Oleh: Muhammad Ariffin Tan Abdullah, Penulis Luar Jakim
Pokok bergigi makan serangga? Bukankah pokok hidup dengan mendapat makanan melalui proses fotosintesis serta menyerap air dan
galian dari tanah? Kali ini adik-adik akan dibawa meneroka jauh ke
Carolina, untuk melihat satu lagi keajaiban ciptaan Tuhan. Kita akan
berkenalan dengan pokok Venus’ Flytraps.
Pokok Venus’ Flytraps (Dionaea muscipula) ini termasuk dalam kumpulan
tumbuhan insectivorous (carnivorous) atau tumbuhan yang memakan
serangga. Terdapat 595 spesis tumbuhan ini di seluruh dunia. Ia
merupakan tumbuhan yang bijak mengadaptasi diri dengan persekitaran.
Hendak tahu kenapa? Ini kerana kebanyakan pokok ini tumbuh di
persekitaran tanah yang tidak subur. Jadi, bagi membolehkan ia terus
hidup, ia mendapatkan zat galian daripada serangga.
Pokok ini tidak mempunyai gigi, sebaliknya memiliki cilia atau
‘jari-jari’ yang berfungsi untuk memerangkap serangga. Daunnya sentiasa
terbuka luas. Pada bahagian permukaan daunnya, terdapat trigger atau
‘rerambut sensatif’ yang pendek. Apabila rerambut ini disentuh oleh
sesuatu, kedua-dua belah daun perangkap akan tertutup dan memerangkap
apa sahaja yang berada di dalamnya. Perangkap ini mengambil masa kurang
dari satu saat untuk tertutup.
Tetapi adik-adik, perangkap ini tidak akan tertutup rapat kerana ia
memberi ruang kepada serangga kecil untuk melepaskan diri. Kenapa?
Kerana pokok ini tidak makan serangga yang tidak dapat memberikan zat
galian yang cukup kepadanya.
kredit: JAKIM
Selang beberapa minit, daun perangkap akan rapat sepenuhnya sehingga
kedap udara. Ketika inilah cecair penghadam dan bakteria yang terdapat
dalam perangkap akan mencerna serangga tersebut. Namun, ia hanya akan
mencerna bahagian badan serangga yang lembut dan meninggalkan kerangka
luar (exokeleton). Ia mengambil masa antara lima hingga dua belas hari
untuk menghadamkannya, bergantung pada jenis dan saiz serangga, suhu,
usia daun perangkap dan berapa kerap ia sudah mendapat mangsa.
Paling menariknya adik-adik, jika yang masuk perangkap itu ialah batu
kecil, daun kering atau apa sahaja selain serangga, pokok ini akan
‘meludah’ bendasing itu dengan membuka daun perangkap selepas dua belas
jam. Bagi membolehkan mangsa disimpan di dalam keadaan segar sepanjang
tempoh penghadaman, daun perangkap merembeskan jus penghadam dan jus antiseptik.
Proses ini terlalu sempurna sehinggakan para saintis pun tidak dapat
menjelaskan dengan pasti, bagaimana daun perangkap ini boleh tertutup
dan berfungsi dengan begitu unik. Daun ini tidak memiliki sistem saraf,
otot atau tendons. Saintis mengandaikan terdapat sejenis tekanan cairan
yang diaktifkan oleh aliran elektrik di kedua-dua belah daun perangkap. Betapa sempurnanya Allah menciptakan tumbuhan ini adik-adik.
No comments:
Post a Comment