22 September 2013

Rahsia Terowong Jepun Di Kunak Sabah



Bagi penduduk Sabah, mungkin anda pernah mendengar tentang misteri terowong Jepun di Kunak Sabah. Kunak yang mempunyai kira-kira 62,000 penduduk dan merupakan daerah yang kaya dengan sumber marin seperti udang, ikan, ikan bilis dan ketam sama ada yang bersumber dari laut atau yang diternak dalam sangkar.

Kunak juga adalah antara daerah pengeluar rumpai laut di Sabah dan pengeluar ikan keempat terbesar. Nama Kunak memang agak jarang disebut dan masih ramai orang luar belum mengenali Kunak sebagaimana mereka mengenali Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan walaupun semua daerah berkenaan berada di Pantai Timur Sabah.

Mungkin disebabkan kurangnya promosi dari pihak yang berwajib meskipun di Kunak terdapat banyak lokasi menarik.

Lokasi Menarik Di Kunak, Sabah :

~ Kolam Lumpur (Mud Pool) di Ladang Binuang,
~ Air Terjun Di Hutan Simpan Madai Baturong
~ Gua Madai di Madai
~ Tasik Impian Di Mostyn
~ Kelab Golf di Mostyn
~ Tinggalan Terowong Jepun di Mostyn
~ Kawasan Tanaman Kelapa Sawit yang Tertua di Pulau Borneo (ditanam pada 1957)
~Telaga Tujuh di Pangi
~ Kolam Air Panas / Hot Spring di Sungang
~ Bahan Artifak di Tingkayu

Lokasi terowong ini terletak kira-kira 12 kilometer dari
pekan Kunak di mana terowong tanah sepanjang 8 kilometer dengan 4 cabang yang terletak di Ladang Sime Darby dipercayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai laluan rahsia untuk mengangkut serta menyimpan peralatan perang.


Kewujudan terowong Jepun ini dikatakan dibina pada zaman Perang Dunia Kedua dan masih terdapat beberapa tinggalan tentera Jepun di dalam terowong tersebut. Beberapa individu cuba memasuki kawasan tersebut dan ada yang mendakwa pernah menemui beberapa barangan peninggalan zaman perang antaranya gelas, sudu, dan ada juga yang mendakwa pernah menemui ”bekas landasan lokomotif” di dalam terowong berkenaan.

Terowong berkenaan dikatakan mampu dilalui oleh lori 10 tayar dan ditemui secara tidak sengaja pada tahun 1970-an oleh kaum Iban yang ditugas membersihkan kawasan hutan berkenaan. Mereka mengesan terowong berkenaan selepas melihat runtuhan sebahagian terowong bawah tanah itu.

Ada pihak yang mengandaikan bahawa terowong ini tembus hingga ke Laut Sulawesi. Namun,setakat ini tiada yang mampu menjelaskan di manakah penghujung terowong ini.Ada juga peneroka yang cuba memasuki terowong ini namun tidak mampu meneruskan perjalanan kerana kekurangan udara dan keadaan yang terlalu gelap.

kredit:lamankongsi

Sardin Oh Sardin ...


BAHAN-BAHAN :

1 tin sardin saiz besar
1 biji bawang besar
1/2 sudu kecil gula
3-4 sudu besar cili kering kisar
15 biji buah tomato ceri
Garam/gula secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil belacan bakar

CARA-CARA MEMASAK :
1. Bersihkan tomato ceri dan dipotong nipis . Panaskan sedikit minyak kemudian tumis bahan tumbuk sampai masak dan wangi . Kemudian dimasukkan cili kisar dan dikacau lagi sampai cili masak .

2. Masukkan bawang besar yang telah dipotong nipis-nipis dan kacau sampai bawang menjadi layu. Kemudian masukkan semua buah tomato dan terus kacau sampai mesra  . Bila buah ceri dah layu baru dimasukkan semua ikan sardin bersama sosnya serta sedikit gula pasir dan dikacau rata , jika kurang masin boleh ditambah sedikit garam . Jika kurang masam baru la ditambah sedikit air asam jawa . Kacau semua bahan dan boleh la ditutup api. 

'Chin Peng tak sama Dr Azhari, Nordin Mat Top'




MUAR - Keputusan kerajaan tidak membenarkan mayat atau abu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya Chin Peng dibawa pulang ke negara ini adalah tindakan tepat memandangkan dia bukan warganegara Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menegaskan ini berbeza dengan langkah kerajaan membenarkan jenazah dua suspek pengganas, Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini setelah ditembak mati pasukan keselamatan Indonesia.

Beliau berkata, Allahyarham Azahari dan Nordin adalah rakyat Malaysia, sebab itu kerajaan tidak membantah apabila keluarga mereka mengebumikannya di Melaka dan Pontian.

"Berbeza dengan Chin Peng, selain daripada bukan rakyat negara ini, dia juga adalah orang bertanggungjawab menyebabkan ribuan anggota pasukan keselamatan termasuk Askar Melayu Diraja terbunuh ketika darurat dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Razali mengulas mengenai gesaan Naib Presiden MCA Gan Ping Siew yang mahukan kerajaan membenarkan mayat atau abu pemimpin komunis itu dibawa masuk ke Malaysia demi menghormati Perjanjian Hatyai.

Malah katanya, semasa bersetuju meletakkan senjata dalam perjanjian di Selatan Thailand pada tahun 1989, pemimpin komunis itu tetap memperjuangkan ideologinya dan tidak segera mengemukakan permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia.

"Ini menunjukkan Chin Peng tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengakui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini," katanya. - Bernama

21 September 2013

Bom Buatan Sendiri Dirampas

image (8)
Alor Setar, 21 Sept – Polis Kedah menahan sembilan lelaki dan merampas 10 butir bom buatan sendiri dengan tujuh daripadanya belum siap sepenuhnya dalam serbuan di dua lokasi berbeza di Sungai Petani semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam operasi bermula 11.30 pagi dan berakhir 2.30 petang itu, tujuh daripada sembilan suspek berumur 14 hingga 49 tahun itu ditahan di sebuah bengkel perusahaan kecil dan sederhana manakala dua lagi di sebuah rumah.
Katanya dalam serbuan itu anggotanya merampas tiga bom telah siap dan tujuh bom lagi dalam proses pembikinan selain pelbagai peralatan seperti belerang, paip PVC dan besi.
Beliau berkata polis sedang meneliti sama ada suspek yang ditahan itu terlibat dalam dua kes berkaitan senjata api di daerah Kota Setar dan kes letupan bom yang mengakibatkan kematian seorang wanita tahun lepas di Sungai Petani atau jenayah di negeri lain.
“Bom ini mampu melambungkan sebuah kereta setinggi dua atau tiga tingkat bangunan kalau meletup. Suspek berusia 14 tahun mungkin tidak bersekolah dan kita sedang siasat motif dia terlibat dalam kumpulan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Ahmad berkata suspek yang berasal dari negeri ini dan Lembah Klang itu direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan serta motif mereka membuat 10 bom terbabit.
Beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
Sementara itu, Ahmad berkata menerusi Ops Cantas Khas, polis akan menjalankan pemeriksaan secara teliti terhadap orang ramai yang keluar masuk dari negara ini ke negara jiran terutama hari minggu.
Katanya bermula semalam dalam tempoh dua minggu ini, Polis Kedah telah menambah anggota untuk melakukan pemeriksaan berhampiran pintu sempadan Bukit Kayu Hitam bagi menahan sesiapa yang terlibat dalam jenayah.
Beliau berkata setakat ini 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk mereka yang terlibat dalam pertubuhan haram, dan masih disiasat untuk dituduh mengikut undang-undang yang ada. – BERNAMA

POLIS TAWAU LUMPUH KEGIATAN PALSUKAN MYKAD

Gambar Hiasan
 
Tawau, 20 Sept - Polis Tawau berjaya melumpuhkan satu kegiatan mmalsukan kad pengenalan MyKad susulan penangkapan seorang lelaki warga asing di Kampung Tawau Lama, 9 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata suspek berusia 45 tahun itu baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada Februari lalu kerana kesalahan sama.

Semasa menjalani hukuman penjara 18 bulan berserta dua sebatan itu, dia menggunakan nama lain. Dia juga telah diusir ke negara asalnya, kata Keong pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Keong, siasatan awal mendapati suspek sudah menjual 14 keping MyKad yang diubah suai pada harga RM80 setiap satu.

Suspek juga memalsukan lesen memandu yang dijual pada harga RM20, katanya.

Mengulas serbuan 6.45 petang berkenaan, Keong berkata pemeriksaan polis di rumah yang didiami oleh suspek dan sepasang suami isteri itu menemukan Sembilan MyKad palsu, tiga MyKad tidak bergambar, satu sijil lahir, dua lesen memandu dan 11 keping gambar dipercayai untuk diguna pada MyKad yang dipalsukan.

Katanya polis juga menemui pelbagai peralatan yang dipercayai diguna untuk membuat MyKad palsu terbabit, di rumah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (e) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1961.

Keong berkata polis juga menahan pasangan suami isteri berusia 50-an berkenaan selepas mereka didapati positif dadah.