KUALA
LUMPUR – Pertunangan Fizz Fairuz hanya bertahan seminggu apabila pelakon itu
memutuskan ikatan dengan tunangnya Ahad lalu, selepas mengetahui wanita
berkenaan rupa-rupanya sudah bersuami.
“Saya benar-benar tertipu dan
tidak menyangka tunang saya itu isteri orang,” kata Fizz, 34, semalam.
Pertunangan Fizz secara diam-diam
dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang pada 10 Februari
lalu, mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini dia hangat bercinta dengan
pelakon, Almy Nadia, 27, sejak tujuh tahun lalu.
“Saya tidak menyangka perkara
sebegini berlaku dan kehidupan saya seolah-olah ‘diatur’ oleh dia (bekas
tunangnya) sejak kami berkenalan setahun lalu,” katanya yang menyifatkan kemungkinan
dia terkena buatan orang.
Fizz berkata, empat hari selepas
bertunang iaitu pada Khamis lalu, baru dia tahu tunangannya itu isteri kedua
seorang usahawan berusia 40-an dan mereka bernikah di selatan Thailand beberapa
tahun lalu.
“Empat hari selepas bertunang
iaitu pada Khamis lalu, baru saya tahu tunang saya itu isteri kedua kepada
seorang usahawan yang berusia 40 tahun. Sebelum ini mereka telah bernikah di
Thailand.
“Khamis lalu, saya menerima
kiriman SMS dari adik bekas tunang yang menceritakan status sebenar. Malah,
saya juga sudah berjumpa dengan suami wanita itu, Sabtu lalu. Lelaki itu telah
mengesahkan kepada saya yang tunang saya itu adalah isteri keduanya dan
perbincangan kami berdua diadakan secara baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Nur
Kasih tersebut sudah memaklumkan kepada keluarga bekas tunangnya dengan
menyuarakan hasrat untuk memutuskan tali pertunangan yang bertahan hanya
seminggu saja.
“Cukuplah, saya tidak mahu ada
apa-apa lagi hubungan dengan dia. Saya mengenali wanita itu di satu lokasi
penggambaran di ibu kota kira-kira setahun lalu. Sejak itu hubungan kami
semakin rapat dan ia turut diketahui Almy Nadia.
“Namun, sepanjang mengenalinya
saya tidak tahu menahu tentang latar belakang keluarganya. Sedar-sedar saya
sudah pun bertunang dengan dia. Saya hanya mengenali keluarganya ketika majlis
itu berlangsung.
“Saya sedar tindakan bertunang
secara tergesa-gesa itu sudah tentu menyakitkan hati Almy. Kepada semua, saya
minta maaf terutama sekali Almy Nadia. Saya tertipu dan sakit sekarang. Inilah
ujian terbesar sepanjang bergelar anak seni,” ujarnya.
Menambah penjelasan, Fizz berasa
pelik kerana sepanjang berkenalan dengan Almy selama tujuh tahun agak sukar
untuk mengikat tali pertunangan tetapi tidak dengan wanita tersebut.
“Sehari sebelum bertunang, saya
seperti ditunjukkan petanda musibah apabila tangan saya melecur terkena air
panas. Malah, dalam perjalanan ke Kuatan, kenderaan saya turut rosak.
“Sebelum ke rumah wanita itu,
saya memaklumkan kepada rakan-rakan tidak mahu bertunang kerana tidak sedap
hati. Namun, apakan daya ia sudah pun berlaku.
“Selepas diuji sebegitu, saya
tidak lalu makan dan tidur. Saya mohon maaf kepada media kerana tidak menjawab
panggilan sebelum ini disebabkan fikiran serabut,” jelasnya panjang lebar.
Sementara itu, Fizz memberitahu
Almy pernah menyuruhnya berubat secara alternatif selepas menyaksikan
keadaannya tidak terurus sejak berkenalan dengan wanita tersebut.
Sumber
Dari Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment