06 April 2013

Rumah Dijadikan Kubu


LAHAD DATU 5 April - Penduduk Kampung Tanjung Batu, Saat Mohamad Abing, 46, terkejut apabila melihat kesan tembakan memenuhi dinding dan atap rumahnya ketika kembali ke kediamannya yang hampir sebulan ditinggalkannya.
Luluh hatinya melihat rumah yang puluhan tahun didiami mengalami kerosakan teruk, namun lebih memeranjatkan dia ketika meniti tangga, kelihatan lubang besar sedalam tiga kaki yang ditampan dengan kayu serta batang kelapa di bawah kediamannya.
"Saya sangkakan kubu itu dibina askar, bagaimanapun, apabila saya dan rakan-rakan bertanya kepada anggota keselamatan yang meronda di sini, mereka katakan kubu itu ditinggalkan pengganas Kiram kerana tentera kita tidak mempunyai sebab untuk membinanya.
''Askar itu beritahu rumah saya dijadikan kubu pengganas. Di sebelah kiri rumah pula kelihatan seutas tali diikat di sekeliling pokok mangga. Mereka beritahu di situlah seorang pengganas mati tersandar akibat ditembak dan mayatnya hanya diambil setelah enam hari dibiarkan di situ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kubu tersebut mempunyai kedalaman paras perut orang dewasa dan dibina tangga untuk naik ke atas. Manakala pokok yang dimaksudkan itu pula terdapat kesan kehitaman, selain topeng penutup mulut dan hidung turut ditinggalkan di situ.
Apabila ditanya kepada salah seorang anggota tentera yang berkawal di situ, dia turut mengesahkan bahawa kubu itu sememangnya dibina oleh pengganas untuk berlindung.
Mohamad menambah, sewaktu mengemas rumahnya yang berselerak pagi semalam, turut ditemui seluar loreng milik pengganas, selain pil seperti ubat dalam pelbagai warna.
"Semua itu saya kumpul dan bakar di belakang rumah. Tiada guna saya simpan semua itu,'' katanya.
"Saya percaya rumah ini dijadikan pengganas sebagai tempat mereka berkubu dan berteduh. Disebabkan itulah rumah ini mempunyai banyak kesan tembakan.
"Ketika hujan lebat malam tadi, saya, isteri bersama seorang anak tidak dapat tidur kerana basah lencun kerana atap bocor, kesan tembakan tersebut," ujarnya.

Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: