MELAKA
- Sebanyak 414 warga asing dan seorang rakyat tempatan ditahan dalam
Ops Bersepadu 6P yang dijalankan lebih enam jam bermula 12 tengah malam
tadi di Melaka.
Pengarah
Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata dalam operasi itu
yang membabitkan 40 anggota Imigresen dan 50 anggota pelbagai agensi, 11
wanita warganegara China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di
sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini.
Empat daripada
wanita berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri melalui laluan
rahsia di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis itu.
"Dinding di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis
ditebuk bagi membolehkan GRO melarikan diri melalui tangga ke tingkat
satu dengan pintu laluan terletak di bawah tempat sembahyang," katanya
kepada pemberita di sini.
Sebanyak 403 lagi warga asing berusia
lingkungan sebulan hingga 50-an ditahan di kawasan rumah pangsa di
Bachang di sini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63
termasuk masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi
tempoh.
Kamalludin berkata pendatang asing yang ditahan itu
membabitkan 203 orang warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63),
Bangladesh (21), India (10) dan Vietnam (6).
Seorang lelaki
tempatan berusia 40-an turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta
berkenaan kerana menjadi pelindung kepada pendatang tanpa izin.
Di SUNGAI PETANI, Jabatan Imigresen Kedah menahan 130 pendatang tanpa
izin termasuk 10 wanita dalam serbuan di dua lokasi dalam Ops Selera di
sini awal hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan
Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata pendatang asing berumur
antara 14 dan 50 tahun itu didapati melanggar Akta Imigresen termasuk
tidak memiliki dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh.
Mereka ialah 53 lelaki Myanmar, 40 lelaki Indonesia, 16 lelaki
Bangladesh, enam lelaki Nepal, empat lelaki Pakistan, seorang lelaki
India, dan 10 wanita masing-masing lima dari Myanmar dan lima Indonesia.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini sejumlah 192 warga asing
diperiksa dalam operasi itu, yang tertumpu kepada rumah kongsi tapak
pembinaan Puteri Jaya Hill Park dan Lot 88 Sungai Petani.
Katanya operasi itu yang dijalankan dari 12 tengah malam tadi hingga 6
pagi ini disertai 137 pengawai dan anggota Imigresen dengan dibantu
anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Di KAMPAR,
Jabatan Imigresen Perak menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan
dalam 'Ops Bersepadu 6P' di rumah kongsi kawasan pembinaan Bandar Baru
Kampar di sini, awal hari ini.
Timbalan Penolong Pengarah Kanan
Imigresen Perak Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata mereka ialah 11
lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warganegara Indonesia,
Bangladesh dan Pakistan berusia antara 20-an dan 40-an.
"Mereka
ditahan kerana tinggal lebih tempoh, mempunyai pas lawatan kerja
sementara palsu dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan,"
katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di kawasan itu.
Operasi itu, hasil risikan sejak dua minggu lepas, telah memeriksa 114
orang iaitu 95 lelaki dan 19 wanita termasuk dua kanak-kanak. Mereka
kemudian dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap.
Di
JOHOR BAHARU, sejumlah 101 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops
Bersepadu 6P di Perkampungan Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini malam
tadi.
Pendatang asing terbabit, termasuk 23 kanak-kanak,
terdiri daripada 72 warganegara Kemboja, 22 warganegara Vietnam, empat
warganegara Myanmar dan tiga warganegara Indonesia berusia lingkungan
dua hingga 58 tahun.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan
Imigresen Johor Masri Adul berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka
tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi
tempoh.
"Dalam tangkapan ini ada pemegang pas lawatan kerja
sementara telah berkahwin atau membawa anak mereka. Mengikut polisi
mereka tak boleh kahwin, kita akan ambil tindakan dan kalau ada
keperluan, usir dan pas lawatan kerja mereka kita batalkan," katanya
ketika dihubungi hari ini.
Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan selanjutnya.
Dalam operasi sama, tujuh rakyat tempatan ditahan kerana positif dadah. - Bernama
No comments:
Post a Comment