama. Fungsi ibubapa dalam membentuk anak-anak sukar dicari ganti.
Melalui mereka anak-anak mengenal kasih sayang, nilai-nilai kehidupan
dan erti kasih sayang. Islam sendiri menuntut supaya ibubapa diberikan
kedudukan yang tinggi dalam institusi keluarga dan masyarakat. Arahan
berterimakasih diletakkan pada tempat yang pertama selepas ibadah
kepada Tuhan kerana perngorbanan insaniah yang tidak berbelah bagi
begitu juga keutamaan memberikan bantuan didahulukan ibubapa di atas
yang lain. Ibubapa merupakan salah satu elemen tanpanya tidak wujud
apa yang dipanggil masyarakat atau komuniti manusia. Ia berterusan
membekalkan generasi baru kepada masyarakat. Mereka memainkan peranan
yang amat penting dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia masa
hadapan. Baik dan buruk tamadun yang dilahirkan adalah ditentukan
oleh ibubapa selain dari faktor-faktor utama seperti suasana dan sistem
pemerintahan. Perubahan dan permasalahan yang sentiasa berlaku dewasa
ini menghasilkan cabaran yang getir kepada ibubapa dalam memastikan
peranan mereka sebagai pembentuk tamadun manusia dapat ditunaikan
dengan sempurna. Kertas ini tidak dapat mengupas dan menjawab segala
persoalan yang terbuku namun diharapkan dapat memberikan input yang
berguna kepada konvensyen yang diadakan pada hari ini.
Mengikut Islam peranan ibubapa amat besar. Merekalah yang
bertanggungjawab ke atas masa hadapan anak-anak. Peranan mereka sebagai
pembina utama dan pertama anak-anak sukar dicari penggalang ganti.
Mereka bertanggungjawab memperkenalkan kepada anak-anak nilai kasih
sayang, erti kehidupan dan keperluan kepada pengorbanan dalam menunaikan
tanggungjawab. Dalam sebuah hadis disebut “Setiap anak dilahirkan di
atas fitrah, maka kedua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, atau
Nasrani atau Majusi” Fitrah di sni bermaksud Islam oleh itu setiap
anak-anak dilahirkan sebagai seorang Muslim maka ibubapanya yang
bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak
tersebut kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak tersebut
tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan
menjejaskan fitrah kejadiannya.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari “Orang lelaki adalah penjaga ke
atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan
perempuan penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya dan dia
bertanggungjawab terhadap mereka.”
“Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak” (Riwayat Muslim)
Ibubapa bukan sahaja berfungsi sebagai ejen penambah zuriat manusia
dan memperbanyakkan umat Islam dalam konteks agama Islam, mereka bukan
sahaja menginginkan zuriat yang mewarisi perjalanan hidup mereka dan
melahirkan anak soleh malah lebih daripada itu mereka berfungsi sebagai center pusat yang melahirkan generasi atau jil yang meneruskan kecemerlangan umat Islam sebagai ummattan wasatan
ummat terbaik ummat contoh kepada seluruh manusia surah al-Baqarah
ayat 143 “dan demikianlah Kami jadikan kamu ummat pertengahan…”
Tujuan pertama dan kedua lebih bersifat kepentingan individu tetapi
tujuan ketiga bersifat universal dan lebih berkemasyarakatan.
Kesemua ibubapa secara naturalnya menginginkan anak-anak yang soleh
“..Jika sekiranya engkau memberi kami anak yang soleh tentulah kami akan
selalu bersyukur” (al-A`raf ayat 189) dan di dalam hadis riwayat
Muslim “apabila mati anak Adam terputus darinya melainkan tiga perkara
anak soleh, ilmu bermanfaat dan sadaqah jariah”
Di dalam surah al-Furqan ayat 74 “Ya Tuhan kami anugerahkan keapda
kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan
jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa” manakala surah Maryam
ayat 6 “yang akan mewarisi aku…” Al-Qur’an seterusnya dengan tegas
mengingatkan ibubapa akan tugas mereka yang amat penting seperti yang
disebut dalam surah al-Tahrim ayat 6 “Wahai orang-orang yang beriman
perliharalah diri-diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka” dan di
dalam surah al-Anfal ayat 28 ibubapa juga diingatkan supaya berwaspada
dengan keluarga dengan firmannya “Sesungguhnya harta-harta kamu dan
anak-anak kamu adalah ujian” ujian yang menguji ibubapa adakah mereka
menunaikan tanggungjawab dan memberikan kepada anak-anak hak mereka yang
sepatutnya.
Oleh itu ibubapa mestilah menyedari dan memahami kepentingan tiga
perkara ini; penyambung zuriat, anak soleh dan generasi ummatan wasatan
dan menganggapnya sebagai satu tugas dan amanah yang dipikulkan ke
atas mereka oleh agama mereka. Mereka mesti menganggap ianya sebagai
satu amanah besar yang mesti dipikul dan ditunaikan serta tidak boleh
dipertanggunggjawabkan kepada pihak lain. Jikalau kita hendak menjangkau
kepada peranan yang lebih luas iaitulah memastikan bahawa anak-anak
tersebut mampu menyambung kesinambungan tamadun ummat manusia. Tetapi
apakah syarat-syarat kesinambungan tersebut?
Malik Bennabi seorang pemikir Islam terkenal berbangsa Algeria menyatakan dalam bukunya Mushkilat al-Hadarah Shurut al-Nahdah (Permasalahan Tamadun Asas-asas Kebangkitan)[1] bahawa tamadun mempunyai tiga unsur utama: manusia, tanah[2] yang diduduki dan masa yang dimiliki oleh manusia.[3]
Manusia menurutnya berhadapan dengan berbagai masalah yang berbeza
antara satu dengan lain. Ia berkait rapat dengan individu dan
organisasi masyarakat. Individu mempunyai tiga peranan utama yang
bakal mencipta tamadun dan sejarah masa hadapan: halatuju, budaya dan
harta.[4]
Halatuju mestilah jelas dan menampakkan kesatuan fikiran dan tujuan,
budaya mestilah mampu menggabungkan elemen masa lampau dan masa hadapan
meninggalkan yang negatif dan mengambil yang positif yang semestinya
berpaksi dan bersumberkan wahyu. Budaya dalam erti yang luas ialah
himpunan sifat-sifat akhlak dan nilai kemasyarakatan yang diterima
oleh individu seawal kelahirannya di alam nyata.[5]
Teori Malik Bennabi ini memperlihatkan kepada kita betapa besarnya
tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap individu masyarakat dan
tidak terkecuali mereka yang dipanggil ibu bapa.
Kepentingan menitik beratkan pembangunan anak-anak merupakan amalan
yang dipelopori oleh ulama-ulama Islam sejak zaman silam berasaskan
ajaran Islam bersumberkan Qur’an dan Sunnah. `Uqbah bin Abi Sufyan
ketika menghantar anaknya kepada seorang guru berpesan beliau kepada
guru tersebut dengan kata-katanya : “Hendaklah perkara pertama ketika
engkau memperbaiki anakku ialah memperbaiki dirimu, sebab matanya akan
menurut matamu, yang baik pada mereka ialah apa yang engkau pandang
baik, yang buruk di sisi mereka ialah apa yang engkau pandang buruk,
ajarkan mereka jalan kehidupan orang bijak pandai, tunjukkan akhlaq
orang-orang mulia, engkau boleh mengancam dia dengan diriku, pereloklah
perilakunya tanpaku, jadilah seperti seorang doktor yang tidak
memberikan ubat sebelum mengetahui penyakitnya, janganh engkau sampai
cuai kerana kekurangan yang ada padaku sebab aku telah menyerahkan dia
atas kesempurnaan yang ada padamu.” Pada zaman khalifah Abbasiah
al-Mansur, beliau telah menghantar seorang utusan ke penjara bertanyakan
banduan-banduan penjara apakah yang kamu rasa berat dari apa yang kamu
rasakan sekarang. Jawapan yang diterima ialah : tiada apa pun yang
kami rasakan amat pedih selain daripada kami terhalang untuk mendidik
anak-anak kami.”
Cabaran Masa Kini
Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam
mendidik anak-anak. Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar
dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani,
ruhani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan
kepada ibubapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan menambahkan
pendapatan memerlukan kedua ibubapa bekerja telah mengurangkan masa
bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka terpaksa mencari alternatif
lain seperti mengambil pembantu rumah, menghantar anak-anak ke pusat
asuhan atau ke sesi persekolahan tambahan untuk memastikan kepentingan
pendidikan anak-anak terjaga. Kewujudan masalah sosial juga turut
merunsingkan ibubapa. Gejala dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam
aktiviti-aktiviti maksiat merupakan fenomena yang mencemaskan ibubapa.
Tambahan pula media menyiarkan sitcom yang boleh menyumbangkan kepada
penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.
Sebagai contoh mengikut kajian yang dilakukan oleh Hashim Bedu dan
rakan-rakannya Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran
jenayah syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun.
Mereka mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut :
perasaan ingin tahu dan mencuba, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media
massa dan sikap keluarga, ibubapa mengamalkan sikap terlalu mengongkong
dan mengabaikan pendidikan rohani dan agama. Nooh Gadot dalam kertas
kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti
menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan
cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku
perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibubapa
kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau
menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan
luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan
ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model dalam
keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana
keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan
ahli keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah
penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan
tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah akhlak,
pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian
dengan ibu bapa.
Sheikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam[6]
menyenaraikan punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada
kemiskinan, pergaduhan sesama ibu dan bapa, perceraian yang mengundang
kesusahan kepada ibu yang menjaga anak-anak, masa lapang yang tidak
terisi, pengaruh rakan-rakan, diplomasi buruk ibu bapa kepada anak-anak
dan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak. Kemiskinan akan mendorong
kanak-kanak keluar dari rumah mencari wang untuk keperluan dirinya
yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-sarang penjenayah natijahnya
akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya
penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya
di hadapan anak-anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak
gembira. Perceraian ibu bapa kebiasaannya menyebabkan anak-anak
kehilangan bapa dan memaksa ibu-ibu keluar mencari nafkah. Maka
anak-anak yang sudah kehilangan bapa akn terasa kekurangan masa bersama
ibu mereka lantas mereka akan mencari alternatif untuk mengisi
kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu juga jika anak-anak
mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak memenuhi masa
anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan
mempengaruhi kanak-kanak mengisi masa mereka mengikut cara mereka
sendiri. Islam memberi peringatan yang keras tentang kesan negatif yang
bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan seperti dalam ayat
28-30 surah al-Furqan “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim
menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku
mengambil jalan bersama-sama Rasul”. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya
aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya
dia telah menyesatkan aku dari Al Qur’an ketika Al Qur’an itu telah
datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia.”
Sabda Nabi: “Seseorang itu bergantung kepada agama saudaranya maka
hendaklah dia melihat ssiapa yanag menjadi saudaranya”. Sikap ibu bapa
dan cara diplomasi mereka yang tidak berhikmah menyebabkan anak-anak
menjadi tertekan dan beremosi kerana anak-anak juga manusia yang
diberikan akal yang mampu berfikir dan boleh menilai lantas mereka akan
mempersoalkan sikap ibu bapa mereka yanag tidak rasional. Kanak-kanak
berkemungkinan mengambil jalan pintas melawan ibu bapa, lari dari rumah
dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah satu ketika Umar
ibn al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan
tanggungjawabnya “Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka
sedangkan kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk
kepadanya sebelum dia berlaku buruk kepadamu”. Ibu bapa yang tidak
mendidik anak-anak menjadikan anak-anak mereka seolah-olah tidak beribu
bapa ibarat anak-anak yatim. Benarlah kata penyair Arab “bukanlah
yatim itu mereka yang ayahnya tidak menanggungnya dan meninggalkannya
sesungguhnya yatim itu ialah ibunya yang sibuk dan ayahnya yang sibuk”.
Ibu bapa perlu menjadi seperti seorang peladang yang sentiasa
mengambil berat terhadap benih pokok yang disemainya Dia perlu
menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan duri-durinya dan
memotong ranting-ranting yang patah. Dia perlu memastikan benih
tersebut dapat menghasilkan buah masak dan ranum. Jangan jadikan
anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan angin ibarat debu
beterbangan di udara.
Dr Muhammad Sayyid Yusuf dalam bukunya Manhaj al-Qur’an fi Islah al-Mujtama`
menyenaraikan sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama:
berpaling dari ajaran agama, tertipu dengan godaan syaitan dan
perancangan jahat musuh yang ingin melihat kehancuran umat Islam.
Musuh Islam terutamanya Yahudi mengganggap antara kekuatan umat Islam
terletak kepada keutuhan institusi keluarga oleh itu mereka menjadikan
matlamat mereka antaranya meruntuhkan kehidupan berkeluarga dan
merosakkan sistem pendidikannyya. Oleh itu sebahagian besar
program-program media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-unsur
dan budaya-budaya negatif yang boleh mempengaruhi nilai akhlak anak-anak
dan remaja.
Sebaliknya budaya mulia yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja sebagai jil dan generasi masa hadapan future generation
ialah seperti yang ditegaskan oleh Malik Bennabi ialah budaya yang
bersumberkan wahyu kerana ianya merupakan suatu yang quddus dan
datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif Islam, budaya terdiri dari
tiga unsur aqidah, ibadah dan akhlak oleh itu semesti ketiga-tiga
perkara ini diberikan penekanan dalam pembentukan personaliti anak-anak.
Tuntutan materialisma masakini mempengaruhi ibubapa memberikan
tekanan kepada anak-anak untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang
akademik lantas mengabaikan aspek spriritual atau keagamaaan maka
lahirlah anak-anak yang cemerlang akademik tetapi kosong jiwanya, remaja
cemerlang tetapi runtuh akhlak. Sepatutnya kecemerlangan akademik
mestilah diimbangi dengan kecemerlangan spiritual spiritual excellence. Islam melalui al-Qur’an dan Hadith menuntut supaya keseimbangan atau balance
dalam semua aspek kehidupan, bukan sahaja aspek material tetapi
kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh itu peranan ibu bapa pada
masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang dituntut dalam Islam.
Hadith Nabi ada menyebut bermaksud barangsiapa bersabar dalam
membesarkan anak-anak perempuan maka baginya balasan syurga.
Penyelesaian Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak
Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan
yang perlu dimainkan oleh ibubapa dalam mengatasi masalah dan
menangani cabaran yang dihadapi. Anak-anak perlu diberikan kefahaman
tentang peranan dan tujuan utama mereka berada di alam maya ini.
Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi keseronokan yang bersifat
sementara tetapi memahami dan menghayati kedatangan mereka seperti yang
disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam risalahnya Qimah al-Insan wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam
adalah untuk beribadat, membangunkan bumi Tuhan dengan sebaiknya dan
menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu ada tiga perkara utama
yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa anak-anak iaitu
pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak mulia.
Selain daripada tiga perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil kira
aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya. Secara umumnya
aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada aspek iman, akhlak,
jasmani, minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi.
Ciri-ciri Pendidikan Dalam Islam
Sebelum kita berbicara mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang
perlu dititikberatkan oleh ibu bapa terlebih kita merenung apakah yang
dimaksudkan dengan pendidikan dan apakah ciri-ciri pendidikan Islam.
Definisi dan Aspek Pendidikan
Pendidikan dari segi bahasa ialah membina, memperbaiki dan
menyempurnakan. Dari segi teknikal ia bermaksud membina fungsi badan,
akal, akhlak sehingga sempurna melalui latihan dan pembudayaan. Di
dalam Islam pendidikan bermaksud mempersiapkan individu Muslim yang
beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan akhlak Islam dari segi
hati, ruh, jasad, akal, akhlak dan sikap.[7]
Untuk memahami konsep pendidikan dalam Islam terutamanya al-Qur’an
dan Hadis memerlukan kita meneliti keseluruhan isi kandungannya.
Al-Qur’an dalam surah al-Mu’minun umpamanya memasukkan elemen tawhid.
Ibadat, akhlak, menjaga kehormatan diri dan tanggungjawab kepada
masyarakat melalui sistem zakat dan penjagaan amanah. Surah al-Furqan
menyebut takwa, takut kepada azab neraka, bersedekah, memelihara
kehormatan diri dan memberikan kesaksian yang adil sebagai ciri-ciri
peribadi unggul.
Pendidikan Islam akan dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita
memahami ciri-cirinya. Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang
bermaksud ianya dari Allah. Ini merangkumi dua perkara iaitu sumber dan
tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan kita bahawa sumber
pendidikan Islam tertinggi ialah al-Qur’an dan Hadith dan bukannya
bersumberkan akal dan nafsu manusia. Manusia tidak mencipta asas-asas
pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami dan
menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan pendidikan.
Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud mengukuhkan ikatan hubungan
dengan Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah al-Inshiqaq bermaksud
“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras untuk menemui
Tuhanmu maka kamu akan menemuinya”.
Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan
komprehensif. Tidak ada kekurangan dalam sistem pendidikan Islam kerana
ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu Qur’an dan Hadith. Ia
meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada tiga prinsip
utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan dan
ibadah kepada Allah.
Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara
akhlak individu dan masyarakat dan negara manakala ciri keempat ialah
komitmen iaitu pendidikan Islam bukan terletak pada teorinya sahaja
tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan kerana perlaksanaan
merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat. Ciri
terakhir ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan.
Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya
sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.
Secara umumnya sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak
mestilah bermula dari zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata
lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak
dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana
yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat
membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai
perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan
dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan
pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan
fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan
penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.[8]
Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar
perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun
pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan
mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih
dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi
kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan
intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun
manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika
kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi Barat
Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya
di masa hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori
pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada
anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam membahagikan
pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga
peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau
11 dan dari 11 sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari.
Mengikut Dr al-Mabruk Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba’ fil Islam
peringkat sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri,
persediaan mereka untuk bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat
biologi iaitu melahirkan anak tetapi turut bersifat
kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan
bapa. Suasana yang kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa
berdasarkan kepada kemampuan supaya unsur-unsur positif dapat dimasukkan
dan unsur-unsur negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh
merosakkan anak-anak semasa dalam kandungan sebagai contoh merokok dan
meminum arak semestinya dihindari sesuai dengan tanggungjawab mereka
yang besar sehingga dirakamkan pengorbanan ibu dalam al-Qur’an. Dalam
surah Luqman ayat 14 “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik)
kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan
lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun .
Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah
kamu kembali.” Pemilihan pasangan suami isteri yang baik dan menepati
kehendak agama akan menjadikan perkahwinan itu satu medan di mana ibu
berperanan sebagai sebuah sekolah yang menjaga dan mendidik anak-anak
manakala bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan-keperluan yang
diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh kedua belah pihak suami dan
isteri akan memudahkan tugas dan amanah mendidik anak-anak menjadi
mudah dan bersistematik. Islam menekankan pemilihan pasangan mestilah
berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya anak-anak yang
dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang
mulia. Umar ibn al-Khattab suatu ketika pernah berkata sebagai
menjawab soalan apakah hak seorang anak ke atas bapanya “hendaklah ia
memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok dan mengajarnya
al-Qur’an.”
Pendidikan Iman
Iman merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan.
Kanak-kanak sebaik saja dapat memahami mesti diajar asas-asas iman,
rukun-rukun agama dan prinsip shariat Islam. Kanak-kanak mesti diajar
kefahaman jelas tentang Islam, diajar mengenal Tuhan dan Rasul diajar
supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan sistem
kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan dalam
kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Qur’an begitu menitik beratkan
pemantapan dan pengukuhan aqidah serta pembersihannya dari segala unsur
negatif yang bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah yang benar
menjamin kepada manusia tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang
konsep kewujudan alam dan manusia. Penyelewengan aqidah akan membawa
kepada penyelewengan ibadat dan adat serta kerosakan akhlaq individu dan
masyarakat. Mengikut Sayyid Sabiq “bencana pertama yang menimpa
masyarakat Islam ialah kelemahan aqidah. Kelemahan aqidah membawa
kepada kelemahan individu, keluarga, masyarakat, negara dan segenap
cabang kehidupan.” Iman yang dituntut kepada setiap individu dan yang
diajar kepada anak-anak mestilah iman yanag sebenar seperti yang
diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan oleh Rasulnya. Anak-anak mestilah
diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa kerumitan supaya timbul di
dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan Rasulnya. Apabila
mereka sudah kenal dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka menerima
dan mempraktiskan segala ajaran dan arahan agama yang datang dari
Tuhan dan Rasul. Individu tanpa agama dan iman ibarat sehelai bulu yang
beterbangan di udara, ianya tidak akan tetap dan tidak mengenal hala
tuju dan tidak akan berhenti di satu destinasi yang tetap. Iman yang
mantap dan benar akan menggerakkan anak-anak dan individu untuk
beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang baik.
Iman tidak sempurna tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman.
Al-Qur’an sering mengaitkan iman dengan amal sebagai satu benda yang
saling bertaut rapat ibarat pepatah melayu aur dengan tebing. Amalan dan
perbuatan yang baik akan melahirkan nilai dan kesan yang positif.
Al-Qur’an menegaskan sebagai contoh amalan solat dan zakat akan
menghalang seseorang dari melakukan kejahatan dan membersihkan diri dari
sifat-sifat keji.
Islam mengarahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang
apabila berusia tujuh tahun. Kepentingan solat selain daripada ianya
sebagai tiang agama, ia berupaya menanam dalam diri anak-anak pengertian
taat, penyempurnaan haq Tuhan, bersyukur, berserah kepada Tuhan, dan
pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak. Kata Imam al-Ghazali : “Anak-anak
ialah amanah, hatinya yang bersih ibarat satu jawhar, jika dibiasakan
dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat jika dibiasakan dengan
kejahatan rosak dan binasalah dia”
Pendidikan Akhlak
Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai
akhlak yang perlu diajar kepada anak-anak sebaik sahaja mereka boleh
memahami dan mencapai umur tamyiz (discernment). Dimaksudkan
dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah tingkah laku yang dilakukan
oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep akhlak dalam Islam
ialah ianya mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang individu.
Sebagai Muslim ia sedar bahawa segala perbuatannya baik atau buruk jika
tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti mendapat balasan di
hari kemudian. Dalam surah Ahzab ayat 21 “Sesungguhnya telah ada pada
(diri) Rasulullah itu seri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang
yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia
banyak menyebut Allah”
Kanak-kanak yang terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih
kepada Tuhan dan Rasul akan mendapati pada dirinya kesediaan untuk
melakukan segala perkara yang bersifat positif dan akan menolak segala
perkara yang bersifat negatif. Dia akan sentiasa merasakan bahawa Tuhan
bersama dia, melihat dan menyaksikan segala perbuatan dia. Kaitan
akhlak dengan agama bukan sahaja konsep Islam tetapi ianya diakui oleh
bukan Islam. Ghandi sebagai contoh menyatakan : “Sesungguhnya agama dan
akhlak satu benda yang satu dan tidak dipisahkan…Agama ibarat ruh bagi
akhlak dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama” Kant menyatakan :
“Tidak ada akhlak tanpa tiga kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari
Pembalasan”.
Akhlaq berperanan sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi
unggul dan juga pembinaan keluarga dan masyarakat yang bertamadun.
Tidak mungkin kita dapat melihat suatu masyarakat contoh dan mithali
yang saling bertoleransi, memahami, aman tetapi kosong nilai-nilai
akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga individu.
Dewasa ini masyarakat Islam dan Melayu khususnya berhadapan dengan
berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru pendapat pakar psikiatri
mengatakan remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan dengan
masalah sehinggakan sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya
disebabkan cinta tidak diterima kekasih.[9]
Jika hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan masalah
akhlak remaja amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada
orang tua mereka tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera
sehingga peringkat membunuh orang tua mereka. Perkara ini tidak akan
berlaku jika remaja tersebut diberikan tembok iman, ilmu dan akhlaq
yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang masyhur: Innama al-umam al-akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat akhlaquhum dzahabu (suatu ummat akan kekal bersama akhlaqnya; bila akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya).
Dalam pembikinan akhlaq anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada
akhlaq luaran tetapi dalaman atau rohani dan spiritual mesti
dititikberatkan. Imam al-Ghazali, pemikir Islam agung silam menekankan:
“Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan memperlihatkan kesannya
pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota badan tidak akan
bergerak melainkan mengikut kehendak hatinya.” Oleh itu pembentukan
karektor anak-anak tidak boleh ditumpukan hanya kepada kecerdasan akal
sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan juga spiritual.
Anak-anak mesti diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar,
bersyukur dan diajar akhlaq bermasyarakat seperti benar, penyantun,
amanah, toleransi, merendah diri dan menepati janji. Sabda Nabi :
“Keajaiban bagi seorang Muslim dalam urusannya, sesungguhnya semua
urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah untuk mukmin sahaja. Jika
berada di dalam kegembiraan dia bersyukur, jika ditimpa musibah dia
bersabar” (Riwayat Muslim)
Memandangkan pendidikan dalam Islam menitik berat pemerhatian observation
sepatutnya ibu bapa dalam aspek pendidikan akhlak memandang serius
empat isu utama : bercakap bohong, mencuri, mencela dan menyeleweng dari
ajaran agama.
Keempat perkara tersebut merupakan antara perkara utama yang dilarang
oleh Islam dan banyak ayat Qur’an dan Hadith Nabi yang melarang keras
perbuatan tersebut. Sebagai contoh dalam kes bohong Nabi ada menyebut :
“Jauhilah kamu membohong, sesungguhnya membohong membawa kepada
kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka, dan adalah hamba itu
berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah mengecapnya sebagai
pembohong.” (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi terdapat fenomena
di mana ibu bapa sering menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap
anak-anak dengan berbohong walaupun tujuan mereka ialah untuk melakukan islah
atau pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Abdullah
bin `Amir bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah berada
bersama mereka. Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu
hendak berikan kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji
tamar. Rasulullah menjawab “Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu
engkau akan dicap sebagai pembohong.”
Islam meletakkan beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya :
tidak mengikut budaya asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma,
mendengar muzik atau nyanyian yang melalaikan, menyerupai wanita,
bertabarruj dan melihat benda yang haram.
Oleh itu dapat disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas
jika ibu bapa mengambil mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya
kepada perkara-perkara berikut seperti yang disebut oleh Abdullah
Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati pergaulan anak-anak, tidak menapis
rancangan tv dan filem, membenarkan mereka membaca majalah-majalah yang
tidak sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan pakaian dan aurat
anak-anak, tidak mengawasi pergerakan mereka ke dan pulang dari sekolah
serta perpustakaan kecil mereka. Kata pujangga “Bagaimana kamu
menangisi keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah pergi
dia tetapi apakah yang kamu lakukan?”
Pendidikan Jasmani
Kanak-kanak semasa dalam proses pembesaran sehingga ke peringkat pra
sekolah perlu diberikan pendidikan jasmani bertujuan membina dan
memantau perkembangan fizikal. Oleh itu, antara perkara-perkara yang
berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam Qur’an dan hadith seperti
kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem pemakanan dan rehat yang
baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur hendaklah dia
berwudu’ dan berbaring ke kanan dan membaca doa. Selain daripada
perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari sebarang penyakit
dan perlulah mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan
konsep yang disarankan dalam hadis “La darar wa la dirar” tidak ada
kemudaratan dan memudaratkan, membiasakan anak-anak dengan
aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan fizikal dan gemarkan mereka
dengan kehidupan yang bersifat berani dan berjuang seperti dalam hadis
“Berikan perhatian kepada perkara yang bermanfaat, pohon pertolongan
dengan Allah dan janganlah kamu menjadi lemah”.
Kepentingan jasmani diisyaratkan dalam Qur’an dalam surah Yusuf ayat
11-12 “Biarkanlah dia (Yusuf) pergi bersama kami esok pagi, agar dia
(dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami
pasti menjaganya.” Keinginan naluri kanak-kanak untuk bermain
dieksploitasi sepenuhnya oleh saudara-saudara Yusuf untuk memujuk ayah
mereka memberikan keizinan untuk Yusuf keluar bersama abang-abangnya.
Dalam sunan Tirmidhi “permainan kanak-kanak memberikan kekuatan kepada
akalnya semasa dewasa.
Sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak
kecil semestinya dibiarkan belajar berjalan dengan sendiri tanpa
dipaksa kerana paksaan akan menjejaskan kekuatan tulang kaki. Apabila
seorang anak bangun dari tidur dia mestilah dimandikan kemudiannya
dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya diberikan sedikit makanan,
kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas daripada itu
diberikan makanan. Imam al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu
dibenarkan bermain selepas belajar untuk menghilangkan penat. Mencegah
mereka dari bermain dan memaksa mereka belajar sepanjang ahri akan
mematikan hati dan menganggu kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap
dan memahami arahan anak-anak perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab
makan dan minum.
Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala
tindakan mereka yang boleh merosakkan tubuh badan dan kesihatan
perlulah dilarang. Di sini kita dapat melihat sebahagian ibu bapa yang
tidak bertegas dan membiarkan anak-anak mereka melakukan
kegiatan-kegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi kesihatan
bahkan juga merugikan wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan
pergaulan bebas akan mengundang berbagai masalah kesihatan dan sosial.
Di sini saya suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap lebih tegas
dalam mewujudkan zon bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia
zero smoking. Program-program hiburan perlu dikemaskinikan supaya
elemen-elemen yang baik dipaparkan dan elemen-elemen negatif yang
menggalakkan anak-anak kepada pergaulan bebas mestilah dimonitor dengan
serius.
Pendidikan Minda dan Aqal
Di dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation
tidak dapat dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai
corak kehidupan anak-anak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda
atau aqal di sini ialah membina fikiran anak-anak supaya mereka
mengenal ilmu-ilmu bermanfaat, budaya ilmu, pola-pola pemikiran dan
tamdaun sehingga berkembang fikiran dan berilmu. Ia juga bermaksud
pengetahuan dan juga skil yang bukan sahaja perlu ada pada anak-anak
sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu-ilmu
asas dan skil dalam membantu dan merangsangkan proses pembelajaran dan
pendidikan anak-anak. Antara kerosakan akhlak anak-anak adalah
berpunca daripada kecuaian memberi pendidikan.[10]
Anak-anak perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu agama dan ilmu
duniawi. Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi
sebagai memenuhi tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan
pendidikan terbantut atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap
anak-anak. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah sebahagian dari
remaja yang bermasalah adalah dari kalangan mereka yang terpinggir dari
arus pembangunan dan perkembangan ilmu. Pengajian mereka tersekat
setakat sekolah menengah dan masa remaja mereka terdedah kepada
gejala-gejala tidak sihat.
Ada tiga perkara pokok yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal
anak-anak iaitu tanggungjawab memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam
dan kesihatan mental.
Dalam proses pendidikan ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang
dianggap fardu ain dan fardu kifayah dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu ilmu apa yang perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak. Di sini konsep tadarruj atau gradual
beransur-ansur perlu dipraktiskan kerana kanak-kanak tidak mampu
menerima semuanya pada satu waktu. Mewujudkan perpustakaan kecil di
dalam rumah adalah salah satu kaedah yang boleh merangsangkan minat
untuk membaca.
Penekanan yang serius tentang kepentingan ilmu inilah yang telah
mengangkat martabat umat Islam satu ketika dahulu sehingga diiktiraf
oleh bukan Islam. Seorang orientalis Belanda ada menyatakan : “Tidak
dapat dijumpai di Andalus seorang yang buta huruf sedangkan di Eropah
ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali golongan elit
sahaja.” H.R.Gibb menyatakan “melalui kajian yang mendalam (oleh
Muslim) metod penyelidikan meresap masuk ke Eropah pada zaman
pertengahan”.
Ibu bapa perlu membuat pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai
ilmu-ilmu fardu `ayn dan fardu kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran
anak-anak tentang pertaliannya dengan agama. Adakah kita boleh
berbangga apabila anak-anak kita mampu menceritakan tentang tamadun
Barat tetapi tidak berupaya menerangkan tentang tamadun Islam.
Ibu bapa perlu mengambil perhatian berat kepada persekolahan
anak-anak mereka bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan
menengah. Kemudahan sekolah, kurikulum dan ko kurikulum mestilah
dipantau supaya pembinaan peribadi anak-anak dan perkembangan ilmu
selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang dituntut dalam Islam.
Pendidikan Sosial
Menyedari kanak-kanak pada peringkat umur awal memiliki daya
keinginan untuk membuat keputusan dan pilihan sendiri ibubapa semestinya
sudah bersedia menanam di dalam diri anak-anak mereka nilai-nilai
sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti kasih sayang, berlaku adil
dan lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada Aishah bermaksud: Wahai
Aishah! Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan sukakan lemah
lembut (Riwayat Muslim).
