KUALA LUMPUR 11 Ogos - Fenomena pancuran meteor Perseid daripada
buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam
esok sehingga subuh pada hari Selasa.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara
(Angkasa), Mhd Fairos Asillam berkata, pancuran meteor Perseid antara
paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata
kasar di kawasan lapang. "Pancuran meteor berlaku apabila bumi
melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar
apabila memasuki atmosfera bumi.
"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi
laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang
26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia
juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet
sepanjang perjalanannya.
"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan
pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.
Beliau berkata, waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment