19 December 2013

PMR 2013

Keputusan PMR 2013: Bilangan calon lulus semua mata pelajaran menurun
                                                                         --Gambar fail.
 
KUALA LUMPUR: Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2013 pada keseluruhannya bertambah baik.
Antaranya pencapaian calon cemerlang iaitu calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat seramai 514 calon atau 0.41 peratus daripada 30,474 calon pada tahun 2012 kepada 30,988 calon pada tahun ini.

Bagaimanapun bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran iaitu minimum semua gred D menurun seramai 5,381 calon atau 1.38 peratus.

Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula bertambah dari 241 calon pada 2012 kepada 307 calon iaitu pertambahan sebanyak 66 calon.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Khair Mohamad Yusof yang mengumumkan analisis keputusan PMR itu berkata prestasi semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan kecuali Bahasa Melayu yang mencatatkan penurunan sebanyak 0.03 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) tahun ini.

"Peratusan calon yang mendapat gred A dalam mata pelajaran itu menurun sebanyak 0.5 peratus daripada 27.5 peratus pada 2012 kepada 27.0 peratus pada tahun ini. Peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred A, B, C dan D) juga menurun sebanyak 0.2 peratus daripada 94.4 peratus pada tahun 2012 kepada 94.2 peratus pada tahun ini." kata beliau.

Selain itu, prestasi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Ekonomi Rumah Tangga dan KHB-Perdagangan dan Keusahawanan juga menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu, Khair berkata biarpun pencapaian calon bandar lebih baik calon luar bandar namun jurang pencapaian pada tahun ini semakin mengecil iaitu sebanyak 0.01 mata.

PMR tahun ini adalah yang terakhir sebelum digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah bermula 2014.

Sumber - astroawani.

Semak Keputusan PMR Secara Online Dan SMS


Semak Keputusan PMR 2013 Secara Online Dan SMS | Seperti yang kita ketahui, tarikh keputusan PMR 2013 dikeluarkan pada 19 Disember 2013 ini bersamaan hari Khamis. Pastinya calon-calon Peperiksaan Menengah Rendah PMR 2013 berdebar-debar untuk menantikan keputusan peperiksaan ini. 

Kementerian itu memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan PMR 2013 di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari yang sama. Seramai 462,940 calon menduduki peperiksaan PMR di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun ini.

Semak Keputusan PMR 2013 Secara Online

  1. Login ke Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah
  2. Masukkan Nombor Kad Pengenalan atau Surat Beranak
  3. Klik pada ruangan yang disediakan pada “SEKOLAH MENENGAH”
  4. Masukkan tahun peperiksaan (2013)
  5. Klik pada butang “Semak Laporan”
Rujuk Gambar Dari Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah Dibawah Ini semak keputusan PMR 2013 online Semak Keputusan PMR 2013 Secara Online Dan SMS

Semak Keputusan PMR 2013 Secara SMS

Selain daripada mengambil keputusan peperiksaan di sekolah, anda juga boleh menggunakan khidmat MySMS untuk membuat semakan keptusan PMR 2013 anda.Caranya adalah :
  • Taip [No. Mykad] <jarak> [No. Angka Giliran]
  • Hantar kepada 15888
Perkhidmatan membuat semakan keputusan PMR 2013 MySMS akan diaktifkan pada Hari Khamis 19 Disember 2013 pada jam 10 pagi hingga 25 DIsember 2013 pada pukul 11.59 malam.

18 December 2013

Kutipan Data PBS Lebih Laju

  

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan membangunkan modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang baru menggunakan teknologi Java dan HTML 5 yang lebih cekap dan ringan berbanding teknologi sebelumnya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu persidangan Dewan Negara semalam, pendekatan baru dalam pengurusan kapasiti pemprosesan di pusat data secara ‘on-demand’ itu diambil bagi membolehkan keupayaan pemprosesan ditingkatkan mengikut keperluan.

“Ini memastikan pengguna tidak menghadapi isu ‘auto log out’ atau server perlahan dan tidak dapat mencapai aplikasi itu,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mengenai langkah kerajaan untuk menaik taraf PBS di setiap sekolah yang disediakan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi.


Kementerian juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam modul PBS baru dengan menyediakan keupayaan ‘cache’ bagi membolehkan PBS terus beroperasi walaupun secara ‘off-line’.

Selain itu, Idris berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam penggunaan infrastruktur ICT khususnya keupayaan server komputer bagi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan semak dalam talian.


Beberapa penyelesaian dikenal pasti termasuk isu kapasiti pemprosesan yang ditetapkan pusat data, aplikasi SPPBS sedia ada memerlukan keupayaan pemprosesan yang tinggi kesan daripada penggunaan teknologi lama serta jadual kemasukan data yang sangat fleksible menyebabkan pengguna memasukkan data pada penghujung tahun mengakibatkan kesesakan pusat data.


Mengenai usaha mengurangkan beban tugas guru, beliau berkata, modul PBS diintegrasikan dalam Sistem Pengurusan Sekolah sebagai ‘single window’ ,” katanya. - BERNAMA


BR1M 2014 - Di Buka Dari 23 Disember Hingga 31 Januari Depan

permohonanbr1m2014_thumb
KUALA LUMPUR: Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dibuka dari Isnin ini sehingga 31 Januari depan, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Menurut kenyataan itu penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

“Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut,” kata kenyataan itu.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN di www.hasil.gov.my/

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai 23 Disember ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Ketika pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650. 

BERNAMA

Umur Makin Singkat, Ajal Makin Dekat

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.

Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?” 


Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.


Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.


Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru.

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya.

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah.

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian.

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah.

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya.

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain.

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan.

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.


Sumber - Metro