Tidak dapat dinafikan kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada
kekuatan individunya. Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat
dengan sifat-sifat bermasyarakat yang berasaskan kepada pertama asas
personaliti yang baik seperti taqwa, persaudaraan, kasih sayang,
berkorban, pemaaf, berani bercakap benar, kedua menjaga hak orang lain
seperti hak ibu bapa, saudara, guru, kawan-kawan dan orang yang lebih
dewasa, ketiga komitmen kepada akhlak bermasyarakat seperti adab makan
dan minum, memberi salam, meminta izin, menghadiri majlis, berbual,
bergurau, mengucap tahniah, menziarahi orang sakit, mengucap tahniah dan
mendoakan orang yang bersin dan keempat bersikap mengambil berat iaitu
bersifat kritikal terhadap isu-isu sosial seumpamanya seperti sifat
menghormati pendapat majoriti dan menyuruh dengan kebaikan dan mencegah
kemungkaran.
Pendidikan psikologi dan emosi
Yang dimaksudkan dengan pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak
sebaik mereka mampu berfikir dan memahami sifat berani, keyakinan dan
ketenangan diri. Aspek ini merupakan aspek yang penting yang kadang
kala dipandang remeh oleh ibubapa. Perasaan gembira, suka, marah,
bermusuh dan takut adalah sebahagian dari keadaan yang menguji emosi
anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi ini ialah membentuk
peribadi anak-anak dan menanamkan keyakinan diri sehingga mereka mampu
berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan sifat-sifat
terpuji dan memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang boleh
mempengaruhi psikologi.
Dua faktor yang mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak
balasnya terhadap saudara-sauadaranya yang lebih tua dan kedua sikap
ibubapa yang tidak dapat difahami oleh anak-anak seperti sifat ayahnya
yang berubah dari penyayang kepada seorang yang bengis. Terdapat lima
perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak. Malu, takut,
rendah diri, dengki dan marah.
Perasaan malu dapat dikesan pada peringkat awal usia anak-anak.
Mereka malu untuk bertemu dengan orang yang mereka tidak biasa berjumpa
dan kadang-kadang sikap malu ini diwarisi dari ibu bapa mereka. Sikap
menyendiri dan tidak suka bercampur dengan masyarakat yang ditunjukkan
oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk menunjukkan sikap yang
sama. Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri, bergaul dengan
orang lain tetapi dalam keterbasan yang tidak menafikan dari diri
mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang Melayu dalam
menghormati orang-orang tua melarang anak-anak mereka dari duduk
bersama. Sikap seperti ini mungkin baik tapi dari segi yang lain akan
menyebabkan anak-anak besrikap terlampau malu dan segan sehinggakan
apabila mereka dewasa kelak tidak ada keyakinan diri dan tidak mampu
berhadapan dan berkomunikasi dengan penuh konfiden.
Perasaan rendah diri merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh
ketidaksempurnaan fizikal badan, bentuk pendidikan dan suasana ekonomi.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perasaan rendah diri iaitu
hina diri, membezakan antara anak-anak, kecacatan, keyatiman dan
kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan perkataan yang tidak
baik bagi menggambarkan kesalahan kecil anak-anak di hadapan
saudara-saudaranya seperti budak jahat, penipu, pemalas dan pencuri atau
memarahi anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap ibu bapa yang
terburu-buru dan mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak
memberontak, irihati, tidak hormat orang tua dan dendam. Bagaimana
mungkin kita mengharapkan mereka mempunyai sikap yang baik seperti taat,
kasih sayang dan menghormati orang tua jika kita telah membibitkan
dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif tersebut. Sepatutnya ibu
bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana bersesuaian dengan
kesalahan dan peringkat umur anak-anak. Di sinilah pentingnya
kebijaksanaan ibu bapa iaitu meletakkan sesuatu bersesuaian dengan
tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada Nabi selama sepuluh tahun
sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan mengherdiknya.
Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika yang lain dengan
panggilan yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai
anakku. Pernah satu ketika Anas diminta pergi ke kedai di dalam
perjalanannya dia berhenti untuk berjumpa dengan rakan sebayanya.
Tiba-tiba dia merasakan seseorang memegang bahunya lantas dia berpaling
dan mendapati orang tersebut ialah Nabi. Dia menyangka Nabi akan
memarahinya tetapi apa yang dia dengar ialah “Wahai anakku adakah kamu
dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusanmu”?
Perasaan takut dan marah ialah dua unsur negatif yang biasa melanda
kanak-kanak. Mengikut ahli psikologi kebanyakan perasaan takut
merupakan satu benda yang dihasilkan oleh diri manusia sendiri. Takut
terbahagi kepada tiga; takut secara semulajadi, resah dan fobia. Sikap
ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan dengan anak-anak atau
keruntuhan rumahtangga boleh menjadi penyebab kepada perasaan takut yang
akhirnya berkemungkinan akan mengganggu emosi kanak-kanak. Antara
nasihat Nabi ialah “Permudahkan jangan menyusahkan, tenangkan dan jangan
kecoh”. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan antara faktor yang
boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa malu.
Metod pendidikan Islam
Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan
Islam. Antaranya ibadah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah
kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan, membuat perbandingan,
targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan menggunakan
peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.
Ibadat
Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua
aspek jasmani dan rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan
insan dan pembinaan peribadinya amat berhajat kepada amalan-amalan dan
tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat seperti solat, zakat, puasa dan
haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada pada individu dan
masyarakat.
Contoh Tauladan
Manusia dan anak—anak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan
yang baik supaya mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai
ikutan. Terdapat anak-anak yang menjadikan artis-artis dan ahli-ahli
sukan sebagai idola dan pujaan mereka sedangkan mereka ini kosong
nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu memperkenalkan kepada anak-anak
bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang alim dan bijaksana sahaja
yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana akhlak mereka yang
tinggi.
Amr bi ma`ruf dan nahi munkar
Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu
metod yang baik dan berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri
anak-anak perasaan mengambil berat terhadap anggota masyarakat dan juga
menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan diri.
Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan
Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan
mengikut perkara yang dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut
datang dari orang yang dikasihinya. Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu
kena dengan tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah lembut pada
tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan
kesalahannya adalah hikmah.
Pengajaran dengan nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih
sayang seperti mana pesanan Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan
memperlihatkan kepada anak-anak betapa besarnya harapan ibu bapa kepada
anak-anak mereka.
Menyertakan senda gurau di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak,
menghilangkan jemu serta menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan.
Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah memintanya seekor unta
sedekah supaya dia menggunakannya untuk mengangkat barang-barang
rumahtangganya. Maka berkata Rasulullah Aku akan memberimu anak unta
untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu berkata Wahai Rasulullah! Apa
yang dapat aku buat dengan anak unta itu? Jawa Rasullullah Bukankah
unta itu melahirkan anak unta?
Bercerita
Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan
kesan di dalam jiwa dan tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini
digunakan oleh Qur’an dan hadith antaranya ayat 176 surah al-A`raf “Dan
ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka moga-moga mereka
memahami”. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik beradik yang
penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada
Allah.
Mendidik dengan pendekatan berdialog
Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita
secara dialog, cerita secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi
bertanya kepada para sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim
itu? Jawab Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih mengetahui.
Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin
yang lain dari lidahnya dan tangannya.
Targhib dan tarhib
Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib
membuat seseorang membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti
menceritakan kepada anak-anak balasan dan hasil yang baik jika mereka
berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak keburukan yang
bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh menggunakan
gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada
anak-anak.
Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik
Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan
yang baik dan dijauhkan dari mereka adat dan perbuatan yang keji.
Anak-anak perlu dibiasakan dengan menghormati orang tua, bersopan
santun, tidak pemarah dan dengki.
Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling
Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan
akhlak anak-anak. Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman
Hukuman
Mendidik anak-anak dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak
boleh dipandang ringan apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan.
Hukuman yang diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah
berbeza dan tidak sama dengan undang-undang dikenakan ke atas
masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan-pendekatan berhikmah
dalam menghukum anak-anak antaranya dengan memberikan nasihat dengan
lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah hadis “Hendaklah anda
bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras. Ibn
Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan
yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat,
jiwanya memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka
berdusta. Ibu bapa juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan
raut wajah yang tidak senang seperti memalingkan muka dari mereka,
menunjukkan perasaan marah. “Wahai Abu Dharr! Tidak patut engkau
mengatanya dengan menyebut ibunya. Sesungguhnya engkau masih
terpengaruh dengan cara-cara jahiliyyah” (al-Bukhari). Ibu bapa juga
boleh memulaukan anak-anak dengan cara tidak bercakap dengan mereka
untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin merupakan cara terakhir
seperti dalam hadis “Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang
seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah mencapai umur
sepuluh dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.”
Kesimpulan dan Cadangan
Pendidikan anak-anak merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan
dari ibu bapa. Ibu bapa terlebih dahulu perlu mencerminkan budaya
sihat dan tauladan yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak.
Anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa. Kita tidak mahu ibu bapa yang
ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Surah ayat 3-4 bermaksud
: “Wahai orang-orang beriman kenapa kamu kata apa yang kamu tidak
lakukan ? amatlah besar dosanya di sisi Allah sekiranya kamu mengatakan
apa yang kamu tidak buat” Syair Arab ada menyebut la tanha `an khuluqin wa ta’tiya mithalhu `aar `alaika idha fa`alta `azim.
Kerajaan dan pihak yang berwajib perlu memperbanyakkan dan
mempertingkatkan kualiti SA (Sekolah Agama) atau diubahsuai dan
mengukuhkan kurikulum pelajaran supaya menjadi seimbang dengan mengambil
kira potensi pelajar dan tuntutan arus perdana dan kewajipan agama.
[1] Malik Bin Nabi, Mushkilat al-Hadarah Shurut al-Nahdah, Dimashq, 2000.
[2]
Tanah mengikut Malik Bennabi ialah dari segi nilainya pada
masyarakat. Nilai tanah sesuatu tanah bergantung kepada nilai sesuatu
masyarakat tersebut.
[3]
Beliau melihat masa sebagai sebatang sungai bisu yang melalui setiap
masyarakat manusia yang kadangkala tidak disedari manusia. Hanya
sebahagian sahaja yang mengambil manfaat darinya. Beliau mempersoalkan
sikap masyarakat Islam Arab yang malas bekerja dan tidak menggunakan
waktu sebaiknya sedangkan masa merupakan suatu yang tidak dapat
dipisahkan dari tamadun.
[4] Malik Bennabi membincangkan harta sebagai satu modal sebagai satu respon kepada teori kapitalis.
[5]
Secara amnya istilah kebudayaan merujuk kepada segala hasil ciptaan
insan dalam usaha menyesuaikan dirinya bagi menghadapi keadaan alam
sekililingnya. Ianya juga sebagai pola-pola kehidupan.- zakaria setapa.
[6] Juzuk pertama.
[7] Dr Khalid Muhammad Muharram, Bina’ al-Shakhsiyyah min Khilal al-Tarbiyyah al-Islamiyyah.
[8] http://www.mindamadani.my/content/view/186/2/
[9] Kosmo, 10hb Jun 2009
[10] Keluarga Islam: Kemahiran Keibubapaan dan Cabran Semasa, Suntingan Azrina Sobian, IKIM, hlmn. 53.
No comments:
Post a Comment