"Saya boleh mengesahkan bahawa ruang masih diberi kepada pihak
berkenaan dan juga pihak lain yang boleh membantu dalam pendekatan kita
mencari penyelesaian terbaik," katanya.
Beliau berkata, ruang yang diberikan itu tidak bermakna kerajaan tunduk
kepada sesiapa tetapi bagi memastikan insiden pencerobohan itu tidak
menjurus kepada sesuatu yang tidak diingini seperti pertumpahan darah
dan kehilangan nyawa.
"Dalam apa juga keadaan fokus utama kita ialah untuk menyelesaikan
perkara ini dengan cara yang terbaik. Ini modus operandi kita... cara
kita ialah untuk menyelamatkan nyawa.
"Sekiranya ada pihak tertentu atau pihak lain yang boleh membantu
mereka yang berkenaan, rasional, dan bekerjasama dengan kita, lebih
cepat perkara ini dapat diselesikan. Saya menasihatkan semua pihak agar
membenarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka," katanya
sambil menasihatkan supaya menghentikan spekulasi dan khabar angin
mengenai isu pencerobohan itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diberi taklimat
terkini berhubung insiden pencerobohan itu di Komtek Sahabat 16 Batalion
17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu di Tungku di sini hari ini.
Turuh hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman
Awam Datuk Salleh Mat Rashid dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza
Taib.
Selasa lepas, pasukan keselamatan menemui sekumpulan warga asing
bersenjata berpakaian tentera mendarat di pesisir Lahad Datu dan polis
telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung
Tanduo itu sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan
Filipina.
Hishammuddin berkata, pendekatan pihak berkuasa Malaysia dengan membuka
pilihan yang ada dalam menangani masalah berkenaan ialah bagi mengelak
insiden itu daripada dipolemik atau dipolitikkan pihak tidak
bertanggungjawab di dalam negara dan antarabangsa.
"Saya harap pihak yang terlibat jangan desak pihak berkuasa ke tahap
itu. Tetapi kalau pihak berkuasa terpaksa melakukannya, demi kepentingan
kedaulatan, marwah kita, saya rasa kita tak ada masalah...," katanya.
"Kita dah kata lebih awal lagi bahawa kedaulatan dan keselamatan Sabah
tidak akan dikompromi. Kalau itu tidak dapat diterima pihak berkenaan,
kita yang mengawal sekarang apabila tiba masanya, saya terpaksa
melakukan apa yang patut," katanya.
Beliau menegaskan insiden itu bukanlah suatu mainan dan meminta media
massa dan media sosial supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh
menjejaskan operasi pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu.
Menteri itu turut mengulangi kenyataannya di Kota Kinabalu semalam
bahawa kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah tetap diutamakan
dan tidak akan dikompromi serta meminta semua pihak supaya memberi
sedikit masa kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu.
Hishammuddin menjelaskan jumlah sebenar anggota kumpulan warga Filipina
yang mendarat di Kampung Tanduo tidak lebih daripada 150 orang dan
bukannya 1,000 orang seperti diuar-uarkan beberapa pihak.
Beliau berkata Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di
kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
"Pencerobohan itu juga tidak melibatkan orang kampung dan tiada rakyat
Malaysia ditahan atau diculik dan apa yang pihak berkuasa kepung sejak
hari pertama tidak melibatkan dan tiada risiko kepada rakyat kita...saya
harap spekulasi dan khabar angin dapat dihentikan."
Beliau berharap menerusi perkembangan terkini dan rasmi yang
dikhabarkannya dalam lawatannya pada hari ini dapat menghentikan segala
khabar angin dan spekulasi sama ada dari dalam negara dan luar negara.
Hishammuddin berkata, lawatannya itu juga bagi memperjelaskan beberapa
perkara yang dihebahkan di media massa dan laman sosial sebagai tidak
berasas selain meninjau kedudukan anggota pasukan keselamatan yang
sedang bertugas sepanjang operasi itu.
Beliau menegaskan semua pihak harus memberi ruang kepada agensi
keselamatan negara yang telah dilatih serta bertindak profesional dalam
menjalankan tugas-tugas menangani kejadian pencerobohan itu.
Sementara itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
termasuk Angkatan Tugas Bersama 2, sentiasa bersiap siaga dalam
mengawal sempadan negara terutama di kawasan pantai timur Sabah bagi
menyekat penyusupan baharu.
Kerajaan melalui Wisma Putra dan agensi risikan Malaysia dan Filipina
sentiasa bekerjasama baik dan berhubung rapat berhubung isu berkenaan. -
Bernama
No comments:
Post a Comment