06 April 2013

Rumah Dijadikan Kubu


LAHAD DATU 5 April - Penduduk Kampung Tanjung Batu, Saat Mohamad Abing, 46, terkejut apabila melihat kesan tembakan memenuhi dinding dan atap rumahnya ketika kembali ke kediamannya yang hampir sebulan ditinggalkannya.
Luluh hatinya melihat rumah yang puluhan tahun didiami mengalami kerosakan teruk, namun lebih memeranjatkan dia ketika meniti tangga, kelihatan lubang besar sedalam tiga kaki yang ditampan dengan kayu serta batang kelapa di bawah kediamannya.
"Saya sangkakan kubu itu dibina askar, bagaimanapun, apabila saya dan rakan-rakan bertanya kepada anggota keselamatan yang meronda di sini, mereka katakan kubu itu ditinggalkan pengganas Kiram kerana tentera kita tidak mempunyai sebab untuk membinanya.
''Askar itu beritahu rumah saya dijadikan kubu pengganas. Di sebelah kiri rumah pula kelihatan seutas tali diikat di sekeliling pokok mangga. Mereka beritahu di situlah seorang pengganas mati tersandar akibat ditembak dan mayatnya hanya diambil setelah enam hari dibiarkan di situ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kubu tersebut mempunyai kedalaman paras perut orang dewasa dan dibina tangga untuk naik ke atas. Manakala pokok yang dimaksudkan itu pula terdapat kesan kehitaman, selain topeng penutup mulut dan hidung turut ditinggalkan di situ.
Apabila ditanya kepada salah seorang anggota tentera yang berkawal di situ, dia turut mengesahkan bahawa kubu itu sememangnya dibina oleh pengganas untuk berlindung.
Mohamad menambah, sewaktu mengemas rumahnya yang berselerak pagi semalam, turut ditemui seluar loreng milik pengganas, selain pil seperti ubat dalam pelbagai warna.
"Semua itu saya kumpul dan bakar di belakang rumah. Tiada guna saya simpan semua itu,'' katanya.
"Saya percaya rumah ini dijadikan pengganas sebagai tempat mereka berkubu dan berteduh. Disebabkan itulah rumah ini mempunyai banyak kesan tembakan.
"Ketika hujan lebat malam tadi, saya, isteri bersama seorang anak tidak dapat tidur kerana basah lencun kerana atap bocor, kesan tembakan tersebut," ujarnya.

Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd

Trak bawa pengganas Kiram tiga kali mengalami kerosakan


 
KUALA LUMPUR 5 April - Pengalaman terpaksa bertukar trak sebanyak tiga kali akibat rosak semasa membawa pengganas Kiram dari Felda Cenderawasih ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah adalah antara situasi 'pelik' dialami oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) semasa bertugas dalam Ops Daulat.
Seorang pegawai JSJ dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Inspektor Raja Munawer Shah berkata, keadaan amat membimbangkan kerana sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer itu mereka terpaksa melalui perkampungan yang didiami bangsa Suluk di tepi pantai.
"Sama ada ia secara kebetulan atau sebaliknya, kami terpaksa membuat penukaran trak setiap kali kenderaan itu meragam dan tidak bergerak.
"Sepatutnya kami sampai ke IPD sejam setengah sahaja. Mungkin juga perkara itu terjadi secara kebetulan kerana kemungkinan trak sudah usang dan tidak diservis tetapi akhirnya kami tiba dengan selamat," katanya.
Beliau menceritakan detik itu ketika ditemui pada majlis menyambut kepulangan 134 wira Lahad Datu dari JSJ di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Sementara itu, rakan setugasnya, Inspektor Johari Yahya dari Kontinjen Kedah memberitahu, antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah ketika dia dan bersama 20 lagi rakan mengiringi pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk membuat pemantauan di beberapa pulau di Semporna.
"Ketika itu suasana masih lagi berbahaya dan apa sahaja boleh berlaku. Bersama kami ketika itu adalah orang kenamaan dan pegawai kerajaan yang sedang membuat penelitian bagi menjayakan Esscom.
"Kami kemudian menerima maklumat tiga pengganas Kiram membawa senjata berat menghampiri kumpulan kami dan terpaksa membawa keluar rombongan tersebut dengan pantas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd

OPS DAULAT : GEMPAR!! LELAKI SULU DITAHAN DI MELAKA!!!





Tertuduh yang merupakan warga Filipina mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman dan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Beliau merupakan Seorang lelaki Sulu dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas tuduhan memiliki kad pengenalan palsu dan menetap secara haram di negara ini.

Iskandar Azlan Al Shah Mohd. Nazal Al Shah, 33, yang ditahan di bawah SOSMA kerana mempunyai kaitan dengan pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Sabah didakwa di Mahkamah Majistret di sini satas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan di Mahkamah Sesyen kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan dengan maklumat pengenalan diri palsu menggunakan surat beranak milik Sharif Abdilla di No. 19, Jalan Seri Mangga 2/5, Taman Seri Mangga, di sini pada pukul 7 malam, 8 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Peraturan 25(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak kurang RM3,000 dan tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd. Aziz yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana dia ditahan di bawah SOSMA dan merupakan warga asing. - Agensi.

Kredit:VAT69-Perjuangan Semalam