26 August 2013
OPS CANTAS SABAH - BAWA SAMURAI, REMPIT ANTARA DITAHAN
PENAMPANG: Empat lelaki ditahan polis setelah beberapa senjata tajam yang ditemui di kenderaan mereka dalam sekatan jalan raya bersempena Ops Cantas Khas berhampiran Taman Jumbo, Petagas di Jalan Putatan-Kota Kinabalu kelmarin.
Difahamkan dalam kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi itu, sekumpulan lelaki sedang menuju ke pusat bandar dari Putatan sebelum ditahan polis pada sekatan berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, sebaik bonet belakang kereta jenis Proton Iswara Aerobik dinaiki mereka diperiksa, pihak polis yang bertugas berjaya menemui beberapa jenis senjata tajam termasuk sebilah pedang samurai dan pisau pemotong daging.
Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30an dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, di Jalan Yuk Min, Penampang Lama pula menyaksikan sekumpulan remaja ‘mat rempit’ sanggup bergadai nyawa dengan melawan arus jalan raya semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan itu akhirnya membawa padah apabila lima remaja bermotosikal berjaya dicekup polis dan ketika ditahan, kesemua mereka mengaku tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata seramai sembilan individu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan beberapa laluan di kawasan Penampang dan Putatan.
“Kita berjaya menahan sembilan individu atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan lain-lain.
“Seramai 160 pengguna jalan raya telah diperiksa dalam Ops Cantas kali ini dan operasi berkenaan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi menangani jenayah di sekitar daerah Penampang secara amnya,” katanya (The Borneo Post)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment