06 August 2013

Lagi Kes Tembakan

KOTA BHARU 5 Ogos - Seorang lelaki yang cedera parah selepas ditembak dalam kejadian di sebuah kedai makan di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh dekat sini awal pagi ini, telah meninggal dunia petang ini.

Mangsa, Amirul Tajo Nasir, 40, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini, kira-kira pukul 1.20 petang ini.

Dalam kejadian tersebut, mangsa terkena beberapa das tembakan dari jarak dekat di dada, perut dan punggung.

Selain itu, seorang lagi mangsa, Nor Hadiyana Zakaria, 25, yang ketika itu berdiri di sebelah Amirul Tajo, cedera ditembak lutut kanan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, Amirul Tajo dikatakan sedang minum di kedai tersebut sebelum dua lelaki bermotosikal berhenti berhampiran mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan kira-kira pukul 5.15 pagi ini.

"Siasatan awal mendapati pada 15 minit sebelum itu, mangsa yang minum bersama dua rakannya telah memanggil pemilik kedai untuk membayar harga minumannya, pemilik kedai tersebut telah meminta anak angkatnya (Nor Hadiyana) supaya mengambil wang tersebut.

"Ketika Nor Hadiyana berbual dengan mangsa tiba-tiba datang dua lelaki menaiki sebuah motosikal Jenis Yamaha LC warna merah dan hitam, kemudian berhenti berhampiran mangsa dalam jarak lebih kurang dua meter dan pembonceng motosikal telah melepaskan tembakan ke arah mereka berdua.

"Amirul Tajo yang tidak bekerja rebah manakala Nor Hadiyana berlari masuk ke dalam kedai selepas terkena tembakan. Kedua-dua mereka di bawa ke HUSM untuk rawatan lanjut namun Amirul Tajo meninggal dunia petang ini," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

05 August 2013

Ngaku Pewaris Agung - Apa Ke Hei Nyer

KUALA LUMPUR - Sepuluh individu yang mendakwa mereka pewaris Yang di-Pertuan Agong, ditahan ketika berhimpun di Pintu 1, Istana Negara di sini kira-kira 4 petang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Aida Abdul Hamid berkata mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu berpakaian serba hitam dan menaiki tiga buah kereta.

"Kumpulan ini mendakwa mereka dari Kumpulan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara dan datang ke istana kerana mendakwa mereka adalah pewaris Agong yang sah.

"Tangkapan termasuk rampasan kesemua kereta dibuat oleh ketua balai polis Jalan Travers dan dibawa ke balai Travers," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut Aida tidak ada senjata ditemui ketika pemeriksaan polis terhadap kereta yang dirampas, kecuali 13 bendera bertulisan jawi dan beberapa helaian watikah baiah.

Katanya semakan awal mendapati tujuh daripada mereka berasal dari Melaka, Perak dan Kedah.

Aida berkata siasatan juga mendapati antara ajaran kumpulan itu ialah mendakwa dua kalimah syahadah sedia ada tidak sah dan anggota baharu diwajib berbaiah serta mengucap kalimah syahadah yang baharu di hadapan ketua yang bergelar 'Tuanku'. - Bernama