Wee Jie, 26, berkata sejak ditahan November tahun lalu, beliau berusaha mencari jalan untuk lari memandangkan setiap hari terpaksa mendengar penculik mahu membunuhnya dengan pelbagai cara, termasuk mahu menghumbannya ke laut, menembak atau menetak dengan parang.
“Kumpulan bersenjatakan parang itu memaksa kami berjalan kaki 2 kilometer hingga ke pantai dan menaiki bot yang sudah menunggu di situ sebelum meninggalkan rakan perniagaan bapa Wee Wei dan seorang pekerja di pantai.
Ditutup dengan tikar
“Sepanjang berada dalam bot, saya dan sepupu diarah supaya baring dan ditutup dengan tikar. Beberapa jam kemudian, kami dipaksa menaiki bot lain dan tiba di sebuah pulau kecil.
“Kami tinggal lima hari di pulau itu sebelum dibawa ke Pulau Sulu dan tinggal dalam pondok kecil dibuat daripada buluh. Kaki kami diikat dengan rantai besi,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Bukit Pelandok, Lukut, di sini, semalam.
Wee Jie berkata, selama berada dalam pondok itu, mereka kerap demam selain ketakutan.
Katanya, pada 18 April lalu iaitu selepas lima bulan bersama, sepupunya yang menghidap penyakit darah tinggi dan sering menggigil kerana trauma dibawa ke hospital.
“Sejak itu saya tidak berjumpa dengannya. Bila saya bertanya, kumpulan penculik berkata beliau sihat dan selamat.
“Sejak itu saya nekad melarikan diri dan mulanya mengambil masa tiga minggu untuk memotong rantai besi menggunakan sudu, bagaimanapun perbuatan itu dikesan penculik dan dipaksa tidur dengan mereka dan dihantar ke pondoknya pada waktu siang,” katanya.
Wee Jie berkata, beliau sekali lagi nekad memotong rantai besi itu dan berjaya melakukannya dalam masa dua jam, namun mengambil masa hampir sebulan untuk belajar selok belok kawasan berkenaan sebelum dapat melarikan diri.
Sumber:HarianMetro
No comments:
Post a Comment