23 February 2014

Kerja Kerana Gaji Atau Pahala


 

Teruja betul bila dengar ustaz cakap, semua orang yang bila dia tanya 'mengapa anda bekerja?' menjawab; "nak cari rezeki halal, nak cari nafkah untuk anak bini, nak dapat gaji" atau jawapan2 yang sewaktu dengannya. Tidak ada seorang pun yang menjawab 'saya bekerja kerana nak cari pahala'...

Lama juga  termenung memikirkan komen yang ustaz kata tu. Memang banyak maksud yang tersirat dalam komen itu. Ya... kita manusia disuruh oleh ALLAH untuk berusaha mencari rezeki yang telah ALLAH sediakan di atas muka bumi ini. ALLAH tidak menurunkan emas atau perak dari langit tetapi ALLAH memberi manusia akal dan kudrat tubuh badan untuk mencari rezeki yang ALLAH telah sediakan itu. 

Maka, di dalam mencari rezeki itu, manusia perlu berusaha iaitu bekerja. Dengan itu, bekerja itu adalah perintah ALLAH dan sekiranya kita melaksanakan perintah ALLAH dengan niat ikhlas dan cara yang betul mengikut syariatNYA, maka sudah pasti ALLAH akan memberikan balasan yang sewajarnya kepada kita iaitu rezeki yang halal dan juga pahala untuk bekalan di akhirat, kerana kita telah melaksanakan suruhanNYA. 

Apabila kita membuat satu (1) perkara tetapi mendapat dua (2) balasan, tidakkah itu menyeronokkan? Maka, tidakkah BEKERJA itu satu ibadah yang menyeronokkan?...

Namun, ramai di antara manusia ini yang tidak menganggap bekerja itu sebagai IBADAH. Maka terjadilah ramai orang bekerja hanya mendapat imbuhan duniawi tanpa mendapat sebarang pahala untuk bekalan akhirat kerana banyak kemungkaran yang berlaku ketika mereka melaksanakan kerja. Tambah terok lagi imbuhan yang diterima itu juga yang mungkin akan mengheret mereka ke neraka ketika di akhirat kelak.     

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita samada kita ini termasuk ke dalam gulungan yang manakah antara dua gulungan pekerja iaitu "Pekerja yang dapat gaji belum tentu dapat pahala tetapi Pekerja yang dapat pahala sudah tentu juga dapat gaji..."

Marilah kita jadikan "Bekerja sebagai IBADAH yang menyeronokkan".... Hindarkanlah segala kemungkaran yang mungkin kita lakukan ketika melaksanakan tanggungjawab kita semasa bekerja. Sesungguhnya ALLAH memberi rezeki pada tanggungjawab yang ditunaikan. Jika tanggungjawab yang ditunaikan dengan jujur dan ikhlas mengikut Syariat Islam yang diwajibkan, maka rezeki yang diperolehi adalah rezeki yang berkat. Namun, jika sebaliknya yang dilakukan maka sebaliknya jugalah yang akan berlaku. 

Jadi jangan salahkan orang lain atau masyarakat sekeliling sekiranya keluarga sesorang itu kucar kacir, tetapi tengoklah akan sumber rezeki yang menjadi darah daging dalam tubuh keluarga itu kerana walaupun secara zatnya makanan itu halal tetapi kalau sumbernya haram maka akan jadi haramlah makanan tersebut. Marilah kita fikir-fikirkan...

No comments: